Monday, August 12, 2013

MASYARAKAT ISLAM DI AMBANG KRISIS JIKA



Kenyataan Media MAPIM
12 hb Ogos 2013


MASYARAKAT ISLAM DI AMBANG KRISIS JIKA INSITUSI KELUARGA TIDAK DIPERKUKUHKAN.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) membuat jangkaan institusi keluarga dalam masyarakat Islam akan menghadapi krisis yang parah jika langkah memperkukuhkan dan memelihara keutuhan perhubungan suami isteri khususnya tidak diambil.

Berita media mengenai ujudkan fakta tiga kes penceraian pasangan Muslim setiap jam di negara ini adalah suatu realiti yang sangat serius.

Kajian JAKIM  bagi tahun 2011 bahawa  terdapat purata 70 kes penceraian dilaporkan sehari, 2,000 kes dilaporkan sebulan dan 25,000 kes setahun di seluruh negara bagi tahun 2011 sudah cukup untuk semua pihak mengambil inisiatif drastik untuk menyelamatkan institusi keluarga Islam di negara ini.

Kenyataan bahawa statistik perceraian daripada Jakim dari tahun 1990 hingga 2010 sentiasa menunjukkan peningkatan kes penceraian setiap tahun , tidak boleh hanya tinggal fakta yang disunguti, tetapi sepatutnya semua pihak segera merangka tindakan untuk membendung gejala ini.

Kami berpendirian bahawa puncanya bukan semata soal ilmu tetapi juga termasuk soal suasana  sosial-ekonomi yang semakin rumit dan menekan. Gaya hidup yang menggalakkan perlumbaan dan persaingan yang tidak sihat juga menyebabkan kehidupan berkeluarga menjadi sangat terbeban.

Terlalu banyak rangsangan dari promosi gaya hidup semasa yang dipapar dalam media yang menyumbang kepada keruntuhan rumahtangga. Melihat kepada pelbagai gimik dan filem serta drama yang memaparkan gaya hidup moden serta mempengaruhi minda dan citarasa masyarakat, lambat laun akan memberi pengaruhi yang tidak baik kepada perhubungan suami isteri.

Kami berpandangan pihak berkuasa perlu melihat persoalan penceraian yang tinggi dari perspektif yang menyeluruh dalam budaya hidup masyarakat masakini.

Tekanan hidup yang dibiar berleluasa seperti hidup melayani kehendak di luar kemampuan  sehingga menyebabkan suami isteri yang berpendidikan tinggi sekalipun hilang pertimbangan dan berlarutan kepada penceraian.

Kami juga melihat faktor pengaruh budaya menetapkan perbelanjaan perkahwinan yang tinggi sering menjadi permulaan kepada ketegangan hubungan antara pasangan kerana terbelit dengan masalah kewangan yang tidak dapat dikawal.

Generasi muda yang tidak celik pengurusan kewangan, bila memasuki alam rumahtangga umumnya akan terperangkap dengan masalah perbelanjaan yang tidak terkendali dengan baik. Akhirnya mengakibatkan ketegangan perhubungan antara suami dan isteri.

Isu yang lain seperti bebanan kos pendidikan, kesihatan, terjebak dengan hutang, pengaruhi ibu dan bapa mertua, tekanan dan gangguan dari ahli keluarga yang lain akan dengan sendirinya  menambah rumitkan lagi keadaan sehingga akhirnya kemuncak keputusan yang dipilih ialah cerai.

Soalnya segala gejala negatif yang mempengaruhi pasangan suami isteri itu berlaku dalam keadaan mereka tidak mempunyai daya dan kekuatan ilmu untuk menangkis segala unsur yang merosakkan perhubungan dalam keluarga.

Tidak dinafikan ilmu dan amalan agama sangat mempengaruhi keutuhan kehidupan berkeluarga. Namun kerana asakan pengaruh luar yang terlalu kuat menyebabkan benteng agama runtuh akibat ransangan budaya hidup berlumba dan mahu mengikut trend semasa.

Kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai gejala anak muda yang membesar tanpa didikan agama yang mencukupi, jelas menunjukkan betapa ia boleh mengakibatkan penyakit sosial yang parah apabila meningkat usia untuk mendirikan rumahtangga.


Gejala tidak memberi tumpuan yang bersungguh kepada pendidikan anak-anak dari segi akhlaq menjadi penyumbang besar kepada kelenturan jati diri dan bila ia berpanjangan sehingga dewasa, pasti memberi kesan kepada kehidupan keluarga.

Kami melihat sistem pendidikan formal di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta pendidikan tidak formal dalam keluarga dan masyarakat telah gagal membantu membentuk keperibadian anak-anak yang kuat sekaligus institusi keluarga yang kukuh.

Kami juga menyarankan supaya sistem kursus pra-perkahwinan yang kini dilaksanakan antara pihak jabatan agama Islam dengan pihak swasta hendaklah disemak semula. Setelah sedemikian lama syarat mendapat sijil kursus pra-perkahwinan dikuatkuasakan sebelum bernikah, ternyata isu kadar penceraian yang meningkat terus berlaku.

Kami persoalkan kandungan dan teknik penyampaian kursus tersebut kerana ternyata ia tidak berkesan jika dikaitkan dengan bilangan kes penceraian yang berlaku sekarang.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM

No comments: