Saturday, July 9, 2011

Sabtu 9 Julai 2011: Rakyat bangkit!

12.07 pagi, Sabtu 9 Julai 2011.

Jam di dinding sudahpun 12.07 pagi, Sabtu 9 Julai 2011.

Sesungguhnya 9 Julai 2011 itu adalah satu tarikh yang sangat bermakna kepada SELURUH rakyat Malaysia yang masih mampu berfikir secara serius dan konsisten bahawa hak rakyat sesebuah negara merdeka itu termasuklah, hak mereka untuk memilih pemerintah yang mereka inginkan. 

Ya, adalah menjadi hak mutlak rakyat Malaysia mendapat hak dan kebebasan mereka untuk memilih sebuah pemerintah yang mereka dambakan itu, dengan cara yang betul. 

Ya, hak seluruh rakyat Malaysia untuk memilih pemerintah mereka sendiri secara ― bebas, telus, adil, bersih dan saksama.  

Aneh,  tapi benar.  Kini sekali lagi, rakyat bangun untuk menyatakan bahawa sesungguhnya proses pemilihan kerajaan yang berlaku selama ini banyak cacat celanya. Bahawa selama ini permohonan rakyat supaya proses pemilihan kerajaan itu dibersihkan dari noda dan cela penipuan itu,  dipandang sepi dan tidak dipedulikan oleh Sang Pemerintah. 

Rupa-rupanya permohonan bersungguh-sungguh dan penuh iltizam rakyat ini telah menyebabkan Sang Pemerintah itu sangat takut dan begitu sekali gemetarnya. 

Kenapakah Sang Penguasa yang memegang tampuk kuasa selama ini begitu takut dan gementar  dengan usaha penambahbaikan proses pilihan raya negara kita?  Kegabahan dan paniknya ini telahpun ditunjukkan oleh Sang Pemerintah itu kepada seluruh dunia. Dengan segala kudrat,  bala tentera dan kekuasaan yang dimilikinya ― pemerintah ini sedemikian bersungguh-sungguh  sekali mahu menghalang segala usaha rakyat yang kini bangkit sekali lagi untuk menentang ketidakbecusan Sang Penguasa dalam mengurus tunggak demokrasi yang paling asas ― pilihan raya yang adil dan bebas.

Bukankah nyata Sang Pemerintah ini tidak mahu proses pemilihan pemerintah itu menjadi telus, adil, bebas  dan bersih?  

2.
 
Hari ini, pada pukul 2 petang, 9 Julai 2011, hari Sabtu yang penuh bersejarah ini dengan latar peristiwa sepertimana yang dinyatakan di atas, kita pun bangkit untuk berkumpul di Stadium Merdeka.

Kita menuntut agar rakyat negara kita dan zuriat keturunan kita kelak,  bebas dan merdeka dari segala bentuk penipuan, penindasan dan tipu helah; segala kerja buat peninggalan penjajah.

Kita mesti merdeka dari penjajahan baru!


3.

Apakah Sang Penguasa ini masih lagi waras dan ― bertamadun?

Marilah, kita sama-sama mendoakan kesejahteraan ummah dan juga keamanan negara ini.

Insyallah, kita berjumpa di Stadium Merdeka,  beberapa jam lagi.

Allah Maha Besar.

Amin.


1 comment:

ainurjah said...

Takbir!!! May God bless you all the way to Merdeka Stadium on patriotic mission to bring back democracy, the original style, NOT the Malaysian style as referred by The Aljazeera.