Jalan (yang) selamat: Di celah-celah ‘kurang ajar’ dan membisu
Satu ketika dulu, kalau tidak salah sebelum era gah kepimpinan 2M (yang telah dicanang, diangkat, dijunjung dan dijaja sebagai persandingan kuasa paling hebat-serasi ketika itu) seorang pemimpin besar negara kita pernah menyeru supaya orang-orang Melayu menjadi lebih ‘kurang ajar’ ― jika mereka ingin maju.
Orang-orang Melayu mestilah kurang ajar jika mereka mahu maju, demikianlah kata pemimpin besar itu.
Itulah di antara seruan tersohor dalam zamannya ‘Revolusi Mental’nya Senu Abdul Rahman et al.
Ramai juga yang berpendapat bahawa orang-orang Melayu tidak perlu menjadi ‘kurang ajar’ untuk lebih maju. Ada formula lain yang lebih mujarab.
ii.
Hari ini, setelah lebih setengah abad kita merdeka, ― katanya negara kita digelar orang sebuah negara Islam (sederhana) contoh ― yang katanya, sering kali juga membuat orang-orang lain begitu iri hati. Demikianlah, katanya. Ya, kita juga telah mencipta beberapa mercu tanda kegagahan: Sebuah menara kembar, sebuah lagi menara bujang@solo, sebuah sirkit (circuit) balapan kereta lumba dan juga sebuah pusat pentadbiran yang terhampar luas sejauh mata memandang; sebuah syurga kecil pentadbiran di bumi.
Kita bina semua itu kerana di dalam perut bumi bertuah ini minyak itu seolah-olah tidak akan berhenti mengalir.
Tatkala mengambil penumpang, seorang anak mudi yang baru saja selesai shif malamnya di sebuah pasar raya yang maha besar, sempat juga saya bertanya, “Kenapakah tak jalan saja, bukankah seksyen 4 itu cukup dekat?”
“Jalan? Tak beranilah pak cik! Kawan saya baru saja patah giginya ditolak Mat Rempit sebab diragut begnya! ”
Hampir semua yang ditanya pernah melihat, mendengar malah mengalaminya. Dua orang tetamu, seorang pemuda dan seorang pemudi menjelaskan bahawa mereka sentiasa saja trauma setiap kali mendengar engin motosikal, lebih-lebih jika datangnya dari belakang!
iii.
Kita mungkin pernah melihatnya, ya ― melihat semua kejahatan, jenayah dan salah laku seperti ini, terjadi di depan mata kita. Kita kerap melihat bagaimana motosikal melanggar isyarat lampu merah ― secara terang-terangan dan dengan begitu membahayakan sekali.
Kita melihat, melihat, melihat dan melihat...
Kita melihat seorang wanita dirempuh untuk dirompak tas tangannya.
Kita melihat dan terus melihat.
iv.
Ada soalan yang kerap timbul dari benak ini:
Apakah ini semua akibat kehilangan barakah kepimpinan?
Kita semua telah menjadi satu bangsa pemerhati yang bisu dan kaku. Kita seolah-olah menjadi satu bangsa yang nyanyuk.
Telah nyanyukkah kita?
No comments:
Post a Comment