Wednesday, August 28, 2013

Gigitan faham kebendaan



Ekonomi itu paksi kekuatan budaya?


Kegilaan mencari, merebut dan berebut-rebut, membeli dan ‘menguasai’ sebanyak mungkin ‘benda’ cukup besar pengaruhnya dalam kehidupan kebanyakan manusia.  Kegilaan untuk menguasai ‘benda’ ini termasuklah kegilaan menggunakan pelbagai kaedah ― yang halal, yang haram, sah dan juga yang gelap.  Dalam bahasa yang lebih langsung ― merampok, menipu dan juga makan rasuah.

Sementara ‘benda’ yang diidam-idamkan itu juga pelbagai.  Zaman dahulu kala ‘benda’ ini termasuklah binatang-binatang ternakan yang bagus-bagus seperti kuda, unta, lembu kerbau, ladang-ladang kurma, dusun dan sawah ladang yang seluas mata memandang dan juga barang-barang mewah seperti emas, perak, intan, berlian, saham (sekadar memasukkan satu dua contoh).  Dan jangan lupa ‘benda’ yang diidam-idamkan oleh manusia itu ― tidak ketinggalan termasuklah pangkat, darjat dan juga set-set kumpulan gundik dan akhirnya tentulah kuasa dan pengaruh ― pakej yang pada kebiasaanya akan datang bersamanya. 

Sehari dua ini semasa mengurus persediaan pra “Persidangan Model Kepemerintahan (governance) Islam Semasa”, tajuk perbicaraan kami berpindah ke merata tempat termasuk betapa hebatnya para profesor di negara jiran yang begitu aktif, berani dan tidak tanggung-tanggung untuk bangun memperjuangkan nasib para marhaen yang tertindas.  Mereka terjun langsung untuk bersama-sama NGO kerana bagi mereka Sang Penguasa di merata dunia telahpun mandul dan dimandulkan oleh sistem zalim para perakus dunia.  Mereka turun untuk mengambil maklumat dan untuk berjuang bersama-sama para marhaen yang ditindas.  Dalam konteks ini, kita teringat kisah Syed Husin Ali (waktu itu masih pensyarah Universiti Malaya) yang membaringkan diri di depan truk FRU sebagai ikhtiar menghalang rumah marhaen ini dirobohkan.

Kata seorang teman, “Mereka ― para profesor negara-negara ini ― sanggup turun dan lawan Sang Penguasa bersama-sama rakyat marhaen atas pertimbangan yang ‘lebih mudah’― bahawa gaji mereka sebagai profesor tak seberapa,  jika dipecat sekali pun tidak begitu terasa dan berkesan kepada mereka.  Bayangkan dan bandingkan dengan gaji para pensyarah kita yang berbelas-belas ribu itu, apakah mereka tidak berfikir dua, tiga, empat kali untuk bangun melawan?”

Alangkah bagusnya strategi “Endless Possibilities” yang digunakan itu; semakin besar habuannya maka semakin payahlah untuk bangun melawan.  Dan “possibilities”nya tidak terhenti walaupun sudahpun pencen.  Otak manakah yang fikirkan tentang pelbagai habuan yang tidak pernah berakhir@kering@mengalir terus itu?


2.

Dalam senario seperti di atas itu, maka ada yang mengirimkan teks berikut kepada Dinsman, iaitu sebagai tanggapan susulan terhadap wacana ‘kuasa budaya’ yang diangkat oleh Mahfuz di Parlimen dan dibincang dengan lanjut bersama Paksi tidak lama dulu:

“Dalam berjuang menegakkan budaya dan melebarkan ‘kuasa budaya’, tuan disarankan melihat juga bagaimana ‘mutiara-mutiara budaya’ boleh diterjemahkan di dunia ekonomi untuk menjanakan dana ‘gerakan perluas budaya Melayu sebagai budaya dunia’ itu sendiri setidak-tidaknya.  Pada saya, punca utama ancaman perluasan ‘budaya’ yang ingin kita angkat, adalah kelemahan ekonomi yang sekaligus telah merendahkan kuasa dan pengaruh politik bangsa Melayu-Islam.  Kita harus terima hakikat, bangsa yang lemah ekonominya tak mungkin dapat menjayakan budayanya...apatah lagi untuk dominasi bertaraf dunia.  Saya ingin mengajak rakan-rakan budayawan seperti tuan memikirkan perancangan budaya yang bersinergi dengan perancangan ekonomi ummah..dan tuan jauh lebih baik dan berkemampuan untuk memikirkan hal ini. Ekonomi itu adalah paksi kepada kekuatan budaya.”

Sebagai balasan, ini pula teks saya kepada Dinsman:

“Mesej sapa tu?  Macam Mahathir saja?”  Demikianlah mendalamnya gigitan pemikiran ‘sesat’  Mahathir itu terhadap orang-orang Melayu.  Bukankah begitu?





No comments: