Monday, February 13, 2012

Gelodak senyap

Semakin nyaring
Oleh: Ainurjah, Perlis


Mutakhir ini, di mana-mana pun orang bercakap tentang PRU13 sudah dekat. Di mana-mana pun kita tengok tanda-tanda bahawa PRU semakin hampir. Di antara tanda-tanda itu ialah serangan tidak henti-henti dalam media cetak dan elektronik terhadap pihak Oposisi khususnya komponen PR. Bukan sahaja serangan terhadap parti, malah terhadap batang tubuh pemimpin pembangkang juga tidak henti-henti dilakukan.

Melaga-lagakan antara parti-parti dalam PR adalah tektik BN yang tidak pernah kenal jemu. BN begitu yakin bahawa tektik ini pasti akan mengkucar-kacirkan PR. Dalam arena politik berdasarkan persepsi, BN rasa dengan percakaran tidak henti-henti sesama parti-parti dalam PR, rakyat akan melihat PR sebagai wadah politik yang tidak relevan, boleh memporakperandakan negara dan segala yang buruk tentang natijah jika memilih PR sebagai pemerintah.

Kita semua tahu bahawa apa yang ditulis dalam surat khabar dan apa yang dipaparkan melalui kaca television adalah tidak lebih daripada propaganda politik kotor BN semata-mata. Justeru, saya ingin mengajak semua rakyat yang prihatin tentang nasib generasi kita yang akan datang agar sama-sama kita tidak mengikut rentak paluan gendang BN. Marilah sama-sama kita menumpukan usaha kita untuk menamatkan pemerintahan BN kalau kita ingin melihat negara dan bangsa Malaysia selamat.

PR sudah ada ‘Buku Jingga’. PR sudah ada pemimpin berwibawa dan berkarisme yang tidak mengamalkan rasuah seperti mana majoriti pemimpin BN. Rata-rata pemimpin BN bermentaliti mengaut harta sebanyak mungkin sementara masih di tampuk kuasa. Rakyat sudah lihat prestasi PR di negeri-negeri yang mereka perintah. Rakyat sudah baca laporan Ketua Audit Negara tentang rekod pemerintahan bersih dari gejala rasuah di negeri-negeri tersebut.

Justeru, jangan kita buang masa lagi melayan karenah BN yang sudah gelabah kerana sokongan rakyat yang semakin merudum hari demi hari. Usah kita terpedaya dengan mainan tipu daya BN yang licik macam musang itu. Cukuplah lebih separuh abad BN menipu rakyat. Kini sudah tiba masanya BN dinyahkan atau diletakkan di kerusi pembangkang pula. Biarlah mereka pula yang melihat bagaimana bentuk pemerintahan sebuah kerajaan yang baik untuk rakyat dan negara.

Dengan gelodak senyap (the silent roar) di kalangan kaki tangan awam ibarat barah yang kian membengkak, kita yakin bahawa hayat BN akan berakhir jua menjelang PRU yang akan datang. PR mampu mengembalikan maruah rakyat dan negara di persada global jika rakyat memberi peluang kepada PR memerintah.

Sudah sampai masanya rakyat negara ini membuat anjakan paradigme dengan meletakkan PR sebagai peneraju pemerintahan di Putrajaya. Sudah tiba masanya rakyat memberi mandat kepada wakil-wakil mereka dari kalangan parti-parti komponen PR di parlimen untuk mengurus tadbir negara ini dengan lebih baik.


“SESUNGGUHNYA - PERUBAHAN YANG DIIMPIKAN ITU TERLETAK DI TANGAN SELURUH RAKYAT”

No comments: