Thursday, November 3, 2011

Menikamnya metafora

Onak dan duri di tengah ladang 


Ah, betapa nyerinya derita berpanjangan akibat duri di dalam daging itu; bisanya menyakitkan seluruh dan segala sendi dan utut, urat dan saraf, daging dan tulang-tulang batang tubuh.  Ah, hiruplah kelegaannya; nikmat yang dihela tubuh sebaik saja duri berbisa itu direntap keluar. 

Pentasnya warna dan warni, bilasan harum-harum kembang dalam ranum musim panas semerbak ke seluruh padang lapang ─ sejauh mata memandang.  Baginya itu adalah kisah cedera harum alam dek hadirnya duri-duri degil berbisa,  di tengah-tengah hamparan padang kembang yang maha indah itu!


2.

Selama enam puluh tahun dalam abad ke 19, Empayar Rusia Nicholas I adalah tajak;   saban waktu gigih membuang segala onak dan duri di padang itu.  Ah, tidak terkatakan lagi, berapa dan segala tangan yang telah terkorban tatkala mengusik tanah ladang yang terlarang itu.  Duri-duri berbisa tetap jua degil ─ tidak mahu nyah dari padang yang maha indah itu. 

Bagi Tolstoy para pejuang Chechnya adalah duri-duri degil yang berbisa.  Hadji Murat ialah kisah duri yang sentiasa begitu digeruni, kisah perjuangan Sang Pejuang yang akhirnya menyerah kalah.  Bukan itu saja, musuhnya dan mantan bosnya Hadji Murat,  Imam Shamil juga menyerah untuk meninggal dengan aman di Medinah.


3.

Karya terakhir Tolstoy ini (yang ditulis Tolstoy bersama Resurrection) ialah kisah jihad di bawah panji-panji agama oleh sekian banyaknya kabilah Banjaran Gunung Caucacus yang oleh orang-orang Arab digelarnya Banjaran Pelbagai Bahasa.  Orang Rom pula dikatakan menggunakan 130 orang jurubahasa untuk berinteraksi dengan para penduduknya.

Pengajaran paling menarik Hadji Murat Leo Tolstoy ialah bahawa yang mampu disatukan di bawah panji-panji tauhid itu musnah dan berkecai sebaik saja agenda peribadi didahulukan.  Sang protoganis kita telah berhijrah dari daerah-daerah  kebangsaan, agama dan politik sebelum kembali ke agenda peribadi.

Siapakah yang masih belum yakin bahawa sesungguhnya bahasa jika ditukangi dengan baik oleh para pemikir dan pemerhati tekun yang namanya sasterawan itu tidak bermanfaat?



Nota kaki:

Leo Tolstoy, Hadji Murat terjemahan Kyril Zinovieff dan Jenny Hughes Oneworld Calssics, Surrey, U.K. 2011 (25 bab, 164 halaman)

Tolstoy memulakan novelnya begini:

“I was coming home through the fields.  It was the height of summer.  All the meadows had been mown and they were just about to harvest rye...”

Dan mengakhirnya seperti ini:

“This is this death of which I was reminded by the crushed thistle in the middle of the ploughed field.”

Betapa menikamnya metafora itu. 

thistle” ertinya:  Mana-mana satu dari berbagai-bagai tumbuhan liar dengan daun berduri dan bunga berwarna ungu, putih, atau kuning (lambang kebangsaan Scotland); thistle. Kamus: Oxford Fajar

No comments: