Saturday, April 16, 2011

Sahabatnya Amin

Pemerintah,  sahabatnya Amin

Amin mencapai tuala di ampaian, seperti dikejar pelesit ― meluru ke bilik mandi, menggosok gigi ala kadarnya, ‘mandi kerbau’ dan terburu-buru pula menyarungi jeans lusuh compang camping ― yang berbulan-bulan  tidak pernah menjamah sabun.   

“Kau mandi apa, Min? Buih sabun penuh di belakang telinga?” demikian ibunya menegur.

Baju T di atas lantai sejak semalam itu dicapai, disarunginya...

“Pergi dulu mak...” sekali lagi Amin meluru dan dia terus meluru.

Di tempat yang dijanjikan, ternyata yang ditunggu belum lagi tiba walaupun Amin sudah hampir-hampir setengah jam terlewat.

Ah, betapa penatnya aku bekejar-kejar supaya tidak terlambat dan tidak mungkir. 


ii.


Amin telah berlumba dengan waktu yang tidak pernah berhenti berdetik itu.

Amin juga telah berjanji dengan seseorang bahawa masa dan tempat pertemuan adalah sekian dan sekian.

Ternyata ada yang mungkir dan Amin dapat merasakan betapa penatnya bergegas dan tergesa-gesa kerana perlumbaan yang sia-sia itu.


iii.


Tatkala memangkah/menjoblos  BN/Umno, mengikut kiraan Amin, hampir-hampir setiap empat tahun sekali, selama tidak kurang tujuh kali dalam sejarah riwayat hidupnya,  Amin memang mengharapkan sesuatu.  Bagi Amin ‘sesuatu’ itu antara lain meliputi:

Pekerjaan yang baik untuk anaknya yang keluar universiti.  (Aduhai,  betapa penatnya menyekolahkan anak itu sehingga tamat.  Rasanya seperti mau copot nyawa mencari wangnya...)

Merasakan bahawa wang dibawa pulangnya setiap bulan itu masih bersisa untuk tabungan demi hari tua.  Betapa sia-sianya harapan itu, makanan seharian pun belum tentu terhidang di atas meja.  Demikianlah makna kehidupan serba mewah di negara yang serba makmur ini.




iv.

betapa penat terkejar-kejar menikung hidup
betapa penat menanti janji setengah abad berlalu
betapa penatnya dengan harapan dilaung  
betapa jenuhnya telinga menebat bicara celaka  
betapa letih siksa jiwa menonton wayang

betapa jelak disodor topeng diperagakan
betapa penatnya menghalau jin, pelesit dan setan
saban hari asyiknya melelong dikri...


v.

Temannya ― Pemerintah, tidak juga muncul-muncul.  Batang hidungnya masih belum kelihatan.
Bagi Amin, Pemerintah ini tak akan muncul-muncul lagi.
Pemerintah,  nyata sekali sudah terlambat
Pemerintah terlupa kepada ‘nilai’ yang mereka dipersetujui: Tempat dan waktu
Amin tahu dia tidak tersalah tempat dan jamnya juga tepat mengukur waktu.

Bagi Amin,  Pemerintah bukan lagi seorang kawan.   


  

No comments: