Wednesday, May 1, 2013

Suara Kebenaran - Hassan Karim



Hassan Karim
SUARA KEBENARAN


Sesak semakin menyesakkan
Udara di sini
Berat semakin berat
Tekanan terasa
Tajam semakin tajam
Kuku itu membenam
Padam semakin padam sebarang harapan
Gelap semakin gelap
mendung di angkasa
Runtuh semakin runtuh
Keyakinan
Pudar semakin pudar
Suara kebenaran
Punah semakin punah
Kebebasan
Hakis semakin terhakis
Saki baki
Hak asasi

Inilah autokrasi
Pemerintahan kuku besi
Sedang cuba diinstitusikan
Di sini

Sejauh mana secara peribadi
Harus membiarkan
Kebenaran dipersendakan
Fitnah dihalalkan
Keadilan dipermainkan
saingan politik dinyahkan
disingkir, dipecat, diaibkan
kerana enggan tunduk menyerah
sejauh mana diri peribadi
yang masih berhati nurani
dapat membiarkan
alat negara disalahgunakan
badan berkuasa diperkuda
mahkamah diperkosa
media dijadikan hamba
dua puluh juta dipaksa menurut saja

Tidak
Mereka terlupa
Masih ramai yang ada maruah diri
Yang sedia menentang kekejaman
Yang sedia melawan kezaliman

Mereka yang berani ini tidak keseorangan
Dengar, dengarkan
Suara rakyat menuntut keadilan
Dengar, dengarkan
Resah rakyat mahukan kebebasan
Dengar, dengarkan
Degup rakyat menuntut kebenaran

Masa telah sampai
Ini zaman bergolak
Ini detik bergerak
Rakyat menuntut perubahan
Rakyat menuntut kebebasan
Rakyat menuntut demokrasi
Rakyat tentang kuku besi


15 September 1998.


Dipetik dari antologi puisi Dari Derita Bangsa, Usman Awang dan Dino SS (penyelenggara), Pustaka RBH, Semerah, Batu Pahat, 2001: 23-24)


No comments: