Wednesday, December 5, 2012

Peluang yang tidak dimanfaatkan



Lagi kisah PAU 2012: Kesempatan yang telah dipersia-siakan


Perhimpunan Agung Umno 2012, PAU telah melepaskan begitu banyak peluang keemasan untuk menjelaskan pelbagai perkara.  Berikut adalah beberapa peluang  yang telah disia-siakan begitu saja:


1) Peluang terbaik untuk menjelaskan kehebatan Umno/BN


Peluang untuk menjelaskan bahawa dalam politik negara ini Umno/BNlah yang terbaik.  Ertinya PAU memiliki peluang terbaik untuk menjelaskan kepada rakyat negara ini kenapakah ia yang paling baik dan tidak ada sebarang parti lain yang dapat menandingi kehebatan Umno/BN ini.  Ertinya sejak negara kita merdeka lebih setengah abad yang lalu,  parti-parti lain bukanlah tandingan Umno/BN.


2) Peluang terbaik untuk membuktikan kenapakah Umno/BN terbaik

Umno/BN telah terlalu berjasa untuk dinafikan kehebatan dan kebesaran jasa-jasanya itu.   PAU adalah kesempatan untuk Umno/BN membuktikan jasa-jasanya sejak negara kita merdeka.  Dengan berbuat demikian PAU dapat mematikan segala hujah (baca: fitnah)  para pengkritiknya.  Dalam konteks ini,  ucapan Presiden adalah saluran terbaik untuk Umno/BN menyenaraikan kehebatan Umno/BN ini.  Jika ini tidak memadai, PAU boleh menyediakan kiosk@gerai penerangan untuk menjelaskan isu-isu panas yang sebenarnya sengaja-sengaja diangkat oleh musuh politik Umno/BN.


3) Peluang terbaik untuk menjawab segala fitnah pembangkang

Senarai fitnah jahat pembangkang sememangnya cukup panjang.  Ia bermula dengan fitnah jahat bagaimana katanya seorang jurubahasa luar negara yang cute lagi cinoni itu yang katanya telah dicarik-carikkan dagingnya.  Fitnah jahat bahawa kapal selam tidak boleh menyelam dan ia dibeli dengan bayaran kamsin yang tinggi.  Fitnah jahat ini membuat orang-orang luar termasuk Perancis turut campur tangan dalam kemerdekaan kita.  Fitnah Felda dikhianati sedangkan para peneroka tersangat gumbira kerana tak berhenti-henti berpesta durian runtuh.  Pendek kata,  segala bentuk FITNAH Fitnah ini, fitnah itu, fitnah sana, fitnah situ, fitnah sinu, fitnah begini, fitnah begitu dapat dimatikan supaya pembangkang tak lagi terkutik.  Ini boleh dilakukan, dan dilakukan dengan berkesan semasa PAU bersidang.


4) Peluang terbaik untuk membuktikan bahawa rakyat negara ini maha bahagia

Pembangkang sentiasa muncul dengan gimik bahawa rakyat negara ini sangat menderita.  PAU telah terlepas peluang keemasan untuk menjelaskan bahawa kitalah yang  terbaik dalam pelbagai segi.  PAU misalnya telah terlepas peluang terbaik untuk menjelaskan bahawa Papua tak ada menara kembar dan juga LRT.  PAU terlepas peluang untuk menjelaskan bahawa kita lebih bagus daripada Singapura kerana republik itu tak ada telaga minyak dan empangan yang besar-besar seperti Bakun sedangkan kita memilikinya.  PAU terlepas peluang terbaik untuk menjelaskan bahawa kitalah negara terbaik dalam hal-hal mengimport pekerja asing.  Negara kita kini kaya raya dengan pelbagai nikmat kehadiran manusia import ini.
5) Peluang terbaik membuktikan governance terbaik kita

PAU juga terlepas segala peluang keemasan untuk menunjukkan bukti sahih lagi nyata bahawa tatakelola kitalah di antara yang terbaik di planet ini.  Bahawa kita memiliki sistem soal siasat terbaik dalam mencegah rasuah dan contoh ini sewajarnya dicontohi@dieksport tidak dijelaskan dengan baik.  Pendek kata segala yang terbaik tentang segala macam institusi kita tidak dibentangkan sedangkan peluang untuk berbuat demikian terbuka luas semasa PAU sedang berjalan.  Ini sungguh-sungguh merugikan negara kita.        

6) Bagaimana bijaknya PAU menggunakan peluang


Walau apa pun yang telah terjadi, PAU telah bertindak bijak kerana bijak memilih stail@gaya berhujah demi mendapat undi.   Hujah ala jerit-jerit,  teran-meneran seraya bernyanyi pilu kisah ‘anak kecil bermain api’ dan beramai-ramai pula bersedu sedan adalah model pementasan yang terbaik.  Tak ada performace yang terbaik seperti itu.  Dalam sejarah pertunjukan pentas,  belum ada yang lebih baik daripada itu.  Lebih bijak lagi apabila parti lawan dibelasah habis-habisan kiri kanan, atas-bawah, depan belakang oleh para ahli PAU yang bangun berhujah.  Memang parti pembangkang ini layak dan sewajarnya dibelasah sedemikian rupa.  Mereka sudah keterlaluan dalam soal-soal adab dan sopan santun berpolitik.  Dan ternyata mereka telah  tersilap besar.   Mereka tersilap besar kerana memilih melawan Parti pilihan Tuhan.  Mereka tersilap kerana tidak menghormati Setan yang dikenali itu.




No comments: