Friday, September 6, 2013

Agenda di sebalik berita

Kenapa orang-orang Melayu mesti diajar supaya kritis


Situasi Satu

A: Tarik balik gelaran yang diberikan kepadanya!

B: Silakan,  Bapak tidak kisah.  Jika mahu tarik kerakyatan pun tidak mengapa, silakan.

A: Suruh dia serahkan semula gelaran itu!


Situasi Dua

A: Syiah sangat merbahaya kepada akidah, kita tidak boleh biarkan ia berleluasa.

B: Jangan jadikan Syiah itu isu untuk tujuan politik sempit.


Di atas adalah dua contoh ‘peristiwa’ yang mungkin kita temui dalam kehidupan sehari-hari.  Peristiwa-peristiwa benar atau mungkin peristiwa yang digarap sebagai karya sastera (cerpen atau puisi) atau mungkin juga sebuah laporan sidang DUN, Dewan Undangan Negeri yang baru saja dirampas semula. 

Salah satu aspek menarik yang boleh diamati ialah melihat bagaimanakah dan apakah kesan tulisan atau laporan ‘peristiwa’ seperti itu terhadap seseorang pembaca; bagaimana sesorang pembaca itu menanggapi sesuatu tulisan atau laporan itu.  Jika dia membaca seadanya membaca apa saja yang dicetak (atau at face value),  maka dia yakin seyakin-yakinnya dengan ‘hujah’ yang mahu dibawa oleh tulisan atau laporan.  Dalam Situasi Satu, dia setuju gelaran itu dipulangkan oleh si penerimanya.  Dalam Situasi Dua, demi akidah yang suci dia yakin ‘Syiah’ mesti diperangi.  Ya,  perang demi akidah.

Situasi ‘yakin seyakin-yakinnya dengan hujah yang mahu dibawa’ oleh tulisan atau laporan masih berleluasa dalam kalangan rakyat kita.  Oleh itu jangan terkejut jika dalam Situasi Satu  seorang pembaca yang terbiasa ‘membaca seadanya’,  akur bahawa sesungguhnya arahan ‘suruh dia serah semula gelaran itu!’ itu tepat dan wajar kerana itulah yang tertulis dan itulah yang dibacanya.  Ertinya itulah mesejnya yang benar dan tidak ada sebarang sebab musabab kenapa mesej itu ‘tidak benar.’

Sementara itu dalam Situasi Dua, seorang sahabat yang susur galur keluarganya begitu dekat dengan Umno parti Melayu, pernah berjinak-jinak sebentar dengan parti lawan, tapi kini telahpun kembali semula ke pangkuan Umno parti Melayu itu bertanya, “ Kenapakah dalam kes agama yang sangat jelas seperti akidah kes berat akidah yang terpesong, parti lawan yang katanya memperjuangkan Islam ini,  tidak menyokong usul Syiah ini?  Bukankah jelas dalam sejarah, puak-puak Syiah ini mencerca para sahabat tapi dalam kes usul Syiah di DUN ini, mereka tidak menyokong usul yang dibawa oleh kerajaan Umno parti Melayu?   Kenapa?  Saya begitu sedih dengan sikap politik yang begini!”

Saya hampir-hampir mahu membuka mulut, bertanya satu dua soalan seperti: Pertama, adakah ‘kes Syiah’ ini sesuatu yang baru dan ia baru saja timbul sehari dua ini?  Kedua, tidakkah terfikir bahawa musim pemilihan Umno parti Melayu itu sudahpun berada di ambang pintu?  Saya tidak membuka mulut kerana kasihan melihat sahabat ini begitu rancak sekali  menyuap. Biarlah, jangan sampai dia tersedak.

Dalam konteks permainan isu agama, dan agama sebagai permainan politik seorang anak muda yang tidak rela membaca apa adanya dan seadanya, berhujah, “ Pak Cik, pernahkah pak cik ceritakan (wah, siapalah aku?!) kepada ulamak-ulamak Pas yang besar itu (lalu disebutnya dua nama) bahawa isu nama Allah itu menjadi sebab penting kenapa orang-orang Melayu di kampung lari tidak mengundi Pas?”  Benarlah seperti yang sahabat saya sering katakan jika pendekatannya hanyalah semata-mata “Kita lawan, kita tak perlu rancang-rancang tak perlu pun strategi-strategi, satu abad lagi kita tak akan ke mana-mana.  Lihat anak muda PKR itu (lalu disebutnya satu nama), lihatlah bagaimana strateginya berfikir dan bertindak!”

Soalannya:  Bilakah kita belajar berfikir, dan kritis berfikir untuk bertindak?   Bilakah kita yakin dan percaya bahawa sesungguhnya “lawan saja” tidak lagi mencukupi?




No comments: