9 Julai 2011: Yang meruntun nuraniku
Tajuknya tak ubah karangan semasa kita di sekolah dulu. Ketika kita diminta oleh guru kelas menulis sebuah karangan tentang suatu peristiwa yang pada pandangan kita cukup menarik sehingga berbekas dan tidak dapat dilupakan ― “Peristiwa yang tidak dapat kulupakan.”
Dalam bayangan saya, seluruh episod “Bersih 2.0: Menapak ke Istana Negara” itu adalah peristiwa santai yang cukup meriah, semacam perayaan atau sebuah festival yang tepu warna kuningnya. Bayangan pengalaman semasa bersekolah di Katholieke Universiteit Leuven, Belgium tatkala kembara bersama-sama teman-teman dan keluarga ke Keukenhoff, Belanda untuk melihat meriahnya perayaaan 6 juta tulip, terasa begitu segar sekali. Seluruh bandar kecil itu berwarna warni dan begitu meriah dengan bunga-bunga tulip.
Pendek kata, aroma tulip yang kembang mekar memenuhi seluruh persekitaran. Bayangkanlah keindahan suasananya, persekitarannya dan manusianya.
2.
Sejak jam 10 pagi kota Metropolitan Kuala Lumpur telah menjadi hiruk pikuk dan riuh rendah dengan sedemikian ramai tetamunya. Mereka adalah rakyat Malaysia yang datang dari seluruh pelosok tanah air, termasuk Sabah dan Sarawak untuk satu tujuan: Berkumpul di Stadium Merdeka sebelum, ramai-ramai menapak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Agong.
“Ampun Tuanku,
Inilah permintaaan rakyat Tuanku: Bersihkan pilihan raya kita!”
Di luar pagar Istana, setiap milimeter halaman dan kawasan sekitarnya, dipenuhi oleh rakyat yang telah berkumpul; dan mereka tak henti-hentinya melambai-lambai kepada ke Bawah Duli Tuanku. Ada yang tidak dapat mengawal kegembiraannya - mereka menari-nari sambil berpegangan tangan. Ah, para pelancong juga ikut menari-nari.
Oh, ya, Awang Don penjual ais krim Warung Pekasam telahpun diserbu manusia. Tidak sampai seminit, lansailah jualannya.
CNN, BBC, ABC turut berpesta berita; berita yang penuh warna warninya.
Berjuta-juta kilometer di angkasa raya, warna kuning yang begitu meriah nyalanya itu telah dicerap satelit. Mengikut maklumat NASA, rupa-rupanya terkedu juga mesin ini di pelantarnya tatkala menyaksikan bahagian buana di sebelah sini telah kuning semuanya. Apa pun reaksi dan perasaan mesin itu, ternyata seluruh rakyat Malaysia di buana ini, walau di mana saja mereka berada, meyaksikan pancaran warna kuning yang kilau kemilau itu.
Luar biasa...kuningku, kuning milik kita bersama.
3.
Begitu selesai acara penyerahan memorandum kepada Ke Bawah Duli Tuanku Yang Dipertuan Agong, PM yang dikasih, Menteri Perdana Satu Malaysia kita, mencapai mikrofon yang begitu lama terpacak di rustrum...
“Saya bersyukur, Alhamdulillah dan saya begitu berbangga sekali dengan rakyat negara ini yang telahpun bangun untuk memberikan maklum balas kepada pemerintah. Saya sungguh bertuah kerana menjadi kepala negara ini ― dan tuan-tuan adalah rakyat negara ini.
Percayalah, isi memorandum ini akan kami teliti dan kita perbaiki seluruh proses pilihan raya kita.
Percayalah itulah janji saya, janji seorang PM Satu Malaysia.”
Maka gegak gempitalah seluruh persekitaran Istana Negara tatkala itu.
4.
Aku tidak malu mengakuinya: Bahawa sebagai lelaki tua, ternyata aku terlalu cengeng. Aku teresak-esak sepanjang perjalanan pulang ke Wangsa Maju. Aku menangis semahu-mahunya di dalam tren. Kaum Hawa yang melihat aku menangis - seorang lelaki yang sudah terlalu tua menangis, juga turut menangis sepuas-puas hati mereka. Kami pun menangis beramai-ramai di dalam tren.
Betapa bertuahnya kita mendapat Menteri Perdana Satu Malaysia yang mengerti hati nurani rakyat.
5.
9 Julai 2011 adalah saat seluruh Malaysia menangis kerana terlalu gumbira.
No comments:
Post a Comment