Dinsman (Artikel
382, 27/5)
Cerita konspirasi terhadap Nik Aziz
Telah lebih dua
minggu berlalu setelah Datuk Ahmad Yaakob mengangkat sumpah sebagai Menteri
Besar Kelantan pada 6 Mei 2013, dan Datuk Husam Musa tidak terlantik ke dalam
saf Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang baru itu; di Kuala Lumpur masih terdengar
cerita-cerita yang kurang menyenangkan – kononnya ada konspirasi meminggirkan
Tok Guru Nik Aziz dari jawatan Menteri Besar yang telah disandangnya selama 23
tahun itu.
Sewaktu saya
berkunjung ke pejabat Harakah pun cerita konspirasi itu masih kedengaran di situ.
Di kalangan kawan-kawan Seniman Paksi Rakyat pun ada yang mempersoalkan
cadangan Paksi bekerjasama (menganjurkan satu program) dengan kerajaan Kelantan
pimpinan Ahmad Yaakob, dengan alasan tidak mahu bersyubhat dengan konspirasi.
Hingga saya pun menjadi
hairan sendiri, mengapa pula saya yang dilihat (di kalangan kawan-kawan) lebih ‘hampir’
dengan TG Nik Aziz ini tidak pula berfikir atau terasa demikian? Padahal saya
mengikuti (dari jauh) setiap perkembangan dan pergerakan TG Nik Aziz khasnya di
hari bersejarah 5 Mei itu.
(Zali kawan saya
merakam video pergerakan TG Nik Aziz sepanjang hari 5 Mei itu, dari pagi hingga
ke malam, yang sepatutnya TG Nik Aziz mengumumkan keputusan di pejabat PAS Negeri
di Bangunan Zulkifli Muhamad, Kota Bharu, malam itu tetapi beliau tidak hadir.
Saya menonton keseluruhan rakaman video tiga jam itu.)
Keterkejutan
orang menerima berita pengunduran TG Nik Aziz itu memang kita faham, walaupun
saya tidaklah terkejut sangat, kerana berdasarkan apa yang saya selalu ikuti
perkembangan hidup dan tugas Tok Guru (telah masuk tahun ke-23 menjadi Menteri
Besar) yang telah mencapai usia 83 tahun, dan persoalan siapakah bakal
penggantinya pun telah beberapa kali dibincangkan, maka soal kemungkinan Tok
Guru akan berundur pada bila-bila masa sahaja itu memang sudah ada dalam
fikiran saya. Jadi berita bahawa bukan TG Nik Aziz yang angkat sumpah pada
petang Isnin 6 Mei itu tidaklah memeranjatkan sangat.
Dan mengapa harus
fikirkan ada konspirasi? Kerana yang mengambil tempat Menteri Besar itu
rupa-rupanya seorang tokoh yang kurang dikenali ramai di luar Kelantan. Itulah
sebabnya barangkali. Apa sebab lain lagi?
Saya sering ke
Kelantan dan acapkali berbincang dengan kawan-kawan di sana mengenai siapa bakal
mengambil tempat MB apabila dikosongkan TG Nik Aziz (kerana faktor tertentu).
Maka saya pun tak berasa pelik apa-apa dengan berita petang Isnin itu. Memang
Ahmad Yaakoblah, siapa lagi?
Memang dia tidak
sehebat atau setokoh TG Nik Aziz. Tetapi dialah yang paling layak di antara
yang ada, dan dia pun sudah 10 tahun membantu TG Nik Aziz, sebagai Timbalan
Menteri Besar, sejak 2004.
Lalu bagaimana
timbulnya cerita konspirasi itu? Inilah peliknya. Mengenali TG Nik Aziz secara
dekat, dan orang-orang di sekelilingnya, saya tak dapat melihat di mana
wujudnya jalur yang boleh mencetuskan kita berfikir adanya konspirasi itu. Tak
mungkin. Dan hal ini berbeza sangat dengan cerita yang cuba mensabitkan TG Nik
Aziz dengan perbuatan rasuah dulu itu (yang kemudiannya disahkan karut oleh
pihak SPRM sendiri). Itu digerakkan oleh pihak yang memang bermusuh dengan PAS.
Di kalangan
pimpinan PAS Kelantan sendiri wujud tokoh yang boleh menggerakkan konspirasi
bagi menyingkirkan TG Nik Aziz, dan TG Nik Aziz pun berjaya disingkirkan secara
konspirasi itu? (Eh, biar betul!..) Ada kemungkinkah begitu? Saya tak percaya
ada kemungkinan itu.
Namun disebabkan
agak meluas cerita itu tersebar di Kuala Lumpur, termasuk di kalangan
kawan-kawan sendiri, saya pun terasa perlu mengesahkan keyakinan, lalu
menghubungi beberapa sumber yang layak dipercayai di Kota Bharu, termasuk di
kalangan keluarga di Pulau Melaka sendiri.
Memang,
sumber-sumber yang mengetahui secara langsung dalam cerita ini pun mengakui –
memang wujud cerita-cerita tak betul di sekitar peralihan Menteri Besar
daripada TG Nik Aziz kepada Ahmad Yaakob itu. Sebab apa terjadi begitu –
biarlah. Yang pentingnya tulisan ini ingin menjelaskan hal yang sebenar.
TG Nik Aziz
sudahpun menyatakan hasratnya untuk berundur itu, kepada orang terdekat dengannya,
sebelum hari mengundi lagi. Dan di hari mengundi itu selepas membuang undi dan melawat
beberapa tempat mengundi, tengah harinya selepas solat Zuhur di masjid Cabang
Empat (sempat tazkirah sekejap), Tok Guru pulang ke rumah dan tidak keluar
lagi, kerana tidak sihat. Doktor datang ke rumahnya petang itu.
Malam itu semua
orang menunggu kehadirannya di Pejabat PAS Negeri untuk membuat pengumuman
keputusan, seperti kebiasaan setiap kali PRU. Tok Guru tidak hadir. Bukan dia sengaja
tidak hadir sebab dia hendak berundur. “Bukan,” kata anak menantu di Pulau
Melaka. “Esoknya saya sendiri tanya Tok Guru mengapa tak datang. Dia kata sebab
tak sihat, badan jadi tak larat sangat.”
Namun malam itu TG
Nik Aziz memanggil mesyuarat Dewan Harian ke rumahnya pagi-pagi esoknya, pukul
7 pagi. Setiausaha Kerja Dewan Harian yang buat panggilan, melalui SMS, seperti
biasa.
Dalam mesyuarat
itulah Tok Guru mencadangkan Datuk Ahmad Yaakob untuk mengisi jawatan Menteri
Besar, dan mendapat persetujuan semua yang hadir. Selepas mesyuarat itu Tok
Guru masuk hospital. Dia bercadang hendak hadir majlis angkat sumpah di istana
petang itu, sebab itu dia memesan supaya pakaian khas untuk itu turut dibawa ke
hospital. Tetapi keadaan kesihatannya petang itu tidak mengizinkan dia hadir.
Saya meninjau juga
pandangan beberapa pihak di Kelantan terhadap tindakan TG Nik Aziz membuat
cadangan pelantikan Datuk Ahmad Yaakob itu. Rata-rata mereka bersetuju, “untuk
mengelak daripada berlaku perselisihan yang serius dan keadaan yang lebih
rumit,” akui seorang YB.
No comments:
Post a Comment