Dinsman (Artikel
308, 23/4)
Sebuah peristiwa kecil tetapi besar
Telah saya tulis
seminggu lalu mengenai “seniman yang berani berdiri / berdiri di tengah-tengah
rakyat / dengan kesenimanannya”, iaitu A Samad Said yang baru menyambut
ulangtahun kelahirannya ke-77, yang “tidak ingin mati sia-sia” itu.
Isnin 16 April
kami pula, kelompok Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bersama dengan kelompok Cikgu
Ishak Surin di Madrasah Seni, Kg Banda Dalam, secara kecil-kecilan dalam sebuah
keluarga seni, mera’ikan harijadi ke-77 seniman besar kita.
Hanya suatu
pertemuan sebuah keluarga seni. Bermula dengan solat hajat dan doa, kemudian
jamuan ringan yang seperti biasa, majlisnya pun seperti biasa juga – diisi
dengan ucapan-ucapan penghargaan kawan-kawan secara ringkas, ada bacaan puisi,
ada petikan gitar dan gesekan biola dan lagu, dan ada hadiah buku (yang tanpa
dibalut dan direben) untuk seorang yang mungkin sudahpun memiliki buku-buku itu
(kerana dia paling banyak membaca buku). Namun ada suatu yang sangat istimewa.
Istimewanya ialah
peristiwa itu sendiri. Bersama seorang seniman, pengarang novel yang kini
menjadi negarawan ulung memimpin rakyat pada ketika suasana politik sedang
kacau, untuk membuat perubahan yang menyeluruh demi kesejahteraan rakyat –
mera’ikan harijadinya yang ke-77, dalam suatu kelompok kecil kawan-kawan
seperjuangan yang terdekat, sekitar 15 orang sahaja. (Termasuk HMS Abu Bakar
dari Ipoh). Ini adalah suatu peristiwa besar. Suatu peristiwa yang cukup
bersejarah.
Tidak ramai
seniman yang mencapai umur sehingga 77 tahun, dan masih sihat, bergerak dan
berjuang di tengah-tengah rakyat, memimpin untuk perubahan sebuah negara. Samad
sendiri pun menyedarinya dan mengungkapkannya di hadapan kami.
Kawan-kawan
seangkatannya A.S.Amin, Noor S.I dan M Ghazali, juga yang lain seperti Jimy
Asmara, Masuri SN, Usman Awang, Keris Mas, A Samad Ismail dan lain-lain
telahpun tiada lagi di dunia ini. Tetapi Allah masih memanjangkan umurnya.
Mengapa? Tentulah ada sebabnya. Maka dia menceritakan hal itu kepada kami –
mengenai erti hidup ketika umur mencapai 77 tahun, mengenai hubungannya dengan
Tuhan yang semakin diakrabkannya melalui solat tahajud, bacaan al-Quran setiap
subuh, dan sebagainya.
Malam itu
ucapannya pun bukan sekadar ucapan biasa. Ada kawan-kawan yang terkejut dengan
keterbukaan Samad menceritakan hal-hal yang agak bersifat peribadi dalam
kehidupannya. Diucapkannya begitu bersahaja, seperti seorang ayah atau abang
sedang berbicara dengan anak-anak dan adik-adik, yang hadir dalam suatu
pertemuan keluarga. (Hanya seorang yang berusia lebih daripadanya – Cikgu Ishak
Surin, 78 tahun).
Ada cerita yang
hanya dimengerti oleh Shukur Harun dan Siti Zainon sahaja, barangkali.
Dan malam itu
rupa-rupanya Samad Said tidak bercakap langsung mengenai Bersih 3.0 dan ‘Duduk
Bantah’ yang sedang diperkatakan di mana-mana itu, walaupun dia adalah
Pengerusi Bersama gerakan itu. Ternyatalah malam itu adalah malam untuk
keluarga – sebuah keluarga seni yang Samad Said adalah ketua keluarganya.
Dan kami pula menampilkan
seorang anak paling bongsu di antara kami bagi mengemudi majlis yang santai
bersahaja itu. Biasanya Kassim yang melakukan itu. Saya pun biasa, Hasni pun
biasa, Razali pun biasa. (Tapi malam itu Razali tak dapat hadir kerana harus
berada di IJN, untuk angioplasty esoknya). Maka saya mencadangkan diserahkan
kepada anak muda. Memang dia terkejut – Benz Ali, tanpa persiapan. Belum
pernah. Tak mengapa.
Memang dia masih
baru. Tapi keberaniannya tak diragui. Sewaktu mula tampil membaca puisi buat
pertama kali di hadapan khalayak, di Labu NS, dia sudah memperlihatkan
bakatnya. Kemudian dia membuat aktiviti baca puisi secara terjah di pasar malam
bersama Rozan Azen, Ahnaf dan kumpulan kompang pimpinan Soleh, di pasar malam Taman
Koperasi Polis, Batu Caves. Kemudian dia terlibat sama dalam peristiwa UPSI
berdarah di malam tahun baru di Tanjung Malim itu. Dan beberapa lagi.
Memang dia nampak
seperti gementar, apabila tampil untuk memulakan tugas pengacara majlis itu.
Tetapi menariknya dia berterus-terang menyatakan perasaannya. Dan dia sentiasa
ketawakan keadaan dirinya yang serba kekurangan pengalaman itu, menyebabkan
rakan-rakan semua pun ikut ketawa. Maka meriahlah jadinya majlis itu pada
setiap kali dia muncul. Dan di akhir majlis dia meminta pula untuk menyanyi,
sambil mengaku yang dia memang tak pandai menyanyi, kerana bukan penyanyi.
Mungkin ada orang
kurang senang dengan cara penampilan dan persembahan Benz Ali itu. Tetapi saya
senang melihatnya. Ada keberanian, ada kejujuran, dan ada seninya. Dan saya
mempunyai harapan dengannya. Saya mengharapkan dia memberi komitmen yang lebih
terhadap aktiviti seni-budaya, dan saya mengharapkan lebih ramai anak muda akan
bersama dengannya menghidupkan Paksi Anak Mudanya (PAM!).
Ya demikianlah malam
itu sebenarnya adalah malam kekeluargaan seni. Yeoh dari Jalan Sultan juga
hadir. Rahmat Harun kali ini tampil dengan gitar, menyanyikan puisi Samad Said
dari kumpulan Rindu Ibu itu. Manakala
Siti Zainon membacakan puisi yang ditulisnya di tanah suci merakamkan imej
Samad Said yang hadir di antara pandangannya.
Barangkali
bukanlah sambutan harijadi itu sebenarnya yang kita ra’ikan. Yang kita ra’ikan
ialah sumbangannya, terutama pada umurnya 77 itu, bahawa dia masih lagi mahu
mengambil risiko perjuangan yang sebegitu besar dan boleh membahayakan diri.
Maka kita menyatakan penghargaan dan hormat kita kepadanya. Malah rasa
terhutang budi dan rasa kasih kita di kalangan seniman.
Sebuah peristiwa
kecil – tetapi saya percaya sebenarnya ia suatu peristiwa besar.
No comments:
Post a Comment