HEBAHAN MEDIA
GATERA 4, Mei 25, 2013
POLARISASI KAUM ATAU PENGHEROTAN
MAKLUMAT?
Hasil Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini sesungguhnya
menerbitkan warna-warna hodoh
yang tersembunyi selama ini di dalam benak kalangan pemimpin dan kuasawan Melayu-UMNO.
Begitu jelaslah mereka ini menganggap mereka sahajalah yang layak memerintah
negara ini. Pada zahirnya, mereka ini seolah-olah mahu akan demokrasi tetapi batinnya
tidak demikian.
Sekalipun pilihan Raya Umum (PRU) diadakan hampir setiap 5 tahun, namun pada
masa yang sama mereka ini, sang "politikus" ini, akan melakukan apa
sahaja cara di luar kerukunan demokrasi itu sendiri seperti menjadikan media
sebagai alat propaganda politik berat sebelah, menyalah-gunakan konsep menanam
budi di musim pilihan raya, sehingga
boleh ditafsir sebagai usaha merasuah secara halus, dan menggerrimander (melakukan
persempadanan pengundian secara tidak adil) dan menyunglap atau bermain silap
mata dengan kaedah PRU bagi memastikan kemenangannya.
Dalam keadaan apapun, mereka yang berjaya mengalahkannya atau menyebabkan
kurang undi kemenangannya akan dicap dengan label-label buruk, didenda atau dicerca
dengan pelbagai kaedah, secara langsung atau
tidak langsung. Justeru, negeri yang diperintah oleh parti lawannya akan didera dengan pelbagai caranya, dan mereka yang dikenal
pasti telah tidak memilihnya di mana jua pun akan diberi layanan yang tidak sama
dengan mereka yang diketahui telah menyokongnya.
Nampaknya, budaya dendam kesumat ini
sudah semakin berkuku dalam sistem politik tanah air.
Hal keadaan sebegini kelihatan sangat menjolok sekali berlaku dengan
jeleknya dan kejinya selepas PRU13 kerana sokongan yang diraih oleh parti yang
selama ini begitu angkuh jelas begitu merosot pencapaiannya sehingga tinggal hanya
sekitar 47% sahaja rakyat yang menyokong parti pemerintah Pusat, Barisan
Nasional (BN); bahkan ada pula negeri yang diperintah oleh parti sang kuasawan
itu memperoleh undi hanya sekitar 44%
sahaja. Jelaslah sang kuasawan itu langsung tidak boleh mengakui atau tidak
mahu menerima hakikat bahawa rakyat sudah tidak mahu lagi diperintah oleh parti
yang hilang kredibiliti walaupun telah memerintah sejak 50-an tahun dahulu. Pemimpin-pemimpin
parti yang kehilangan integriti ini tidak boleh dan tidak mahu menerima kuasa
rakyat dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Oleh kerana itulah hasil pilihan raya PRU13 telah ditafsirkannya sebagai mengikut
kehendak gelagat hawa nafsu cauvinis
sempit Melayu yang mudah melemparkan
tohmah dengan menghina, memperbodoh, dan mempersalahkan kalangan rakyat yang
selama ini dianggapnya wajib menyokongnya walaupun atas sebab-sebab yang juga
menjurus kepada perkauman.
Dengan melihat apa yang telah dan sedang berlaku di tanah air, GATERA berasa terpanggil untuk menyedarkan para pemimpin besar atau kecil itu agar menginsafi persoalan “Apakah rasionalnya kita menghabiskan tenaga secara besar-besaran dan wang beratus juta ringgit untuk mengadakan pilihan raya jikalau para "politikus" yang berkuasa itu terus-menerus berpendirian tidak mahu atau tidak redha bila-bila masa pun untuk rakyat memilih calon pemimpin yang lebih bersih, lebih berintegriti dan yang peka terhadap keperluan rakyat dan kepentingan negara melalui saluran demokrasi yang ada menerusi pilihan raya yang bebas?”
GATERA dengan ini ingin mengajak rakyat semua kaum di Malaysia ini supaya bertindak waras dengan tidak mengikuti atau terperangkap dalam gejolak serakah para pemimpin politik, institusi, atau BBK yang telah berseronok-seronok dalam syurga-loka nafsu kekuasaannya selama ini. Kini, mereka yang setelah diuji oleh badai kebangkitan kesedaran rakyat, wajiblah insaf bahawa demi kepentingan negara dan bangsa Malaysia, mereka haruslah berubah untuk memperbaiki diri agar keunggulan akhlak yang bersih, kesungguhan mengamalkan keadilan dan sifat amanah, adalah tanggungjawab yang utama kepada rakyat, dan bahawa kuasa yang dipegang itu adalah dari rakyat dan untuk rakyat.
GATERA berasa lebih-lebih terpanggil lagi untuk menyatakan kerusuhan hati terhadap mereka yang mencipta pelbagai ungkapan perkauman yang akan memperburuk lagi suasana hubungan kaum dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia yang memerlukan pemupukan dan galakan pada setiap masa demi mewujudkan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia.
Dr. Shaharir bin Mohamad Zain
Ketua GATERA
25 Mei 2013
No comments:
Post a Comment