Bukan sekadar membaca
Hari ini tidak dapat dinafikan betapa ganasnya cengkaman fahaman kebendaan yang melampaui batas itu telah perlahan-lahan membudaya dalam kehidupan kita. Kita tidak perlu pergi terlalu jauh untuk melihat contohnya. Anak-anak malu apabila kereta bapanya tidak setanding dibandingkan dengan kereta-kereta mewah yang dimiliki oleh ibu bapa teman-temannya.
Sama ada sedar atau tidak, secara psikologisnya kepada anak-anak yang masih mentah ini, kemiskinan itu ialah sesuatu yang sangat hina, jauh lebih hina jika dibandingkan dengan perasuah yang tanpa segan silu dan terang-terangan pula merompak harta negara.
ii.
Salah satu akibat pengaruh budaya memuja dunia (baca:kebendaan) yang berlebihan ini ialah matinya deria pembacaan yang serius@kritis. Maksudnya begini: Membaca untuk tujuan mencari ilmu, pertajamkan minda atau menyerikan landskap rohani sudah tidak relevan lagi. Rata-rata membaca juga sudah dilihat sebagai keseronokan kerana ingin berseronok-seronok semata-mata.
Korban pertama sikap membaca hanya untuk berseronok-seronok ini ialah pupusnya minat meneliti keindahan teks-teks sastera. Teks yang kaya seni pertukangan bahasa dan juga pemikiran itu tidak lagi diberikan perhatian.
Orang lebih berminat memuaskan nafsu mentahnya untuk berseronok-seronok.
iii.
Dan sikap ini terus berkembang biak dalam masyarakat.
Maka anak-anak kita pun berlumba-lumbalah supaya lekas-lekas menjadi doktor yang pakar. Doktor pakar ― yang tanpa segan silunya menolak pesakit yang tercungap-cungap ― bermati-matian berjuang melawan maut. Pesakit malang ini tidak diterima hospital swasta kerana ‘dianya’ tidak memiliki insurans kesihatan.
Begitulah besarnya kezaliman cengkaman bisnes sebuah institusi penyelamat nyawa yang sudah bejat.
Jangan bimbang ― itulah hala tuju negara yang tercinta ini.
No comments:
Post a Comment