Dinsman (Artikel
339, 7/8)
Dah pergi ke Pameran Kartun Zunar?
Saya dah pergi.
Awal-awal lagi. 1 September. Pameran dibuka pada 1 hingga 9 September. Saya
pilih pergi awal sebab ada perasmian oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri
Khalid Ibrahim, pada jam 11 pagi. Lagipun, kuratornya sendiri, Nur Hanim
Khairuddin, menjemput saya datang ke majlis perasmian. Di samping SMS daripada
Zunar.
Memang kita tahu
Zunar telahpun mengadakan pamerannya di luar negeri, sebelum ini. Di Bilbao,
Sepanyol pada tahun 2011 dan di London pada awal tahun ini. Pameran di Galeri
Shah Alam Selangor ini ialah pamerannya yang pertama di Malaysia, negaranya
sendiri. (Zunar dilahirkan di Pendang, Kedah pada tahun 1962 dan diberi nama
Zulkiflee SM Anwar Ulhaque).
Kita juga tahu
yang Zunar telah menerima beberapa anugerah atau award, di luar negara, kerana keberaniannya mengkritik dan
menyindir pihak berkuasa dengan menggunakan bakatnya melukis kartun-kartun yang
sangat kreatif dan imaginatif itu – seperti anugerah Courage in Fighting Censordhip oleh Festival Against Censorship, di
Bilbao, Sepanyol, 2011; dan Courage in
Editorial Cartoon (Keberanian dalam Melukis Kartun Editorial) oleh
Cartoonists Rights Network International (CRNI), Washington, Amerika, pada
Julai 2011.
Begitulah
lumrahnya kita. Apabila orang luar memberi pengiktirafan kepada mana-mana
individu di kalangan kita maka barulah kita pun sibuk nak buat ini atau itu
untuk menunjukkan yang kita pun tak mahu tertinggal mengiktirafnya. Padahal
memang dah ketinggalan pun, ya? Tapi, dalam hal Zunar ini barangkali berbeza.
Kita mungkin tidak ketinggalan. Hanya pihak luar itu yang agak cepat mendahului
kita.
Apa pun,
inisiatif Kerajaan Negeri Selangor ini, atau berdasarkan cerita Tan Sri Khalid
ketika merasmikan pameran ini adalah inisiatif beliau bersama Setiausaha
Akhbarnya Arfa’ezah Ab Aiz, memanglah patut dipuji dan dihargai. Pameran
lukisan kartun solo seperti ini memang jarang-jarang kita dengar pun. Saya tak
pastilah, tapi rasa-rasanya macam tak pernah ada pun.
Namun apa pun, kita
memang sudah lama kenal Zunar, khasnya melalui Harakah, sejak zaman awal Reformasi dulu. Dia antara orang yang
memberi pengisian kepada semangat Reformasi 1998. Bukan sahaja melalui
kartun-kartunnya yang selalu disiar dalam Harakah,
tetapi juga melalui aktivitinya menganjurkan atau mengisi majlis-majlis
seni-budaya yang membawa semangat Reformasi, termasuk menganjurkan pementasan
teater Tok Ampoo karya Hishamuddin
Rais.
Tapi akhir-akhir
ini dia nampaknya memfokus hanya kepada melukis, dan meninggalkan arena
persembahan. Ini bagi saya agak merugikan dunia seni-budaya kita, kerana saya
masih ingat lagi beberapa majlis persembahan yang saya bersama dengan dia,
seperti di Kota Bharu (di Dataran MPKB yang sekarang sudah tiada) dan di
Kampung Raja, Besut, Terengganu. Dia melukis kartun sambil berceloteh. Suatu
persembahan (show) yang sangat
menarik.
Setakat ini hanya
dia sahaja yang boleh melakukan begitu. Tak ada orang lain yang boleh buat
begitu. (Atau ada seorang lagi iaitu Lat). Sambil melukis karikatur Mahathir
atau karikatur Pak Lah, misalnya, dia melontarkan komen-komen yang sangat
pedas, berani dan tepat mengena ke muka orang-orang itu. Dia melakukannya
dengan begitu bersahaja. Dan penonton pun ketawa dengan rasa puas dapat
berkongsi luahan perasaan yang sama.
Itu hanya
nostalgia sayalah. Lama tak lihat Zunar beraksi demikian. Maka apabila menerima
jemputan ke pamerannya ini saya terfikir – apakah sebenarnya yang akan saya
saksikan dalam pameran Zunar ini? Lukisan-lukisan kartunnya itu barangkali semuanya
atau hampir semuanya sudah saya lihat. Akan adakah kartunnya yang baru, yang special, khas untuk pameran ini, yang
berbeza daripada kartun-kartun yang pernah kita lihat selama ini?
Nur Hanim pula
yang menjadi kuratornya. Nur Hanim bukanlah sekadar seorang kurator yang
terkenal, yang antara lain pernah menjadi kurator pameran-pameran berbeza
seperti karya Sulaiman Esa, Raja Shahriman, A. Samad Said (Kata Luhur) dan ‘Mea
Culpa’ dari cerpen-cerpen Amirul Fakir, tetapi beliau sendiri juga adalah
seniman Reformasi yang tentunya sangat mengerti dan menghayati roh dan semangat
karya-karya Zunar.
Lalu, apakah yang
istimewanya Pameran Kartun Zunar ini?
Ya, kita mungkin
sudah pernah melihat kesemua atau sebahagian besar daripada 147 karya yang
dipamerkan itu. Tetapi kita melihatnya dalam suasana dan sekitaran yang
berbeza. Kita melihatnya terpisah-pisah, satu dan kemudian satu dan seterusnya,
dalam akhbar atau internet. Atau kita melihatnya di dalam buku. Suasananya
berbeza.
Di sini kita
berdiri dalam ruang yang luas dan di sekeliling kita adalah kartun-kartun Zunar
(sebahagiannya lebih besar daripada yang biasa kita lihat) yang berbicara
mengenai pelbagai isu, khasnya isu politik mutakhir negara kita, dengan ‘suara’
yang sangat berani, sinis, lantang dan kelakar. Beraninya bukan setakat
‘mengata’ Perdana Menteri dan isterinya, tetapi juga hakim di dalam mahkamah
pun.
Lakaran-lakaran
visualnya pula begitu kreatif dan imaginatif, yang sebahagiannya tak pernah
terjangkau oleh otak kita. Tak pernah pun kita membayangkan demikian. Tetapi
Zunar membawa kita ke dimensi yang begitu. Dimensi fikiran seorang kartunis,
yang mengikut Ahmad Lutfi Othman - seorang yang genius.
Anda bersetuju
atau tidak dengan Ahmad Lutfi Othman itu terpulanglah kepada anda. Tetapi satu
perkara saya bersetuju dengan TS Khalid – bahawa kartun-kartun Zunar bukan
sahaja mudah difahami mesejnya, ia bahkan boleh membantu orang-orang yang tak
faham isu-isu penting negara, untuk memahaminya. Makanya beliau bercadang untuk
membawa karya-karya Zunar menjelajah.
Akhirnya saya
mencadangkan kepada anda yang belum datang, eloklah datang. Galeri Shah Alam
terletak di pinggir tasik Shah Alam, tidak jauh dari kompleks PKNS. Lokasinya
pun cantik. Hari Sabtu ini, 8 September, pukul 2 hingga 6 petang ada majlis
dialog dengan Zunar. Juga ada demonstrasi melukis karikatur oleh kartunis dari
Kelab Kartunis Independen (KKI).
No comments:
Post a Comment