Sumber: http://www.detikdaily.net/v5/
modules.php?name=News&file=article&sid=19260&mode=thread&order=0&thold=0
Pertahan bumi kita dilahir, disemadi
Posted on Tuesday, February 14 @ 17:00:00 PST by paktam
Oleh LIM HONG SIANG
UNTUK puluhan tahun kebelakangan, masyarakat kita seolah-olah sanggup menggadaikan apa-apa sahaja atas nama pembangunan. Pelan pembangunan dilakar oleh mereka yang berkuasa.
Kepentingan ekonomi didahulukan daripada segala-galanya. Misalnya, landasan monorail kelihatan berfungsi hanya untuk memunggah pengguna ke pusat beli-belah di sekitar Bukit Bintang. Tiada satu stesen monorail mahupun LRT yang bertapak tepat di depan Perpustakaan Negara, meskipun slogan amalan membaca sentiasa dekat di bibir kita.
Kali ini landasan MRT dilakarkan untuk merentasi Jalan Sultan. Barangkali mereka yang turun ke perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 masih ingat, jalan yang bersilang dengan Jalan Petaling ini pernah dibanjiri ribuan manusia yang menuntut reformasi sistem pilihan raya. Di sini rakyat tanpa mengira kaum dan agama memahat sejarah dengan kaki apabila berganding bahu mengorak langkah menuju keadilan.
Pembinaan MRT bermakna pencerobohan satu jalan yang bersejarah di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Nasibnya agak sama jika dibandingkan dengan Kampung Baru. Jalan Sultan bersama Jalan Petaling, menjadi antara pusat ekonomi Kuala Lumpur sejak ratusan tahun yang lalu. Di sinilah sejarah berakar dan budaya bercambah.
Justeru, sekumpulan seniman bertekad untuk mempertahankan Jalan Sultan, mencadangkan landasan alternatif untuk pembinaan MRT. Bagaimanapun, pintu pemilik kedai di Jalan Sultan semakin kencang diketuk. "Pembangunan" (aka pemusnahan) bakal merempuh masuk bila-bila masa. Maka satu aktiviti telah diadakan pada malam sebelum Chap Goh Meh (hari ke-15 bulan pertama Tahun Baru Cina) untuk menyelamatkan tanah warisan ini.
Di luar dugaan, kehadirannya mencecah kira-kira 5,000 orang, meskipun tidak mendapat liputan yang nyata di ruang media arus perdana. Apa yang menarik, sesetengah artis dan seniman di arus perdana turut terpanggil untuk melibatkan diri secara sukarela – menyumbang sedikit sebanyak untuk mempertahankan Jalan Sultan. Perubahan ini sesuatu yang menarik dalam zaman pasca 709, menyaksikan semakin ramai artis - yang sebelum ini dianggap "penghibur" sematamata, tampil ke depan untuk menyatakan pendirian dalam isuisu semasa.
Maka berkumandanglah lagu "Aku ungkapkan cinta padamu dengan menggunakan cuaca Malaysia" pada malam itu. Antara liriknya, "Cuma aku terlalu mencintai tanah ini, jadi saya pun cintai juga cuacanya" (terjemahan), sebelum diselitkan "Rasa Sayang" dalam lagu itu, yang sudah tidak asing lagi untuk semua kaum yang turun pada malam itu.
Sungguhpun sambutan Chap Goh Meh adalah perayaan untuk orang Cina, di tengah-tengah jalan yang begitu tebal dengan corak kecinaannya, namun paluan kompang bersama tarian singa semestinya membuka mata ramai. Paling terharu buat semua, antaranya kehadiran Cikgu Ishak Surin dari Kampung Bandar Dalam untuk mengirim salam perjuangan, lantas menyuntik semangat kepada usaha pertahankan Jalan Sultan.
Jalan Sultan bukan tanah warisan untuk kaum Cina semata-mata, tetapi milik semua orang Malaysia, rakyat Malaysia yang menentukan ke arah mana pembangunan kita – disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh.
Seterusnya semua hadirin diminta untuk membaca doa mengikut cara anutan agama masing-masing. Cikgu Ishak Surin yang berkopiah, berada di tengah-tengah, bersama pimpinan penganut Buddha, Kristian dan Katolik - gambaran yang paling harmoni pada malam tersebut.
Apabila tiba giliran Cikgu Ishak memimpin bacaan doa, kesemua peserta, yang kebanyakannya daripada bukan Muslim, berdiri diam merenung Cikgu Ishak. Tiada gambaran yang seindah ini dalam suasana sambutan perayaan Cina.
Saya menyelami makna tersiratnya pada malam itu. Apabila komuniti Cina mempertahankan tanah warisan bersejarah itu, ia sebenarnya satu kesediaan kaum ini untuk menerima bahawa bumi Malaysia satu-satunya tanah airnya. Akarnya di sini, malah satu teater yang dipersembahkan penuntut Kolej New Era, menyatakan mesej "Di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar dan di sini kita disemadikan!"
Ungkapan ini memanjangkan ingatan saya kepada kempen DAP ketika pilihan raya negeri Sarawak lalu. Antara poster yang menyentuh hati pengundi Cina, apabila orang tua terpaksa menunggu kepulangan anaknya yang mencari rezeki di luar negeri, dan hanya pulang sekali setahun. Saya yang berasal dari Muar, selatan Semenanjung sendiri terkesan dengan fenomena ini, apabila mendapati ramai di kalangan rakan lama saya mencari kerja di Singapura. Tiada yang mahu meninggalkan kampung asal – kerana saudara-mara, sahabat handai yang berkongsi ingatan bersama - semuanya berada di tanah air yang tercinta ini. Acara di Jalan Sultan berakhir dengan nyanyian lagu Negaraku pada jam 12.00 tengah malam.
Kebetulan penganut Hindu berarak melalui Jalan Sultan untuk menyambut Thaipusam. Semuanya berdiri tegak ketika lagu kebangsaan bergema. Semuanya bernyanyi dengan penuh perasaan.
Saya terdengar bisikan, "Rasa-rasanya macam suasana Bersih!"
No comments:
Post a Comment