Tuesday, April 9, 2013

Berkempen atau berekspresi seni?



Dinsman (Artikel 372, 8/4)
Berkempen atau berekspresi seni?

Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak pada 3 April disambut dengan begitu bersahaja oleh rakyat Malaysia yang telah letih menunggu. Tidak ada kejutan dan tidak ada keceriaan. Sesuailah agaknya dengan wajah suram-muram yang ditunjukkan oleh Najib sendiri sewaktu membuat pengumuman itu.

Kenapa muka Najib begitu suram-muram? Ia menjadi bahan perbualan kawan-kawan ketika minum-minum selepas acara “Santai Seniman Rakyat” di Flat Seri Angsana, USJ1, Subang Jaya, pada malam itu. Senator Syed Shahir antara yang perasan dengan warna wajah Najib sewaktu membuat pengumuman itu.

“Seolah-olah ada tekanan supaya dia bubar.” “Macam bukan kehendak dia sendiri.” Itu antara pandangan. Namun apa pun biarlah hal itu begitu. Sampingan saja. Yang pentingnya parlimen telah dibubar. Dan itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia menarik nafas lega setelah sekian lama menunggu dan berteka-teki bodoh.

Sekurang-kurangnya sudah berlalulah suatu musim yang penuh kedunguan, kekarutan dan kebengongan itu. Lama sungguh kita dipaksa berteka-teki hal yang sebenarnya tak perlu itu. Dan kebetulan pula ia bersesuaian sangat dengan tema Malam Jelajah Budaya Selangor (JBS-6), yang dipilih oleh Syed Shahir iaitu “Malam Santai Seniman Rakyat”. Memang suasana santai itu terasa sepanjang persembahan yang diisi dengan bacaan puisi, lagu dan muzik dan celoteh serta ceramah pendek.

Sengaja Paksi (Seniman Paksi Rakyat) memilih kawasan flat, dan membuat persembahan di kawasan letak kereta di tengah-tengah antara bangunan-bangunan flat, bagi program Jelajah Budaya Selangor ke-6, di daerah Petaling. Sebahagian besar rakyat Selangor memang tinggal di rumah flat. Dan suasana tempat itu memang patut dimanfaatkan dengan persembahan seperti yang dibuat pada 3 April lalu itu (konsep persembahan santai).

Ia dimulakan dengan persembahan muzik oleh kumpulan band yang dianggotai oleh orang-orang muda yang tinggal di flat itu sendiri (diketuai Jalani Hussin). Memang mereka bukan pemuzik profesional. Peralatan mereka pun, termasuk sistem bunyinya juga tidaklah bertaraf profesional. Tetapi cukuplah, untuk memeriahkan suasana dan menarik perhatian penghuni-penghuni flat yang lapan menara (blok) 12 tingkat itu.

Selepas band itu memainkan dua lagu, ditampilkan seorang pemuda tempatan juga, yang membaca sebuah ‘warkah’ (katanya). Kemudian S/U Paksi sendiri, Kassim Muhamad, menyampaikan beberapa buah pantun dan sajak. Dan kemudian tampil penyanyi lagu-lagu reformasi yang pernah saya perkenalkan di ruangan ini akhir Februari lalu – Nik Jidan.

Saya perkenalkannya begini: “Setelah mendengarnya berulang kali dan berulang kali, saya jadi bertambah yakin – inilah album untuk PRU13. Nik Jidan – “Dendang Anak Muda”. Album wajib. Mesti diperdengarkan ke seluruh negara. Nik Jidan mesti dibawa ke seluruh negara untuk memperdengarkan jeritan-laungan-dendangannya melalui enam lagu reformasi ini.”

Memang tujuan kami hendak menggemakan protes, jeritan dan pernyataan fakta kejahatan penguasa Umno-BN yang terkandung dalam lagu-lagu Nik Jidan itu. Kami fikir inilah cara paling berkesan bagi menyampaikan mesej ke arah perubahan yang kita hasratkan. Kita gemakan di tengah-tengah ruang letak kereta itu. Sebahagian mereka hadir di depan pentas. Lebih ramai lagi yang menjenguk atau mengintai di balik tingkap rumah mereka.

Apa pun kedudukan mereka, kita pasti mesej itu sampai ke pendengaran mereka. Dan memang ada suara jerit-pekik mereka yang nakal cuba mengganggu perjalanan persembahan santai itu. Tak mengapa. Kita pun sudah biasa dengan gangguan nakal begitu. Asalkan tidak berebihan, ia menambahkan suasana meriah sahaja.

Kemudian tampil pula anak muda berambut panjang dari Johor, yang memang sudah dikenali di pentas-pentas politik dan seni-budaya alternatif, dengan serak suaranya yang tinggi dan sedap itu. Siapa lagi? Amni Jagat. Dengan sajaknya “Satu Malaysia Sia Sia” yang sudah tiga kali saya dengar dia membacanya, tapi masih lagi saya mahu mendengarnya.

Maka barulah Bob Lokman naik ke pentas. Sepatutnya dia naik sejak awal lagi sebagai pengacara. Tetapi dia memaklumkan akan sampai agak lewat sebab selepas solat maghrib tadi dia menyampaikan tazkirah di sebuah masjid di Puchong. Tugasnya sebagai pengacara digantikan sementara oleh seorang pemuda berbakat di situ, Azmarul Ab Aziz.

Setelah berceloteh, bercerita mengenai lagu-lagu Melayu yang tercipta dari kehidupan lelaki dan perempuan, dia kemudian menjemput Rozan Azen membaca puisi. Selepas Rozan membaca beberapa buah puisi, Senator Syed Shahir pula dijemput “membaca 15 puisi” – kata Bob Lokman berjenaka.

Syed Shahir selaku tuan rumah menyampaikan ucapan aluan yang rengkas sahaja dan kemudian melafazkan sebuah puisi spontan bertajuk “Musim Apakah Ini?” Kemudian saya membaca sebuah puisi “yang mudah difaham”, kata saya, berjudul “Bangun Pagi Setiap hari”; membuatkan Prof Shaharir (duduk di kerusi depan) tergelak mendengar judul yang mudah difaham itu.

Dan malam santai itu diakhiri dengan penampilan Nik Jidan sekali lagi. Kali ini dia bergabung kreativiti dengan kumpulan band Flat Seri Angsana, menyampaikan lagu “Subhanallah” dan “Asal Bukan Umno”. Memang riuhlah jadinya apabila lagu “Asal bukan Umno, kami ikut” itu didendangkan dengan jeritan blues oleh Nik Jidan.

Mesejnya terus menusuk ke dalam minda dan jiwa. Anda bersetuju atau tidak, terpaksa dengar. Terus terang tanpa selindung. “Umno memerintah cara kuku besi!” Bersetuju atau tidak, tapi itulah kata Nik Jidan. “Umno membunuh imam di Memali,” jeritnya lagi.

Adakah kami sudah mula berkempen untuk Pakatan Rakyat pada malam itu, sempena pengisytiharan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri siangnya? Iyakah? Berkempenkah itu? Atau itu sekadar ekspresi seni para seniman rakyat? Syed Shahir dan Prof Shaharir tentu boleh menyimpulkan jawapannya.




No comments: