Timur Tengah sebagai ikhtibar
Kebangkitan rakyat Tunisia, diikuti pula oleh rakyat Mesir dan negara-negara Arab yang lain, sememangnya membimbangkan kuasa-kuasa besar, lebih-lebih lagi Amerika dan sekutu kuatnya di Timur Tengah, Israel. Kebimbangan ini bukanlah tidak bersebab.
Dalam konteks ini, kita tentu sedar Hosni Mubarak yang terbongkang itu, telah lama membawa Mesir dan menjadikannya sekutu kuatnya Amerika. Negara Arab yang sekian lama dilihat paling ke depan di dalam kelompok liga Arab itu, telah sekian lama ditatang bagaikan menatang minyak yang penuh oleh Amerika. Maka tidak hairanlah jika bantuan Amerika dalam bentuk ketenteraan mencurah-curah. Dan demi ‘keselamatannya’, Mesir telah dibekalkan dengan jet-jet pejuang yang canggih dan mesin-mesin perang yang maha gagah.
Kini segala mesin dan jentera perang itulah yang kita dilihat, dikerah apabila rakyat jelata bangkit menentang Hosni Mubarak.
Segala bantuan dan kedudukan istimewa ini, tidak akan diperolehi andaikata Mesir bukanlah teman akrab, sekutu sekamcengnya ― Israel.
Begitu intim, kental dan tebalnya tali ‘silaturahmi’@persekongkolan mereka itu, maka rakyat Palestin pun mereka sama-sama derai ― Palestin didera semahu-mahunya kerana tidak tunduk kepada kehendak Israel.
Sikap munafik dunia, katanya-dan-‘kununnya’ menghormati pilihan rakyat dapat dilihat dengan begitu terserlah daripada sikap dan tindakan dunia ― termasuk kita Malaysia terhadap Palestin. Hamas yang muncul kerana dipilih oleh rakyat Palestin, tidak pun diikitiraf demikian.
Kini, seluruh Gaza itu adalah penjara terbuka terbesar yang wujud di muka bumi ini ― dan seluruh kerajaan manusia di bawah langit ini, termasuk kerajaan kita, seolah-olah redha dan membiarkan semua ini berlaku.
Amerika dan sekutu-sekutunya berkata itulah yang selayaknya-sepatutnya berlaku dan telah diperlakukan terhadap rakyat Palestin. Apakah kita akur kerana kuasa-kuasa besar, berkata dan berbuat demikian?
ii.
Maka, apakah kita masih boleh percaya seratus persen dengan jerit pekik ‘demokrasi’ yang katanya diperjuangkan dan dijuarai oleh Amerika itu?
Apakah kita pelik, melihat tindakan berpilih-pilih dan zalim penguasa negara ini ― setiap kali ia berdepan dengan musuh-musuh politiknya? Bukankah penguasa ini juga bergurukan pemerintah yang paling gagah perkasa di dunia ini?
Namun begitu, apakah kita tidak yakin, seyakin-yakinnya bahawa rakyat yang selalunya dilihat lemah, kecil, kerdil dan dengan itu ditindas semahu-mahunya, diambil mudah oleh segala penguasa, lebih-lebih lagi yang zalim ― sebenarnya adalah gunung berapi yang mampu memusnahkan siapa saja ― termasuk para penguasa yang zalim itu sendiri?
Ya ― kitalah gunung berapi itu!
No comments:
Post a Comment