Monday, October 31, 2011

Kemahiran berbahasa

Premisnya: Yang luaranlah menunjukkan kualiti


Ramai juga yang yakin, oleh itu kerap tertipu, bahawa penampilanlah yang paling penting kerana ia ‘memperlihatkan’ kehebatan.  Maka oleh sebab itu,  di permukaan yang bertali leher dan berkot walaupun di tengah-tengah panas yang terik itu, itu ditanggapi sebagai hebat, pandai dan cerdik.  Dan sesiapa saja yang muncul dengan kain pelikat dan baju Melayu besar kemungkinan dikira berotak selut.  Tidakkah kita kasihan melihat sikap yang sebegini? 

Mungkin kerana pengalamannya atau mungkin juga kerana kecerdikan semula jadinya, gajah tidak pernah terpedaya melihat durian; ia tahu di sebalik isinya yang berbau, durian  tetap sedap dan menyelerakan. Ya, gajah yang katanya berotak kecil, masih tidak secetek sesetengah manusia yang begitu percaya bahawa bahasa yang dituturinya yang sentiasa mengangkat darjat dan tahap pemikirannya. 

Mungkin oleh sebab itu, seseorang yang berbahasa Inggeris yang berair, berkot dan bertali leher selalunya dikira berilmu, terpelajar dan pastinya menguasai ilmu.

Kenapakah ramai lagi di kalangan kita yang masih keliru dan belum mampu membezakan di antara kompetensi berbahasa dan kemampuan mencari ilmu?

Adakah ini akibat pengaruh dan kesan hegemoni serta minda yang tewas dan tertawan itu?


No comments: