Lalu Jusoh
Kepala Bukit pun tertanya-tanya: Pelindungkah mahkamah itu?
Jusoh telah mendengar
cerita-cerita Altantuya, Kugan, Amirul, Beng Hock et al. Anaknya yang bersekolah di bandar pernah
menceriterakan tentang watak-watak ini.
Kata anaknya, Altantuya, Kugan,
Amirul, Beng Hock et al itu lahir dari rahimnya para wanita. Rahimnya wanita-wanita yang kita gelar ‘ibu’. Dan semenjak ‘tapak kakinya hanya sebesar dua jari’, mereka ditatang bagaikan minyak
yang penuh kerana merekalah cahaya mata tercintanya ayah bonda. Anaknya menambah ― sebelum lahir ke dunia, segala
ibu mengharungi jerih-payah, sakit pedih, pahit maung dan derita mengharungi getirnya
pengalaman mengandung dan menggendong anak-anak di dalam rahim. Setelah sembilan bulan di alam rahim, mereka pun lahir ke dunia sebagai makhluk
yang dinanti-nantikan. Mereka lahir ke
dunia, disambut penuh cinta kasih yang tepu.
Wah, bukan lagi khutbah anakku, fikir
Jusoh Kepala Bukit.
Kata anak
Jusoh Kepala Bukit yang belajar di ibu kota:
Ada di kalangan Altantuya, Kugan, Amirul, Beng Hock et al itu tumbuh-besar
lalu menjadi wanita yang sangat ayu― tersangatlah ayunya sehingga dikejar-hambat
oleh pelbagai jenis lelaki kerana keayuannya dan manfaatnya. Ada yang saban harinya meredah segala onak
duri rimba kehidupan ini demi mencari sesuap nasi. Ada yang memilih bidang politik sebagai
kerjaya (walaupun arena politik itu sesekali digelar orang sebagai lamannya
dajal), namun tidaklah pula ia sampai menjadi medan peragut nyawa. Ada di kalangan anak-anak ini, setelah besar
panjang, entah kenapa ditembak mati. Dia
ditembak mati kerana berada di tempat dan persekitaran yang salah walaupun pada
saat itu, usianya baru saja belasan
tahun. Ya, ada remaja mati ditembak; dia
ditembak katanya kerana didapati berada di tempat yang salah.
2.
Maka dalam
dunia yang bukan rimba belantara, para ibu yang telahpun kehilangan anak-anak
yang sangat mereka kasihi itu, begitu mengharapkan keadilan. Mereka mengharapkan keadilan ditegakkan. Mereka amat mengharapkan yang namanya keadilan
itu benar-benar ditegakkan. Mereka telah
letih meratapi pemergian tragis anak-anak yang mereka cintai itu. Mereka bertanya, menyoal, bertanya, menyoal, tertanya-tanya,
meratap dan tertanya-tanya lagi, “Apakah sebenarnya yang telah terjadi? Apakah yang sudah terjadi? Kenapakah di dunia bukan belantara ini SEMUA
ini sampai terjadi?”
3.
“Dunia belum
kiamat, berjuang sampai tamat!” adalah di antara laungan perang, battle cry seorang
anak muda yang dipenjarakan kerana memprotes PTPTN. PTPTN?
Ya, itu hutang untuk menjadi manusia berilmu di sebuah negara yang
katanya, kaya dan raya.
Maka ada yang sudah
tertanya-tanya dan membanding-bandingkan:
Perogol kanak-kanak dibebaskan, seorang anak muda yang memprotes meminta
haknya yang pada fikirannya sangat munasabah dan sah, menerima hukuman. Rupa-rupanya dalam dunia yang bukan belantara
adalah amat bahaya jika ada orang yang sampai berani mendesak@memprotes di
tempat awam. Memprotes agar rakyat yang ke
universiti tidak perlu menanggung beban hutang adalah satu dosa yang besar jika
dibadingkan dengan kesalahan merogol.
Kata anak Jusoh
Kepala Bukit yang belajar di ibu kota: Aku
tidak percaya lagi kepada model politik memeras dan memusuhi rakyat!
No comments:
Post a Comment