Wednesday, October 26, 2011

Buah tangan manusia kiri

“...maka kami lantik tuan menjadi penghulu kami dengan gelaran ‘Batin Putih’”


Di kulit depannya, “Putera Gunung Tahan” tertulis “klasik melayu terpenting abad 20.”  Kali pertama membacanya, saya mencari-cari maknanya.  Maka saya ulanginya lagi.

Sesiapa yang belum membacanya, eloklah cari senaskhah dan kunyahlah karya manusia kiri yang semasa hayatnya, tak begitu digemari Sang Penguasa ini. Lihatlah bagaimana seorang manusia Melayu cerdik, yang dipinggirkan oleh Sang Penguasa itu, melihat ‘kehebatan’ bangsanya ─ sebagai pecacai!


Apakah yang terdapat dalam buah tangan Pak Sako, Putera Gunung Tahan, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2000 ini?  

Kita petik di sana sini untuk renungan bersama:


“Seketika lagi dua ekor babi yang gemuk dibawa oleh empat orang ke tepi suatu unggun api yang sedang berbara dan kemudian babi itu dilayurkan ke api itu.  Entah dari mana datangnya babi itu tidaklah Tuan Robert tahu.  Selain daripada dua ekor babi itu ada beberapa banyak buah-buah kayu dan umbut-umbut serta lain-lain benda yang boleh dimakan.  Alangkah peliknya Tuan Robert menyaksikan hal kelakuan mereka itu. 

Setelah pukul dua belas tengah malam lebih kurang, datanglah ketua atau batin sakai itu ke tengah-tengah kumpulan yang ramai itu memberi isyarat menyuruh semuanya bangun dan berpegang tangan menjadi satu bulatan di keliling unggun api di mana dua ekor babi itu sedang mengerekot hampir masak.  Kemudian bergeraklah semuanya berjalan mula-mula perlahan kemudian beransur cepat bernyanyi beramai-ramai beberapa lagu yang dilancar dan dipelajari oleh mereka itu.

Sesudah berkeliling beberapa kali duduklah semuanya dan babi itu pun dilapah dan dipotong-potong diperbahagikan sedikit seorang dan makanlah mereka itu dengan kesukaan dan gurau sendanya.  Tuan Robert telah diperdudukkan di tengah-tengah kumpulan itu, di sebelah kirinya tuan penghulu sakai itu dan di sebelah kanannya ada seorang perempuan tua yang berbeza dengan dengan perempuan-perempuan yang lain yang ada di situ pada tentang pakaian, kelakuan dan makanannya.  Pada rupanya nyatalah perempuan itu seorang Melayu dan Tuan Robert percaya begitu kerana perempuan itu tidak mahu memakan daging babi yang diperjamukan itu.

Seketika lagi bersuaralah Tuk Batin itu dan tiap-tiap seorang yang lain di dalam kumpulan itu pun diamlah mendengarkan percakapan tuan penghulunya itu.  Sambil bercakap ia menunjuk kepada Tuan Robert tetapi orang putih itu tidak tahu apa makna dan tujuan percakapan itu.  Ada lebih kurang setengah jam ia bersyarah maka menghadaplah ia kepada perempuan tua yang di sisinya itu serta berkata beberapa patah perkataan dengan perlahan-lahan sambil merenung kepada Tuan Robert.

Setelah itu berpalinglah perempuan tua itu kepada Tuan Robert seraya berkata padanya dalam bahasa Melayu:  “Bahawa kami sekalian penduduk-penduduk di hutan rimba yang tersorok ini telah pernah mendengar darihal keadilan, kepandaian dan kekuatan bangsa kulit putih dan kami tahu serta sedar bahawa tanah tempat kami duduk beramai-ramai pada malam ini ialah tanah yang diperintah dan dinaungi oleh bangsa kulit putih.

“ Sekarang tuan telah sampai ke tempat kami ini, dan sesungguhnya kami dengan segala hormatnya meminta tuan sudi tinggal bersama-sama kami dan menunjukkan kami jalan yang sebenar dan memajukan kami.  Kami mengadakan keramaian dan jamuan yang tidak seperti ini ialah menghormati tuan dan dengan nama Tuhan kami maka kami lantik tuan menjadi penghulu kami dengan gelaran ‘Batin Putih’.”        


BAB 4 : SIAPA PEREMPUAN TUA ITU DAN KISAHNYA

Setelah selesai...”

Demikianlah petikan halaman 24 – 27,  Putera Gunung Tahan:        


Dan di bahagian akhirnya, kita temui:


“ Dengan tidak disangka ia telah jatuh asyik kepada Ratu Bongsu sebagai asyik yang ia belum pernah rasa dahulu daripadanya.  Tutur kata, gerak-geri dan tingkah kelakuan Ratu Bongsu telah menawan akan hatinya, semangatnya, fikirannya dan tubuh badannya.  Keinginan hendak merebahkan diri di pangkuan anak raja itu, hendak mencium bibirnya yang merah berseri, hendak memeluk lehernya yang jinjang, hendak menggosok pipinya yang licin dan hendak menghamburkan isi jantungnya yang penuh dengan cinta berahi itu amatlah kuat tetapi dengan seboleh-bolehnya ditahannya.

“Apakah hajat tuanku berangkat ke pondok patik pada waktu luar biasa ini?” bertanya Mem William.

“Saya datang ini ialah hendak bertanya adakah mem bercita-cita hendak balik ke tanah air mem mendapatkan sanak saudara dan kampung halaman mem di sana kerana mem telah terpenjara di sini hampir-hampir tiga tahun lamanya, “ jawab Ratu Bongsu denga merupakan kasihan belasnya.

“Segununglah terima kasih patik kerana perasaan, ingatan dan budi bahasa  tuanku kepada patik yang hina ini tetapi patik tidaklah teringat lagi akan tanah air atau sanak saudara ataupun kampung halaman patik.  Adapun patik telah terbang dan hinggap ke mari dengan tujuan hendak mencari suami patik tetapi malangnya bagi diri patik suami patik telah mati, hanya kuburnya ada di sini.  Oleh itu sukalah patik tinggal di sini, sekurang-kurangnya hampir dengan semangatnya jadilah.

Ratu Bongsu:

Jikalau sudah begitu kemahuan dan perasaan mem apalagi saya hendak katakan tetapi saya takut kalau-kalau mem berasa terlalu sunyi maklumlah hidup di dalam hutan rimba ini.   

...


Maka dipeluknya leher anak raja itu dengan kemas dan bergantunglah ia sambil merapatkan mukanya, mulutnya, hidungnya dan rohnya  bertemu dengan anak raja itu.

Ratu Bongsu: 

Janganlah mem berbahasa patik dengan tuanku lagi.  Saya pun telah asyik berahi kepada mem.  Saya datang ini dengan tujuan hendak bertanya adakah mem suka saya jadikan mem, rani bagi gunung ini.

Mem William:

Saya reda dan saya suka, saya serahkan nyawa dan badan saya kepada tuan, moga-moga dapatlah kita seorang anak lelaki yang akan menjadi pemerintah alam yang permai di keliling kita ini.


Ratu Bongsu:

Saya pun harap begitu juga, marilah kita ...”


Maka telah sampailah kita ke halaman 117, maka tirai pun lalu ditutup.



No comments: