Thursday, October 20, 2011

TERAS TIDAK DAPAT MENERIMA TINDAKAN MENGANTUNG AZIZ BARI

Kenyataan Media TERAS
21hb Oktober 2011


TERAS TIDAK DAPAT MENERIMA TINDAKAN MENGANTUNG AZIZ BARI


TERAS menganggap hukuman digantung dari menjalankan tugas ke atas Prof Aziz Bari bagaikan legenda Hang Nadim dalam cerita purba Singapura dilanggar todak.

Akibat beliau mengeluarkan pendapat berdasarkan kepakaran dan kelimuan akademiknya, beliau telah dihukum hanya kerana dilihat tidak memihak kepada pihak wewenang dan dianggap mengancam masa depan kelompok politikus bernafsu. 

Ini adalah hari yang hitam untuk dunia ilmu dari sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa. Menghukum seorang ilmuan untuk tunduk kepada desakan dari golongan yang jahil.

Tuduhan yang liar dan cuba mengheret seorang sarjana ke kancah dunia politik tidak beradab serta membuat laporan polis atas alasan menghina Raja, adalah petanda kerendahan politikus bertaraf kelas ketiga. 

TERAS kesal dan tidak dapat menerima tindakan pihak pegurusan UIA yang menggantung tugas pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah undang-undang universiti itu atas alasan "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" yang telah dimaklumkan dalam surat yang dikeluarkan kepada beliau.

Soalnya apakah kepentingan universiti yang telah beliau gugat? Adakah taraf universiti tersebut tercemar? Jika benar, apa buktinya ia tercemar?

Bagi TERAS ini adalah prisiden dan kejadian yang sangat tidak sihat bagi dunia akademik.

Prof Aziz Bari berkhidmat dengan UIA sejak 22 tahun lalu menjadi mangsa kepada kegelojohan ahli politik yang hanya mahu seluruh sistem yang ada di negara ini ditundukkan kepada kehendak mereka. 

Yang jelas beliau tidak samasekali boleh dimasukkan dalam kelompok yang mempunyai kepentingan meraih keuntungan politik seperti terdapat setengah ahli politik yang hanya mempunyai cita-cita dangkal untuk memenuhi ego masing-masing.

Kami kesal bagaimana beliau telah dilihat sebagai orang yang melakukan hasutan apatah lagi tuduhan bahawa beliau telah melakukan suatu yang menjejaskan imej atau kepentingan UIA. Padahal beliau adalah antara pensyarah kanan dalam bidang undang-undang perlembagaan yang ulung di negara ini.


Adalah tidak manasabah beliau mengeluarkan kenyataan yang tidak berasaskan ilmu yang menjadi bidang kajiannya sehingga beliau menjadi sarjana yang mempunyai autoriti untuk memberi pandangan.

Kesan dari tindakan ini bukan sahaja menjejaskan imej UIA yang seharusnya menghormati kebebasan akademik malah ia juga menghilangkan keyakinan warga akademik dan masyarakat awam terhadap wibawa universiti itu sendiri. 

Selain itu implikasi kepada pelajarnya daripada daripada peringkat sarjana muda hingga ke doktor falsafah (PhD) juga akan turut terjejas.

TERAS juga kesal dengan tindakan beliau disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung reaksinya kepada titah Sultan Selangor berhubung
pemeriksaan sebuah gereja di Petaling Jaya. Seolah beliau telah melakukan suatu jenayah besar untuk dihadap dengan sesiatan polis.

Apakah hanya dengan mengeluarkan pendapat terhadap Sultan Selangor bahawa baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam, menjadi suatu kesalahan?

TERAS mengesa hukuman gantung dari tugas itu ditarik balik, dan Prof Aziz diberi kebebasan sebagai seorang sarjana untuk memberi pandangan dalam bidang yang beliau adalah pakarnya.



Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS


No comments: