Membiasakan yang luar biasa.
Orang Melayu ada peribahasanya: Alah bisa tegal biasa. Ertinya bisa hilang sengatnya setelah ditawarkan oleh kebiasaan. ‘Tegal’ membawa maksud, ‘oleh sebab.’ Ya, oleh sebab terlalu biasa, bisa pun sudah tidak berbisa lagi.
(Pernah ikuti novelnya Kuntowijoyo ‘Mantera Pejinak Ular’ itu? Makna selapis tentang manusia biasa yang menjadi luar biasa kerana mampu menguasai segala ular. Seluruh makhluk yang namanya ular mematuhi arahan sang protoganis.
Di negara kita, katanya ada pemburu ular yang tidak lagi lut dengan bisa ular kerana sudah terlalu sering dipatuk ular. Orang boleh saja menjadi kebal dan lali kerana terlalu biasa. Apakah betul?)
ii.
Pada zaman Tunku, Perdana Menteri pertama itu melepaskan jawatannya kepada care-taker government kerana mahu proses pilihan raya telus, adil dan saksama. Semua itu kini sudah menjadi sejarah dan kenangan.
Kini, seperti bomoh ular yang sudah tidak lagi lut walaupun dipatuk oleh ular yang paling berbisa di muka alam ini, Umno/BN juga sudah tidak lut lagi dengan segala macam kritikan dan desakan supaya TIDAK MENCEMARI proses pilihan raya di negara kita.
Tak ada lagi yang tidak boleh dilakukannya.
Bacalah apa yang dibentangkan dalam “Reforming Political Financing in Malaysia” oleh Transparency International, Malaysia, 2010 untuk mengetahui apa yang berlaku dengan proses pilihan raya kita.
Senarai ringkasnya, mungkin begini: Seluruh jentera/Jabatan kerajaan, pelancaraan mi-mi segera, ‘lu tolong gua, gua tolong lu’, undi pos, kain batik, bahan binaan untuk rumah, beras, wang tunai dan hantu-hantu yang muncul untuk mengundi adalah sebahagian daripada proses inovatif dan habuannya pilihan raya.
Mutakhir ini, polis juga bermukim, berhari-hari seolah-olah seluruh kawasan pilihan raya itu telah diserang garuda negeri kayangan. Entah apakah yang mahu diamankan, tidaklah kita ketahui. Yang jelas, mereka berkampung. Ada lagikah pasukan-pasukan berseragam yang tidak kita sebut?
Sementara itu pihak yang sepatutnya menjaga SELURUH proses pilihan raya agar sentiasa telus, adil dan saksama selaras dengan lunas-lunas demokrasi, benar-benar menjadi Pak Pacak YangTulen.
iii.
Apakah semua ini berlaku dalam sekelip mata?
Semua ini BUKANLAH terjadi, atau baru bermula semalam. Kerja buat ini berjalan, bertahun-tahun, dengan segala macam penambahbaikan yang sangat inovatif sekali.
Dan kita pun melihat semua ini dengan penuh ― tekun, sabar dan tawakal, namun mata tetap jua terkebil-kebil: Seperti cicak tertelan kapur.
Pernah juga kita dengar hujah@justifikasi balas: Manusia boleh merancang, tapi siapakah yang paling baik perancangannya?
Pernah satu ketika seorang pejuang dalam pidatonya, menceritakan bagaimana di zaman kemuncaknya Islam dulu, seluruh tentera berzikir tahmid, bertahajud ― sujud kepada Maha Penciptanya pada malamnya.
Esoknya, di medan perang, kata pejuang ini lagi, tentera Islam itu adalah harimau yang paling ganas.
iv.
Sebelum terbabas, maka kita pun berhenti.
Kenapa? Mengikut nasihat seorang teman, bila berdepan dengan hal-hal agama, lebih elok jika berhati-hatilah, takut kalau-kalau kita sampai ditanya@ditempelak: Apakah kau SUDAH tidak percayakan Kuasa Ilahi?
Walau apa pun hujahnya, elok juga jika kita terus perhatikan, dengan penuh teliti dan minat apa dan segala yang Umno/BN lakukan dalam mengurus pilihan raya kita.
Kita perhatikan bagaimana caranya dan apakah sebab musababnya sehingga Umno/BN sudah tidak lagi lut dengan teguran dan kritikan berhubung pelbagai pencabulan proses pilihan raya. Ya, pilihan raya, salah satu tunggak utama demokrasi itu.
Yang jelas, Parti Nasionalis itu lebih ghairah bermain demokrasi sesuka hatinya, berdasarkan peraturan dan undang-undangnya sendiri, di padang miliknya sendiri dengan bantuan set pengadilnya sendiri.
Untuk itu, segala peraturan@undang-undang pilihan raya telah didobrak sesuka hatinya.
Orang (baca: Umno) sudah menjadi kebal dan lali kerana terlalu biasa. Apakah ini tidak betul?
Di pihak kita, apa yang telah kita lakukan?
Ya, kita telah bertindak dengan membiarkannya. Terlalu lama, kita membiarkannya.
Kita melihatnya dengan penuh waspada-tapi-tepu-kebimbangan, marah-tapi-berhati-hati, curiga-tapi-menyerah.
Boleh jadi, ya boleh jadi, kita cukup yakin bahawa pabila tiba saatnya, divine intervention itu bakal menyebelahi kita: Maka kita pun tekun dan khusyuk ― membilang-bilang tasbih falsafah.
No comments:
Post a Comment