Dinsman (Artikel
377, 3/5)
Ceramah umum Gerakan Intelektual Rakyat, 3 Mei
Kata Prof
Shaharir, sekarang sudah ada kira-kira 100 orang menyertai Gerakan Intelektual
Rakyat (Gatera), termasuk daripada Universiti Utara Malaysia (UUM); sedangkan pada
23 April ahlinya seramai 38 orang sahaja. Ini suatu perkembangan yang sangat
menggalakkan.
Setelah
mengadakan sidang akhbar pertamanya pada 23 April, Gatera telah mengeluarkan
beberapa kenyataan melalui Youtube,
termasuk bacaan puisi. Ada ahlinya yang berceramah di pentas politik sempena
kempen PRU. Prof Shaharir sendiri pun berceramah di Putrajaya, bersama Tok Guru
Nik Aziz. Saya, Kassim dan Nasser pergi hingga ke Tangkak dan Tanjung Agas,
Johor (atas jemputan Yap Hwa daripada LLG Cultural Development).
Berita mengenai
penubuhan Gatera ini pun rupa-rupanya menarik perhatian umum juga. Ketika saya
ceritakan hal ini dan sebutkan nama-nama yang menyertainya, ada orang jadi
begitu teruja kerana tidak menduga. “Oh, dia sudah berubah?” katanya.
Ya, Muhammad Taib
lagikan sudah berubah, artis-artis seperti Aishah dan Abby Abadi pun sudah
berubah, inikan pula intelektual kita! Tetapi macamana dengan yang ramai-ramai
lagi, yang katanya ada 1,600 atau 1,700 orang dalam Majlis Profesor Negara tu?
Ada yang
menjangka mereka itu sedikit demi sedikit akan menyertai Gatera juga. “Cuma
masalahnya bila? Kita tak mahu mereka menyertai Gatera selepas PR menang dalam
PRU-13. Itu sudah tak ada makna,” kata seorang.
“Tak mengapalah,
kerana Gatera bukan ditubuhkan untuk PRU ini saja, ‘kan! Selepas PRU pun Gatera
akan terus bergerak, ‘kan?” sambut seseorang di dalam bual-bual santai kami.
“Nampaknya kalau
PR menang nanti, kita kenalah buat tapisan sesiapa yang nak menyertai Gatera
selepas itu,” sambut seorang kawan lagi.
Demikianlah sembang-sembang
santai itu. Dan sambil-sambil itu dirancangkan juga satu program menjelang
PRU-13. Suatu ceramah umum khas ahli-ahli Gatera akan diadakan di padang awam,
Sungai Merab Luar, Sepang (dekat sempadan Putrajaya), pada 3 Mei, mulai 9
malam.
Buat pertama
kalinya para intelektual dalam Gatera akan berkumpul dalam suatu program
terbuka, bagi menyatakan sikap, pandangan dan pemikiran mengenai situasi
politik semasa, sesuai dengan kenyataan medianya sebelum ini, bahawa “Kumpulan
ini bertekad untuk menyedarkan rakyat supaya memilih pemimpin politik yang
memperjuangkan nilai luhur masyarakat yang beradab.”
Antara nama-nama
yang sudah disahkan akan tampil di pentas ceramah itu ialah Prof Shaharir Mohd
Zain, Prof Emeritus Ahmat Adam, Prof Nazari Ismail, Dr Maszlee Malik, Dr Aida
Idris dan Ir Hj Mohd Asari Daud.
Mengikut Prof
Shaharir, ada beberapa orang lagi yang akan mengambil bahagian pada malam yang
dinamakan Malam “Gerakan Intelektual Rakyat” ini. Program ini dibuat bersama
dengan Seniman Paksi Rakyat (Paksi), yang meneruskan siri “Jelajah Budaya
Selangor”nya, dengan kerjasama aktivis PAS tempatan.
Calon-calon yang
bertanding bagi kawasan Sepang dan Dengkil, Mohamed Hanipa Maidin dan Borhan
Aman Shah, juga akan hadir dalam program ini. Begitu juga calon bagi Putrajaya,
Datuk Husam Musa, diharap akan dapat bersama, kerana ramai juga penduduk
sekitar Sg Merab Luar yang bekerja dan mengundi di Putrajaya.
Saya melihat
pentingnya program ini bukanlah sekadar suatu program kempen pilihanraya.
Tidak. Pentingnya program Malam Gerakan Intelektual Rakyat ini ialah kerana
pernyataan penglibatan para intelektual yang menggelarkan diri mereka sebagai
“Intelektual Rakyat” itu di dalam suatu agenda rakyat. Pilihanraya umum adalah
suatu agenda rakyat yang sangat penting.
Ini hanya
permulaan. Seniman Paksi Rakyat (Paksi) melihat program permulaan Gatera ini
sangat bermakna, maka ia bekerjasama bagi menjayakannya, dengan harapan akan
dapat terus bekerjasama lagi dalam program-program yang akan datang. Paksi
sangat berharap bahawa Gatera dapat menghidupkan semula peranan yang perlu
dimainkan oleh para intelektual kita, bagi mengisi satu kekosongan atau
kelompongan yang terdapat dalam masyarakat kita sekarang.
Seperti kata kenyataan media Gatera itu: “Kami melihat persekitaran politik
Malaysia kini berada pada tahap yang parah… Sebahagian daripada para pemimpin,
ilmuwan dan ulama ternyata tidak dapat menjadi penjaga kepada nilai murni
masyarakat ini.”
Sememangnya, seperti yang saya katakan dalam keluaran lalu juga, “Semoga
apa yang selalu saya sebut bahawa golongan intelektual kita sudah lama meletak
jawatan atau enggan berperanan kepada masyarakat itu, akan berakhir. Dan akan
bermulalah era baru – era intelektual rakyat, atau intelektual yang peduli
kepada masalah rakyat.”
Demikianlah pentingnya Malam Gerakan Intelektual Rakyat pada 3 Mei ini.
Marilah kita beramai-ramai menghadirinya, bagi menyaksikan bermulanya suatu era
baru gerakan golongan intelektual kita, mendahului perubahan pimpinan politik
negara yang dijangkakan melalui pengundian pada 5 Mei 2013. Insya Allah!
No comments:
Post a Comment