Tuesday, March 1, 2011

Belajar dari pengalaman orang matang


Sebenarnya: Negara tidak perlukan politikwan


Semasa bersekolah di Katholieke Universiteit Lueven, Belgium dalam tahun-tahun 1987 – 1989, seorang kawan satu dorm, anak tempatan,  pernah memberitahu saya bahawa hanya ada satu perkara yang sentiasa menyatupadukan, orang-orang Belgium ― bola sepak.  Seluruh Belgium, baik yang di selatan maupun yang di utara,  akan bersatu apabila pasukan mereka bertempur. 

Kecuali itu, mereka berpecah belah, begitu polarised sekali.  Di utara,  tempat saya bersekolah,  rakyatnya bercakap Flemish sementara di selatan, mereka menggunakan bahasa Perancis.  Bahagian utaranya jauh lebih kaya,  maju dengan ekonomi berteraskan perindustrian.  Daerah selatan pula bergantung kepada sektor pertanian.

Katanya, mereka yang di utara itu jauh lebih rajin, tekun berusaha dan kerananya, perlu membayar lebih banyak cukai,  sementara yang di selatan cenderung bersuka ria, santai-santai  dan relaks, berkat hasil kekayaan yang dijana oleh mereka yang di utara.

Hari ini, setelah 260 hari berlalu, Belgium masih lagi tidak memiliki sebuah kerajaan.  Parti-parti yang menang gagal membentuk sebuah kerajaan.  Namun negara ini berjalan seperti biasa, penuh aman, tenteram seolah-olah tidak ada yang luar biasa yang sedang berlaku.

Khabarnya para kaum Hawanya, tua dan muda telahpun telanjang bulat di jalan-jalan raya untuk memperlekeh kaum politikawan yang masih gagal membentuk sebuah kerajaan!


ii.


Apakah kita, di Malaysia masih perlukan sebuah gomen, ya ―  sebuah gomen untuk mengurus negara ini?

Apakah rakyat di seluruh Asia Barat itu perlu berbunuh-bunuhan hanya untuk mencari pemerintah dan pemimpin?

Demikianlah matangnya orang-orang seperti di Belgium ini dalam mengurus yang namanya demokrasi itu.

Bilakah agaknya kita bakal sampai ke titik kematangan seperti itu, iaitu saat apabila Perkasa dan mentor, tidak lagi mampu berbohong-bohongan tentang Melayu, Melayu dan Melayu???   
    
Bila?

Ya, bila lagi?


 ____________________________________________

(Sila rujuk bahan asal dalam laman: MySinchew “Belgium thriving despite having no government”  2011-02-28 19:58  Oleh By TAY TIAN YAN terjemahan oleh Soong Phui Jee)



No comments: