Friday, October 21, 2011

Episod Aziz Bari

Tentang alat dan perkakas


Bahawa bangsa (Melayu) dan agama (Islam) itu kerap diperalatkan oleh Sang Penguasa kita, Umno dkk (dan kawan-kawannya) sudahpun diketahui umum.  Yang tidak tahu, atau yang berpura-pura tidak tahu hanyalah para pengikut-penyokong yang membutakan mata hatinya kerana kepentingan perut.  Mereka yang betul-betul tidak tahu termasuklah kelasnya yang TIDAK pernah berfikir. 

Sementara itu rakyat bukan Melayu yang satu ketika dulu begitu bimbangkan Tok-Tok Lebai Pas yang dicap oleh Umno fanatik itu, sudahpun mendakap Pas.  Orang-orang Melayu pula ketawa berdekah-dekah jika Sang Penguasa ini syarahkan mereka tentang betapa bahayanya DAP dengan agenda Malaysian Malaysianya. 

Perkembangan ini menjadi masalah besar kepada Sang Penguasa ini.  Ini malapetaka yang maha cukup besar.  Rakyat yang semakin TIDAK LAGI boleh ditipu kecuali yang menjaga perutnya dan yang tak pernah berfikir membuat Sang Penguasa tenggelam punca.  

2.

Kenapakah perubahan ini terjadi?

Rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan telah bangkit dan dengan lantang sekali menyatakan:

Pergi jahanam kamu, Sang Penguasa zalim.
Pergi jahanam dengan segala penipuanmu itu!


3.

Ada satu lagi belati yang kerap mereka acungkan sebagai senjata: Institusi Raja.

Tatkala Sang Penguasa itu masih lagi gagah,  baik dari sudut politiknya maupun ‘kemurnian’ perjuangannya, orang-orang Melayu masih percaya bahawa Sang Penguasa dkk itu, memang menjaga institusi Rajanya.

Senario ini juga telah berubah.  Ia berubah dengan begitu mendadak akibat perbuatan dan tingkah lakunya Kutty Yang Satu itu.  Kutty yang naik minyak itu,  melondehkan institusi Raja.  Kutty,  dengan penuh nyala nafsunya menggunakan segala alat, perkakas, pecacainya untuk mencerca Raja-Raja. 

Tak cukup dengan itu,  dianya adakan rapat-rapat umum untuk menunjukkan kesungguhannya itu.  

Dan aneh sekali, dianya masih berfikiran bahawa sesungguhnya semua Melayu memang mudah lupa. Begitulah dianya.       

Dalam kes menghina Institusi Raja ini, terdapat satu lagi peristiwa yang kerap dirujuk rakyat, khususnya orang-orang Melayu. Setelah selesai pilihan raya umum sarat penipuan di Terenganu itu, telah tercetuslah peperangan terbuka di antara kabilah-kabilah Sang Penguasa. 

Kemuncak peperangan ialah kemunculan satu lagi bentuk cercaan: Sepanduk ‘Natang’ itu.  Apa pun latarnya peristiwa,  sepanduk ini tidak dapat menyembunyikan kerja buat Sang Penguasa terhadap institusi Rajanya.


4.

Ghairah syahwatnya Pinky untuk menawan semula Selangor mungkin jauh lebih besar daripada tegaknya syahwat Sultan Melaka tatkala mengidamkan batang tubuh Puteri Gunung Ledang.  Oleh sebab itu para pemikirnya pun menetaskan pelbagai episod untuk menawan semula Selangor.       

Mereka mungkin percaya dengan melaga-lagakan gereja dan pemeritah Pakatan Rakyat mereka akan mendapat laba yang terbaik.

Kini, hari ini kita melihat dengan begitu jelas sekali bagaimana telah lahir seorang Aziz Bari dengan senarai pertanyaan:

Apakah ada manusia yang maksum ─ tidak berdosa, hatta Sang Raja sekali pun?

Apakah salah jika saya berhujah menggunakan dokumen negara yang ada, menggunakan ilmu, kefahaman dan tafsiran saya?


5.

Seperti biasa Sang Penguasa ini tidak tahu bahasa lain selain daripada kekerasan, kepogahan dan unjuk kuasa telanjang yang hodoh.

Sekali lagi, dan kini sebuah lagi institusi, kali ini UIAM diheret untuk memuaskan syahwatnya Sang Penguasa. 

Kata Cikgu Azmi, di zaman silam Hang Nadim dimusnahkan kerana kecerdikannya.

Apakah Hang Nadim moden juga mahu kita biarkan untuk dimusnahkan? 

Dimusnahkan demi memuaskan nafsu Sang Penguasa rakus dan zalim?



No comments: