Friday, June 14, 2013

TUNTUT TPPA DIBAHASKAN DI PARLIMEN



Kenyataan Media MAPIM
14hb Jun 2013

MAPIM TUNTUT TPPA DIBAHASKAN DI PARLIMEN

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan isu TPPA

(Trans Pasific Partnership Aggreement)  adalah isu yang sangat serius yang perlu dibahaskan di Sidang Parlimen yang akan datang.

Oleh kerana ia ada kaitan dengan persoalan kedaulatan ekonomi dan kesan kepada pelbagai industri negara , maka wajar ia diusulkan sebagai isu yang segera , berkepentingan awam dan relevan dengan pelbagai dasar kepentingan negara.

Malaysia yang dilibatkan sebagai salah sebuah negara anggota dalam perundingan TPPA dilakukankan tanpa pengetahuan pelbagai pihak berkepentingan di negara ini.

Kami mengingatkan bahawa isu ini sangat serius  kerana ia akan mendedahkan  pelbagai industri negara kepada persaingan yang tidak adil.  Jauh lebih berat ia juga akan mengakibatkan pelbagai dasar negara seperti status syarikat bumiputera dipinda atau dimansuhkan kerana dianggap sebagai penghalang kepada pasaran bebas.

Oleh kerana penglibatan Malaysia dalam perundingan TPPA dilakukan tanpa pengetahuan  awam, parlimen adalah wadah yang sewajarnya diguna untuk membahaskan mengenai baik buruknya negara diheret dalam hegemoni ekonomi kuasa besar seperti Amerika.

MAPIM hairan kenapa perundingan yang sangat berisiko ini tidak melibatkan proses konsultasi awam.

Kenapakah TPPA menjadi rahsia kepada kerajaan sehingga rakyat tidak tahu menahu apa yang dirundingkan sedangkan ia sangat berkait dengan nasib mereka?

Kini perundingan itu sedang masuk ke fasa terakhir dan Malaysia akan turut menandatangani suatu perjanjian yang mempunyai implikasi besar kepada ekonomi dan kedaulatan negara.

MAPIM menggesa ahli parlimen memainkan peranan tidak membenarkan isu TPPA diputuskan tanpa  dibahaskan walaupun ia dianggap sebagai isu yang boleh diputuskan oleh badan eksekutif iaitu Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa.

Parlimen dan orang awam seharusnya dimaklumkan mengenai terma-terma syarat sebenar perjanjian itu. Ia tidak sepatutnya menunggu  sehingga prosesnya  berakhir.  Jika itu berlaku, maka sebarang input yang akan dicadangkan selepas itu tidak  bermakna lagi.

Suatu perjanjian perdagangan yang ada implikasi besar kepada rakyat  tidak boleh  dirundingkan atas nama warga Malaysia.

Jika konsultasi awam semada bersetuju atau tidak Malaysia terus terlibat dalam perundingan ini tidak dilaksanakan, maka Parlimen sepatutnya menjadikan sidang kali ini untuk membahaskannya secara terbuka.

Pihak kerajaan tidak sepatutnya membelakangkan pandangan awam, seolah mereka yang menjadi perunding di TPPA tahu semua untuk membuat keputusan yang sangat besar.

Dengan membenarkan Malaysia terus terlibat dalam perundingan TPPA dan akhirnya menandatanggani perjanjian itu, rakyat Malaysia akan menerima natijah jangka panjang yang parah akibat kedaulatan ekonomi negara digadai dalam perjanjian tersebut.

Seluruh agenda melindungi industri Malaysia akan gagal dipertahankan kerana perjanjian TPPA memberi penekanan kepada prinsip kuasa pasaran terbuka dan pasaran bebas.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM


No comments: