Friday, April 15, 2011

Tabungan yang tetap dan pasti?

Penghinaan bernama ‘Simpanan Tetap’

Ada satu dua istilah yang menjadi buah bibir orang ramai.  Di antara yang cukup popular ialah, “Lu tolong gua, gua tolong lu.”  Oleh pihak pemerintah,  ungkapan itu dianggapnya sebagai pujukan atau seni dalam berkempen.  Namun pihak Oposisi pula berpendapat itu adalah rasuah.

Sebenarnya ada satu lagi ungkapan yang cukup menonjol: Sarawak itu simpanan tetapnya, fixed depositnya pemerintah.  Kalau dibaca selapis, ungkapan ini bertujuan menyatakan betapa dekatnya BN/Umno itu di hati rakyat Sarawak. 

Rakyat Sarawak tak mungkin melupakan BN/Umno kerana itulah pemerintah yang terbaik untuk mereka.  Kalau di semenanjung Negeri Johor itu ditimang-timang sebagai kubu kuatnya Umno.  Ya, sebagai kubu adalah tidak mungkin pihak Oposisi menghampirinya. 

Logiknya ‘simpanan tetap’  sentiasa memberikan keuntungan kepada sang pelabur.  Sebagai pelabur,  orang yang memiliki dana yang melimpah ruah ini tak perlu risau kecuali mencari buah cepua untuk mengira berapa banyak keuntungan yang bakal diraihnya.  Ya, seluruh rakyat Sarawak itu adalah kantung-kantung rezeki yang sudah berada di dalam poket pemerintah.  Demikian sayangnya orang-orang Sarawak ini kepada BN/Umno, sehinggakan seluruh rakyat Sarawak itu tak lebih daripada angka yang pasti tampil untuk menentukan bahawa yang menjadi pemerintah negara ini hanyalah BN/Umno.

ii.

Apakah ‘simpanan tetap’ ini keyakinan yang berlebihan atau rasa sombong-angkuh yang keterlaluan?

Apakah ini kes nyata sebuah andaian Pandir dan sikap ambil mudah bahawa Sarawak bukanlah masalah kepada BN/Umno?

Satu ketika dulu, di Semenanjung orang kerap menyindir ― jika yang diletakkan sebagai calon itu  ‘sliper Jepun’ ― itulah yang bakal dipilih pengundi sebagai wakil rakyatnya.  Demikianlah perkasanya Umno/BN!     


iii.

Demikianlah makna rakyat (baca: simpanan tetap) itu di mata pemimpin.

Apakah rakyat kita yang terlalu lurus bendul ― atau apakah mereka ― sebenarnya tidak pernah bangun dari lena yang panjang?

Ayuh Sarawak, janganlah biarkan dirimu dihina sepanjang masa...

Marilah kita UBAH!!!

Biarlah April 16, 2011 itu menjadi saksinya bahawa Sarawak bukanlah sekadar angka.



No comments: