Wednesday, October 19, 2011

Cerita persidangan

Sidang para Tok Sidang


Nama negaranya Entah Berentah, di Negeri Poyo (NEP).  Sampai ke saat ini belum ada sesiapa pun yang benar-benar pasti di zon mana dalam Galaksi Raya, negara ini tercokoh.  Apa pun ramai yang cukup yakin NEP itu benar-benar ada.

Satu ketika tersebarlah khabar-rahsia-yang-bukan-lagi-rahsia bahawa satu persidangan maha besar telah diadakan di NEP.  Dalam persidangan maha mega itu,  segala macam pemimpin yang mewakili segala macam mak nenek persatuan dan kesatuan telah dijemput hadir.  


Tatkala berkumpul itu, maka berceritalah dua orang perwakilan:


AMO:  Saya FELDA, wakil AMO, Angkatan Makan Orang.

MA:  Aku wakil MALTU, Maling Tulen.

(Mereka pun bersalaman, kemudiannya berpeluk-pelukan ibarat dua saudara satu ibu, dua bapa yang hidup berpisahan lalu bertemu semula setelah setengah abad,  terpisah)     

AMO:  Kamu tentunya seorang maling?

MA:  Tidak.  Aku pemimpin. 

AMO: Wah, bagaimana mungkin pemimpin Maling Tulen bukannya seorang maling?

MA:  Yang maling hanya ahlinya,  bukan pemimpinnya. Pemimpin tetap pemimpin.

AMO:  Apa mungkin begitu?  Ahli persatuan nelayan tentunya seorang nelayan. Bagaimana mungkin ketua para maling bukannya seorang maling.  

MA:  Ada bezanya.  Seorang coach, jurulatih bola sepak tak semestinya seorang pemain.  Dia mungkin saja kaki bangku.

AMO:  Aneh...

MA:  Kenapa aneh?

AMO:  Dalam masyarakat kami, yang namanya ketua itu semuanya maling.  Bedanya skalanya saja, kecil atau pun besar!

MA:  Apakah kamu tak ada pemimpin?

AMO:  Kami serba lengkap: Ketua adalah maling adalah ketua.

MA:  Wah, betapa luar biasanya kamu-kamu semua.

AMO:  Apa situ belum pernah dengar: Serba Boleh?

MA:  Oooo, ya...ya...rupanya slogan ituuuu....


(Mereka pun berdekah-dekah sambil berpelukan lagi)


No comments: