Monday, September 2, 2013

Catatan Merdeka 2013



MERDEKA
(tanya sama anak burung)


Setelah berminggu-minggu ia hidup dalam sarang disuap induknya, akhirnya seekor anak burung terbang meninggalkan sarangnya ― buat kali pertama.  Untuknya zaman induk  menyuap, ia  menganga, untuk menelan apa saja yang disuapi telahpun berlalu.  Hari ini ia terbang dari sarang induknya tanpa meminjam sayap sesiapa.    Ia memasuki alam penuh cabaran dengan kudratnya.  Ia seekor anak burung merdeka.

Seorang pesawah menunggu gilirannya untuk mendapat biji benih dari kilang.  Sejak sekian lama itulah rutinnya setiap musim.  Dulu tatkala atuknya masih bersawah, dia melihat bagaimana atuknya memilih dan menentukan benih apa saja yang dia ingini.  Maka tatkala Mat Candu sedang mesra lagi galak di mata para petani, maka Mat Candulah yang mereka ― para pesawah seperti atuknya ‘bawa’.  Hari ini dia terpaksa membeli benih padi yang katanya kebal, lengkap dengan racun membunuh padi angin walaupun harganya mahal kerana itulah katanya cara yang paling berkesan untuk melawan padi angin.  Pesawah yang sekian lama bersawah tidak lagi berupaya memilih padi benih yang mana satu dia suka.  Dia, seperti rakan-rakan pesawahnya yang lain, tidak lagi berupaya (baca:MERDEKA) menyediakan padi benihnya sendiri. 

Ah, alangkah gagahnya seekor anak burung.

Seorang ketua negara, Ketua Kabilah penjaga sebuah Tanah Suci menelefon tuannya di Washington meminta nasihat apakah Kingdom kabilahnya perlu lakukan dalam peristiwa terbaru di Kaherah.  Sepertinya ― ramai pemimpin ‘negara-negara’ Islam dunia menunggu isyarat dan aba-aba tuannya sebelum berani melepaskan kentut masing-masing.  Mereka elit politik kelas budak suruhan,  berpangkat dan bergelar di negaranya hanya mampu menunggu isyarat tuannya.

Ah, alangkah gagahnya seekor anak burung.




No comments: