Pengalaman sebenar Bersih 2.0
Versi dimimpikan itu telahpun dipos ke laman blog saya. Sebuah coretan, versi impian yang telah saya aduk-gaulkan berdasarkan pemerhatian segala macam rencah bertingkah yang muluk-muluk; sikap, perangai dan tingkah laku seorang pemimpin idaman. Citra seorang Menteri Perdana yang menjadi impian kita bersama. Ini bermakna coretan itu bukanlah versi rekaan yang wujud di dalam ruang yang kosong semata-mata. Itulah versi yang terpahat di dalam sanubari setelah sekian lama berharap dan mengharap.
Jangan lupa, saya bukanlah seorang remaja. Saya jauh lebih tua usianya daripada Perdana Menteri kita. Apa pun itu adalah harapan saya sebagai seorang rakyat biasa. Pada pandangan saya di negara kita sekarang ini, ramai yang begitu mengharapkan seorang Menteri Perdana Malaysia yang besar jiwanya; seorang Perdana Menteri KITA; seorang ketua kerajaan yang tulen, yang mencintai negaranya dengan mencintainya rakyatnya dengan bukti-amalan konkrit. Bukannya watak ala fiskyen@fictitious yang berdegar-degar di kaca tv, di depan khalayak; watak yang sedang dilakonkan, yang merencong di dalam walaupun kelihatannya pepat di luarnya.
2.0
Tapi apakah yang sebenarnya tertancap dalam sanubari ini? Imej apa dan yang bagaimanakah yang telah dan bakal berulang dan diulangi dalam minda dan jiwa kita? Jawapannya ialah bagaimana segala pengalaman kita itu telah dirakamkan oleh deria kita yang lima itu. Pancaindera yang peka tidak dapat berbohong tentang apa yang telah dilakukan, lebih-lebih lagi oleh seorang Menteri Dalam Negeri dan segala aparatnya. Peristiwanya telah terakam di dalam kotak memori. Kecualilah jika ada bahagian-bahagian cpu kita itu luntur dan aus, rosak atau dirosakkan, kita terus mengingati 9 Julai 2011 (709) berdasarkan pengalaman kita masing-masing.
3.0
Kami berempat: Dinsman, Hasni, Abu Samah (aktivis ABIM dll dari Kota Bharu) dan saya sendiri. Kami bermula dari Kampung Pandan dan dihantar ke terminal yang boleh dicapai kenderaan oleh seorang simpatisan yang dekat.
Ternyata sepertimana yang diduga semua jalan ditutup rapat termasuk yang berhampiran dengan Pasar Pudu itu. Di situlah kami mula menapak sehinggalah sampai ke Warung Rakyat, tempat kami berkumpul dan beraksi dalam usaha untuk menyelamatkan Dewan Bahasa dan Pustaka daripada kehancuran. Matlamat kami ialah untuk berkumpul di Stadium Meredeka jam 2 petang.
Sepanjang perjalanan, siri pesanan ringkas terus saja datang dan pergi. Dari dua orang teman, Roslan Endau Rompin (Lan bilakah kita dapat bertemu di alam nyata?) dan Phuah Kim Heng, kami tahu apa yang sedang berlaku:
Bahawa aksinya yang paling gencar ialah di Petaling Street, Pudu, Menara Maybank, Stesen LRT KL Sentral. Saya katakan kepada teman-teman, “Kita akan kehilangan peluang untuk mengalami serangan mereka kali ini. Kita tidak akan merasakan ulangan PPSMI kali ini.”
Berulang kali saya berpesan kepada Roslan Endau Rompin, “Jangan sampai tertangkap sekarang ― rugi. Jika perlu, biarlah mereka tangkap kemudiannya.”
Sementara itu Cikgu Azmi Hamid terus bertanya, “ Kassim di mana?’
“Di Warung Rakyat.”
“Saya tersangkut dekat Bangsar, macam mana?”
“Semua tempat sudah dikepung. Dah jadi zon perang. Cikgu cari jalan supaya sampai tempat paling dekat. Mungkin yang terdekat ialah jalan ke Parlimen. Lepas itu jalan kaki saja...”
Apa pun sebelum zohor, Cikgu Azmi telahpun bersama-sama kami.
Tatkala waktunya hampir 2 petang, ada kawasan tadahan tertentu Kuala Lumpur menangis. Ya, langit yang baik hati itu juga turut mencurahkan air mata dukanya. Kemudiannya kami mendapat tahu, air mata langit itulah yang telah membantu mengurangkan kepedihan tembakan gas dan curahan air pemedih mata yang dituangkan oleh helikopter yang berterbangan di atas aras puncak-puncak bangunan.
Mereka yang bersenjata lengkap itu sedang asyik berpesta dengan menembak rakyatnya. Mereka telah lupa bahawa segala peralatan itu, mesin dan gaji yang mereka cucuk setiap bulan itu adalah duit cukai yang dipungut dari rakyat. Betapa haramjadahnya mereka ini, demikianlah yang tergetus dalam hatiku.
Jangan khuatir, Sim, jangan bimbang, mereka akan berdepan dengan Yang Maha Kuasa di akhirat kelak.
4.0
(Bersambung, insyallah)
No comments:
Post a Comment