Wednesday, May 29, 2013

MAPIM BERJAYA MENYIAPKAN SEBUAH LAGI MASJID DI GAZA



Kenyataan Media MAPIM
29 hb Mei 2013

MAPIM BERJAYA MENYIAPKAN SEBUAH LAGI MASJID DI GAZA


Pada 27hb Mei 2013 jam 1.00 ptg waktu Gaza , tali jendala di dinding Masjid Umar Abdul Aziz di Beit Hanoun , Gaza ditarik oleh Perdana Menteri Palestin Dr Ismail Abu Salam Haniyeh bersama Cikgu Azmi , Presiden MAPIM sebagai simbolik peresmian masjid tersebut.

Dalam ucapan peresmian , Dr Ismail , telah mengisytiharkan bahawa beliau sangat kagum dengan kegigihan Mapim untuk terus menyumbangkan kepada pembangunan Gaza. Ini katanya adalah bukti jelas bahawa Gaza tidak keseorangan dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin. Menyumbang untuk membina semula Masjid Umar Abdul Aziz yang musnah ketika dibedil oleh tentara Israel pada 2008-2009 , bagi beliau sangat menyentuh hati seluruh rakyat di Gaza. Beliau sangat menyanjung tinggi usaha Mapim dan kini telah menjadikan Mapim sebagai rakan pembangunan untuk rehabilitasi Gaza.

Masjid Umar Abdul Aziz itu yang bernilai RM 1.7 juta telah dibangun semula atas daya usaha MAPIM sebagai satu lagi mercu tanda sumbangan rakyat Malaysia dalam rangka menjayakan gagasan MAPIM iaitu Rebuild Gaza for A Nation.

Dalam acara penuh gemilang itu Cikgu Azmi telah menyampaikan ucapan dengan menyatakan bahawa Masjid ini adalah satu lagi tali ukhuwwah umat Islam Malaysia dengan rakyat Palestin di Gaza. Ia pasti akan menjadi satu tanda keiltizaman Mapim untuk membantu perjuangan rakyat bagi menjayakan pembebasan Palestin dan Masjid Al Aqsa.

Beliau mengingatkan betapa setelah 65 tahun menderita , rakyat Palestin maseh mempunyai semangat juang yang kental untuk tidak tunduk kepada Israel. Walaupun  dengan dokongan kuasa Barat terhadap Israel , pejuang rakyat Palestin maseh utuh untuk berhadapan dengan keganasan tentera Israel sehingga hari ini.

Beliau juga mengharapkan agar Masjid ini akan meningkatkan semangat rakyat Palestin di Gaza bagi melahirkan pejuang yang akan terus menerus perjuangan untuk mengembalikan  maruah umat Islam.

Masjid ini adalah masjid yang kedua yang diushakan oleh Mapim setelah Masjid An Nasr juga di Beit Hanoun disiapkan pada tahun yang lalu.

Cikgu Azmi menyatakan bahawa sumbangan rakyat Malaysia melalui kerjasama Masjid Al Falah Subang Jaya , Petaling Jaya sebagai Masjid kembar , sangat dibanggakan oleh masyarakat di Gaza kerana kini ia mengukuhkan semangat perjuangan yang sangat diperlu oleh para pejuang Gaza.

Beliau menyatakan bahawa melalui gagasan Rebuild Gaza for A Nation , Mapim akan terus menyalurkan bantuan untuk membangun semula Gaza yang jelas mempunyai potensi besar untuk menjadi sebuah wilayah umat Islam yang maju. Pembangunan semula masjid ini , kata beliau seharusnya digiatkan bukan sekadar untuk solat berjamaah akan tetapi ia seharusnya menjadi pusat pembangunan masyarakat yang cergas dan dinamik.


Datuk Zainal Abidin , Pengerusi Masjid Al Falah , Subang Jaya yang menjadi masjid berkembar dengan Masjid Umar Abdul Aziz turut memberi ucapan penghargaan kepada Perdana Menetri Gaza Dr Ismail Haniyeh kerana menjadi contoh kepimpinan yang amat dikagumi. Beliau menyampaikan rasa kebersamaan rskyat Malaysia untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin . Beliau mengharapkan agar kesatuan dan ukhuwwah dapat diperkukuhkan antara Gaza dan Malaysia melalui pembinaan semula masjid ini.

Majlis peresmian masjid tersebut turut dihadhiri oleh Menteri Awqaf Gaza serta Datuk Bandar Bait Hanoun.

Delegasi Malaysia terdiri dari 76 orang telah memeriahkan lagi majlis tersebut apabila mereka dapat melihat sendiri kejayaan rakyat Malaysia membuktikan sumbangan yang disalurkan melalui MAPIM telah dapat mendirikan masjid tersebut yang kini dianggap sebagai yang terindah di Gaza sekarang.





No comments: