Thursday, November 15, 2012

Kejayaan IBBR dan kesilapan ilmuwan



Dinsman (Artikel 354, 16/11)
Kejayaan IBBR dan kesilapan ilmuwan

Bagaimanakah kita mengukur kejayaan aktiviti seni-budaya seperti Jelajah Budaya 1 (Ilmuwan Budaya Bersama Rakyat – IBBR) di Klang, 10-11 November lalu? Bagi saya ukurannya ialah keberkesanannya, dilihat dalam perspektif tujuan dan matlamat yang ingin dicapai ketika sesuatu program itu dirancang.

Apakah tujuan dan matlamat diadakan program IBBR? Pertama, untuk mengaktifkan atau mengadakan program seni-budaya itu sendiri, secara berskala agak besar, agar kehadirannya disedari oleh orang ramai pelbagai peringkat dan golongan. Tujuan dan matlamat ini rasanya memang tercapai.

Kedua, menyatakan penghargaan kepada para budayawan tempatan atas sumbangan mereka, dan memilih seorang daripada mereka untuk dinobatkan sebagai Tokoh Budaya Daerah berkenaan. Tujuan dan matlamat ini pun tercapai. Dan pemilihan Ruminah Sidek atau Mak Mah sebagai tokoh berkenaan, tentunya menarik perhatian orang ramai. Kebetulan pula malam sebelumnya dia juga dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik (drama) dalam Anugerah Skrin 2012.

Tiga orang aktivis seni-budaya daerah Klang telah diangkat untuk penilaian akhir oleh jawatankuasa khas pemilihan. Mereka ialah Ismas Saring, Ibrahim Ghaffar dan Ruminah Sidek. Mengapakah Ruminah Sidek yang akhirnya dipilih sebagai Tokoh Budaya Klang? Apakah pelakon wanita veteran ini sumbangannya lebih besar daripada dua orang tokoh penulis berkenaan?

Tentulah jawatankuasa khas pemilihan mempunyai alasan dan hujah yang kukuh kenapa mereka memilih Ruminah Sidek. Seperti saya sebut sebelum ini, ia “suatu keputusan yang berkemungkinan akan dipersetujui oleh orang ramai dan kemungkinan juga akan dipertikaikan. Agak kontroversi. Di kalangan panel pun nampaknya mereka berdebat agak lama. Pelbagai kriteria diperhalusi pada tiga orang tokoh yang diangkat ke penilaian akhir, hinggakan definisi intelektual sendiri pun diperdebatkan.”

Jadi tak perlulah saya perpanjangkan lagi hal itu. Anugerah itu pun telah disampaikan kepada wakilnya oleh Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri Selangor. Ruminah tak dapat hadir pada malam 10 November itu kerana sedang menjalani penggambaran di Kuala Kangsar. Insya Allah mungkin beliau akan hadir dalam majlis Anugerah Budaya Daerah lain selepas ini.

Itu dua kejayaan. Kejayaan lain? Saya secara peribadi sangat tertarik dengan kuliah yang disampaikan oleh Prof Shaharir Mohd Zain di Masjid Darul Muttaqin, Sg Udang, pada pagi 11 November. “Bagaimana kini al-Quran menjadi sumber ilmu?” – tajuk kuliahnya. Sangat menarik, dan sangat penting isi kandungannya.

Memberi kesedaran kepada umat Islam hari ini tentang betapa bodohnya kita selama ini, maksudnya para sarjana dan ilmuwan kita, yang cuba mencari dan mengemukakan ayat-ayat al-Quran bagi membenarkan banyak penemuan-penemuan sains yang dibuat oleh para saintis dunia yang bukan Islam (kebanyakannya tidak percaya kepada Tuhan – atheis).

Pelik ‘kan? Para ilmuan dan sarjana Islam berusaha dan membuat kajian ayat-ayat Quran untuk membuktikan kebenaran apa-apa yang ditemui melalui kajian oleh para saintis bukan Islam. Tak pelikkah? Kita mengiyakan kebenaran para saintis bukan Islam, dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran. Ertinya kita menggunakan al-Quran untuk mengakui kebenaran ilmu-ilmu bukan Islam itu.

Kononnya kita hendak mengatakan bahawa al-Quran itu benar, kerana kajian-kajian para saintis bukan Islam pun membuktikan kebenaran ayat-ayat al-Quran. Sedangkan, tegas Prof Shaharir dalam kuliahnya yang menjadi sebahagian daripada acara Jelajah Budaya (IBBR) itu – penemuan-penemuan oleh para saintis dan sarjana Barat bukan Islam itu belum pasti benar.

Para sarjana di Barat sendiri pun mempertikaikan kebenaran penemuan-penemuan itu. Shaharir sendiri membuat kajian dan menerbitkan bukunya “Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Quantum” untuk mempertikaikan kebenaran ilmu yang dikemukakan oleh saintis Barat termasuk Einstein itu.

Ini saya anggap satu kejayaan dari agenda budaya IBBR atau Jelajah Budaya I di Klang itu.  Paksi akan terus bawa kuliah Shaharir ini ke tempat-tempat lain lagi dalam siri Jelajah Budaya.

Kejayaan IBBR Klang seterusnya? Pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan di masjid Darul Muttaqin – itu saya anggap suatu aktiviti seni-budaya yang biasa. Begitu juga pertandingan mewarna di kalangan 100 kanak-kanak yang dibuat di Sekolah Rendah Agama Sg Udang itu. Juga persembahan nasyid oleh kumpulan Safiya dan Dhuha.  Juga pembacaan puisi oleh A Samad Said, Zurinah Hassan, Pyanhabib, Ismas Saring dan Ibrahim Ghaffar.

Acara Dialog Budaya isu-isu semasa dengan dua orang Sasterawan Negara A Samad Said dan Anwar Ridhwan pada petang Sabtu itu pun menarik. Begitu juga dengan persembahan gamelan, cempuling dan silat seranteh. Rasanya persembahan muzik tradisional pimpinan Mois Subari dan Zuha Hj Suhadi itu pun patut juga dibawa dalam Jelajah Budaya di daerah-daerah lain akan datang.

Satu perkara yang saya suka dengan Jelajah Budaya di Klang ini ialah melihat gambar A Samad Said dengan rambut dan janggutnya yang istimewa unik itu tersenyum dalam bunting dan sepanduk yang bergantungan di tiang-tiang lampu di kiri-kanan jalan dan di beberapa simpang di sekitar Sg Udang. Terasa suasana dan kesan seni-budaya itu menular kepada khalayak yang luas.

Juga saya gembira dengan penglibatan beberapa orang dari pihak Majlis Perbandaran Klang, pejabat Adun Selat Klang, Sekolah Rendah Agama Sg Udang, dan Masjid Darul Muttaqin, dalam menjayakan aktiviti seni-budaya ini. Semoga mereka akan terus aktif menganjurkan program seni-budaya.  



No comments: