Monday, July 22, 2013

Menyelamatkan Melayu (+Islam?): Gabung dan cantum?



Kaedah menyelamatkan Melayu (+Islam?):  Gabung dan cantum?


Bagi ‘sesetengah’ orang, penggabungan ialah cara paling berkesan untuk menyelamatkan orang-orang Melayu.  Bagi ‘sesetengah’ orang yang lain pula,  satu-satunya cara untuk menyelamatkan orang-orang Melayu ialah dengan bercantum.  Begitulah keadaannya ― sudah sekian lama para pemegang ‘teori penggabungan dan percantuman’ tidak berputus asa berusaha agar orang-orang Melayu dapat bergabung dan bercantum.  Bagi mereka,  itulah saja jalannya untuk menyelamatkan orang-orang Melayu yang sedang ‘terancam dan diancam’.   

Kelihatannya para penganut tegar kepercayaan ‘gabung dan cantum’ ini sama sekali tidak percaya bahawa sebagai makhluk berfikir,  orang-orang Melayu juga bebas memilih mana-mana parti politik yang mereka yakini ― sesuai dengan selera dan falsafah perjuangan masing-masing.  Bukan begitu, kata mereka yang gah dengan teori ‘gabung dan cantum’ ini.  Para pereka dan pelopor  teori ‘gabung dan cantum’ ini, kelihatannya sangat yakin bahawa perbezaan pandangan dalam politik itu barang mewah yang bukan saja mahal TAPI terlalu merbahaya buat orang-orang Melayu.  Mereka cuba mengukuhkan hujah dengan melontarkan hujah silam yang biasa itu ― demi kelangsungan bangsanya, orang-orang Melayu tidak boleh berpecah belah (baca: bertentangan dalam arena politik).  Oleh itu mereka yakin sekali orang-orang Melayu tidak boleh ada sebarang pilihan.  Salah satu cara untuk mengelak pertentangan dan ‘perpecahan’ ini, parti-parti Melayu mesti bergabung atau bercantum.  Bagi mereka,  sekiranya penggabungan atau lebih bagus lagi pencantuman tidak menjadi kenyataan, maka bakal hancurlah orang-orang Melayu.  Oleh kerana itu, kata para pelopor teori ‘gabung dan cantum’ ini lagi, orang-orang Melayu tak boleh bermewah-mewah dengan pandangan yang berbeza!  Betapa luar biasanya orang-orang ini.


2.

Dalam usaha untuk menyelamatkan orang-orang Melayu itu, sila teliti idea ‘gabung dan cantum’ di bawah ini.  Bagi sesetengah orang,  penggabungan yang paling besar maknanya ialah dalam konteks dua buah parti ‘Melayu-Islam’,  Pas-Umno.  Maka oleh Abdullah Ahmad dalam kolumnya dalam Sinar Harian (berjudul ‘Apa pula pasca Kuala Besut’, http://www.sinarharian.com.my/karya/kolumnis/apa-pula-pasca-kuala-besut-1.184959), pun telah menulis:   

“ Destinasi Pas dan Umno serupa.  Bezanya, pada pendapat ramai, adalah penggunaan pengangkutan ke destinasi itu.  Sudah sedia ada titik pertemuan dua parti ini.  Majoriti rakyat Melayu Islam berharap satu ketika Umno, Pas bukan sahaja bekerjasama seperti zaman Tun Razak tetapi akhirnya bergabung! Lagi pun Pas dilahirkan oleh serpihan Umno. Bila percantuman akan berlaku tidak sukar diteka, tidak susah diramal.  Kehendak politik, keselamatan agama, negara, bahasa dan watan akan membawa kedua belah kesedaran.   Perkembangan politik kini memperlihatkan mungkin masanya lebih segera daripada disangka”.

Keseluruhan tulisan Abdullah Ahmad itu boleh dibaca dari pelbagai sudut.  Apa pun mantan menteri Umno ini yakin bahawa kemenangan Umno di Kuala Besut hari Rabu nanti itu adalah sesuatu yang sudah pasti (its ‘a forgone conclusion’ katanya memetik pandangan seorang pemerhati tempatan), kecuali jika ia digelincirkan oleh takdir .  Namun mantan Menteri Umno ini tidak dapat menyembunyikan keinginannya yang meluap-luap agar Pas-Umno bergabung dan bercantum sekali lagi demi Melayu (+Islam?).   Walaupun mencuba dengan bersungguh-sungguh untuk menutupi kegusarannya tentang masa depan Umno dan segala masalah yang dicipta Umno sendiri selama ini,  Abdullah Ahmad sangat mengharapkan agar Pas sudi muncul sebagai kayu penyokong Umno (sebagai ‘prop up’, mengikut istilahnya terhadap Pas).   


3.


Apakah pengajarannya yang kita perolehi dari gesaan proses penggabungan Pas-Umno yang diulang-ulangi ini?  Mungkin yang sangat jelas ialah hal-hal seperti berikut:

Pertama, betapa sukarnya kuasa yang direngkuh oleh sang penguasa itu dibebaskan@direbut.  Jika kita rajin amati,  sepanjang sejarah Malaysia moden (khususnya sejarah PRU) kita melihat dengan jelas bagaimana sang penguasa ini berhempas pulas dan telah berjaya menyelamatkannya dirinya.  Setiap kali kuasanya tergugat, sang perengkuh kuasa ini pasti akan menggunakan segala kuasa, alat dan akal liciknya untuk memastikan nyawanya sebagai penguasa itu akan kekal selama-lamanya.  Paling mutakhir dalam PRU13, kita melihatnya dengan jelas dalam kes yang kelihatannya sangat mudah dan sederhana, yang diketahui rakyat jelata ― cerita dakwat kekalnya SPR.  Pengajaran yang jelas di sini ialah: Janganlah lagi terlalu ghairah membicarakan tentang kafan dan kuburnya Umno.  Lebih bagus bekerja dengan lebih keras tanpa banyak menebak:  Umno pasti berkubur.  Sang perengkuh kuasa itu tak semudah itu ditewaskan.

Kedua,  setelah sekian lamanya berjaya merengkuh kuasa itu, masih tidak kelihatan sebarang kesungguhan sang perengkuh kuasa itu untuk berubah.  Semuanya masih bisnes seperti biasa  (rasuah, kronisme et al).  Kekadang kelihatannya segala-galanya bergerak, dan bergerak auto-pilot.  Yang menjenuhkan pendengaran adalah kata-kata tidak munasabah yang sukar dibayangkan meluncur dari lubang rongga para pimpinan perengkuh kuasa ini.  Percayalah,  kata-kata itu (contohnya, dayuslah jika berkuasa tapi tak minta projek) boleh keluar dari rumah undang-undang kita (bukannya di kedai-kedai kopinya Tok Braheng di Ulan Bator),  dari mulut-mulut mereka yang kita pilih sebagai pemimpin.  Jika ada sebarang kata-kata yang kelihatannya memberikan harapan, yang lebih jelas ialah bedak dan gincunya.  Media kita kaya bedak dan gincu.  Rakyat pun sudah tahu kata-kata berbedak dan bergincu tanpa perbuatan yang tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat.  Lihatlah bagaimana saban tahun di musim-musim perayaan, rakyat terus bergelut dengan cerita ayam, menteri cap ayam dan harga ayamnya.


4.

Lalu apakah pilihan yang ada pada kita, setiap rakyat kecil?  Kita tentua yakin bahawa yang membawa perubahan adalah tindakan massa secara total.  Kata-kata mungkin merangsang tapi tindakanlah yang lebih menentukan.  Oleh itu sebagai seorang anggota masyarakat, kita semua berupaya melakukan sesuatu.  Sekiranya masyarakat X di Negeri Y sangat yakin bahawa sang perengkuh kuasalah yang menjamin masa depan JJnya, ajaklah mereka berfikir kenapa pandangan itu tidak tepat.  Ajaklah teman-teman sekampung kita berfikir tentang makna sebenar segala ungkapan yang sering dicanang-canang di corong-corong radio dan kaca tv itu   bersyukur, mengenang budi, projek atau pembangunan.  Ajaklah mereka berhujah tentang contoh-contoh mengenang budi yang sering diutarakan oleh orang-orang politik.  Perhatikan di manakah benar dan salahnya hujah-hujah tersebut.  Ajaklah mereka merenungi dan berusrah (mungkin dengan YB-YB masing-masing) untuk memahami maksud dan pengertian, kata-kata ‘hikmat’  yang sering diutarakan, misalnya apakah makna sebenar ‘peranan dan tanggungjawab’ seseorang wakil rakyat, ketua kampung, tok imam, tok bilal dan juga institusi awam seperti klinik  1Malaysia, mufti dan pejabat daerah?  Ajaklah mereka bercakap tentang haram, halal dan tak ketinggalan tentang ‘dunia’ setelah mati. Ya, ajaklah yang di sekeliling kita itu berjinak-jinak jinak berfikir.

(Hah, para 4 ini sudah disusupi khutbah, mohon maaf).


No comments: