Wednesday, September 4, 2013

Kata Dinsman: Melayu akan balik kepada Umno



Dinsman (Artikel 397, 2/9)
Melayu akan balik kepada Umno

Akhirnya orang Melayu akan balik kepada Umno semula. Ini suatu trend pemikiran yang sedang berlegar-legar di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Trend pemikiran pasca PRU13. Akibat daripada krisis kepemimpinan yang semakin tak dapat disembunyikan, berlaku dalam PKR dan juga dalam PAS.

Saya bukan orang politik, tetapi saya mulai mendengar cakap-cakap yang seperti itu hampir di mana-mana sekarang. Cakap-cakap mengenai krisis kepemimpinan di dalam parti. Cakap-cakap mengenai ketidak-puasan hati terhadap pimpinan atasan parti. Cakap-cakap mengenai ketidak-puasan hati ahli-ahli di bawah terhadap gelagat pimpinan yang mulai menunjukkan “perangai dan sikap macam orang Umno juga”.

Ini bahaya. Keadaan yang membahayakan. Orang seperti disillusion, seperti kecewa dengan harapan yang tak kesampaian. Mengharap dan mengharap terlalu lama, khasnya dengan janji-janji dan harapan yang diapungkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat; dan Reformasi yang bermula sejak September 1998 itu – adalah suatu tempoh yang agak lama. Manakala di pihak Umno pula nampaknya mereka tetap bertahan dengan ikhtiar-ikhtiar gigih yang berterusan untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada Umno.

Memang mereka bermain dengan sentimen perkauman. Dan saya perhatikan memang sentimen perkaumanlah faktor utama yang boleh menarik orang Melayu kembali kepada Umno. Dan kita tak boleh menafikan kepentingan faktor sentimen perkauman ini, betapapun kita cuba bersikap positif dalam persefahaman antara kaum, terutamanya apabila terselak sedikit demi sedikit permainan mengutamakan kepentingan Cina di pihak DAP.

Mungkin betul mungkin tidak, kita tidak tahu pasti. Tetapi orang mulai mempercayainya. Kalau sebelum ini kita menepisnya dengan hanya senyum sinis dan menganggap semua itu sebagai tohmah dan fitnah, tetapi sekarang tidak lagi demikian. Sebab apa? Krisis di dalam parti PKR dan PAS sendiri yang mendorong orang ke arah mempercayainya.

Dan kekalahan PAS Kedah itupun tidak sahaja kekalahan PAS di Kedah. Ia mempunyai impak dan akibatnya terhadap kepercayaan dan keyakinan orang ramai kepada kepemimpinan PAS keseluruhannya. Imej yang terbina di sekitar kepemimpinan Ustaz Azizan itu rupa-rupanya tidak kecil. Ia cukup besar, sehingga orang mulai merujuk kepada ‘Azizanism’ (Hang sapa? Depa tau apa?). Memang agak menyedihkanlah.

Dulu, sebelum PRU13 kita bolehlah bersilat memberi hujah dengan pelbagai alasan untuk mempertahankan cara dan gaya kepemimpinan Ustaz Azizan itu. Tetapi sekarang, bolehkah? Tempelaklah yang akan berbalik kepada kita. Dan ternyata tidak mudah untuk memperbetulkan kembali perkara yang telah dirosakkan itu. (Pengajaran dari sejarah di Trengganu rupa-rupanya gagal dipelajari).

Di Selangor pula walaupun PR menang dan Tan Sri Khalid terus jadi Menteri Besar dan dia pun terus berbangga dengan bilion RM simpanannya yang terus meningkat, orang dan orang PKR sendiri pun tetap juga mempersoalkan kewajaran pelbagai tindakannya yang dianggap tidak membantu Melayu itu. (Apa gunanya simpanan berbilion-bilion pun kalau tak dapat digunakan untuk membantu Melayu?)

Isunya, nampaknya, ialah isu Melayu. ‘PAS Ganti Umno’ ternyata hanya retorik untuk menyedapkan ceramah politik sahaja, manakala realitinya di Kedah yang diberikan peluang satu penggal untuk PAS membuktikan kebenaran dakwaan-dakwaan politiknya, gagal dibuktikan. Maka orang bertanya – di manakah kekuatan PAS sebenarnya?

Manakala di Pulau Pinang pula orang mulai memuji beberapa tindakan Umno di sana, hatta yang dibuat oleh Nazri Aziz pun – katanya dia hendak mengangkat isu hak Melayu di Tanjong Tokong yang mesti dipertahankan itu, yang selama ini enggan diangkat oleh PKR. Saya tak tahu fakta sebenarnya. Tetapi itulah cakap-cakap yang saya dengar.

Banyaklah lagi. Dan akhirnya beberapa malam lalu saya hadir di suatu perjumpaan beberapa orang ahli PKR dan budayawan tak berparti, juga bekas tokoh korporat, berbincang hal yang sangat menarik – tentang manusia yang apabila diberi kuasa mereka menjadi sedap dengan kuasa mereka dan mulai melupakan rakyat dan mulai menjadi “lebih Umno daripada Umno” yang sebelum ini mereka kritik dan marah habis-habisan itu.

Semacam sudah timbul satu kesedaran untuk pemikiran semula politik orang Melayu.

Dalam pertemuan itu ada suara budayawan yang cuba memberi amaran awal-awal lagi supaya perbincangan tidak akan menjadi seperti perbincangan tertutup orang Melayu. Maksudnya dia cuba membawa semangat PR yang tidak mahu bercakap soal kepentingan sesuatu kaum sahaja.

Namun apabila satu kes demi satu kes yang mengabaikan nasib orang Melayu, malah menekan rakyat marhaen Melayu diceritakan, (termasuk kes di Jalan Enggang), budayawan itupun terpaksa akur – turut berbincang hal rakyat Melayu yang masih ditindas di negeri di bawah kuasa PR sendiri.

Malam itu banyaklah cerita kelemahan dan kesalahan dalam kepemimpinan dan pentadbiran PR yang diungkapkan. Cerita kronisme dan nepotisme dalam kepemimpinan PKR dan PAS pun tidak lagi menjadi cerita rahsia. Hairannya walaupun ia sudah begitu menonjol tetapi tidak pernah ada teguran. Ia dibiarkan begitu sahaja seolah-olah bukan satu amalan yang salah; sedangkan pada awal-awal era Reformasi dulu kita begitu kuat mengkritik kronisme dan nepotisme dalam Umno.

“Sekarang sudah tak ada beza sebenarnya. PKR dengan Umno sama saja. Mungkin Umno lebih baik dalam hal-hal tertentu,” tegas seseorang dalam perbincangan itu

Demikianlah, maka saya fikir kita perlu bertindak segera sebelum terlambat. Keadaan sudahpun sampai ke takah merbahaya. Dan keadaan tidak bertambah baik. Ada yang baru saja menjadi Exco, sudah tidak ada masa lagi untuk bertemu rakyat. ‘Sibuk’ sudah menguasai perjuangannya! Memang ‘kuasa’ itu sedap dan nikmat, dan ia mudah memisahkan pemimpin daripada rakyat, “kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan saling menasihati…”

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)

 Nota: 

1) Ada sesiapa yang mahu menyanggah pandangan di atas ini?

2) Ini satu pandangan yang mungkin TIDAK menggembirakan parti-parti komponen Pakatan Rakyat.  Walaupun begitu ia sewajarnya dipandang serius oleh PAS, DAP dan juga PKR.  Sehubungan itu alangkah bagusnya jika isu ini dihujah balas, dikritik untuk renungan bersama.   Wallahuaklam.


Jika saudara bermasalah dengan komen di dalam blog, sila emel kritikan saudara kepada:

barajiwa@gmail.com   
 
 

No comments: