Tuesday, September 3, 2013

Perancang sebagai pembuat mumia



Apakah benar: Para perancang mumiakan dan pamerkan bangkai-bangkai  ciptaan mereka?


Apabila para doktor tersilap, mereka kebumikan kesilapan mereka, dan apabila para jurutera membuat kesilapan,  mereka dipenjarakan (when doctors make mistakes, they bury their mistakes, when engineers make mistakes,  they go to jail). Itulah kata-kata yang sering diucapkan di kalangan para jurutera ― biasanya oleh rakan-rakan jurutera yang lebih senior kepada juniornya.  Biasanya ayat-ayat gerun ini keluar semasa membuat kerja-kerja rekabentuk sesebuah struktur.  Rakan jurutera ini sering peringatkan: Alam semula jadi seperti lapisan tanah, komponen penting rekabentuk sesebuah struktur itu tidak pernah berdusta.  Sementara cerun sesebuah bukit pula tidak mempan dirasuah supaya tidak runtuh apabila daya dukungnya tidak dihormati.   Kita telah melihat tragedi Highland Towers beberapa tahun yang lalu.


Semasa ketiak saudara basah kuyup kerana terlalulah lama berputar-putar mengelilingi seluruh pusat/kompleks membeli belah ― mencari hanya sebuah tempat parkir ― pernahkah terdetik pertanyaan di dalam benak saudara: bagaimanakah orang-orang yang bertanggunghisab untuk merancang tataletak kompleks ini dan juga mereka yang membenarkan@membiarkan sesebuah kompeks seperti itu dibina, terlepas dari sebarang soal siasat rakyat atau setidak-tidaknya kritikan keras masyarakat pengguna? 



Apakah benar seorang perancang (planner) yang membenarkan tataletak sesebuah prasarana yang jelek sehingga memudharatkan kualiti hidup para pengguna tidak pernah dipersoalkan oleh sesiapa pun tentang khidmat profesionalnya yang selekeh@sloppy?  Di negara kita,  apakah sudah ada mana-mana perancang bandar yang gagal mengambilkira segala tekanan, kesulitan, kepayahan dan juga segala risiko yang dilalui oleh jutaan manusia yang menggunakan hasil kerja profesional mereka yang tidak profesional itu, dipersoalkan kualiti dan juga taraf profesionalismenya? 


Apakah semua ini terjadi kerana kita masih nyenyak didendangkan lagu top The Beatles, “Let it be” 60an itu?  Kenapakah kita masih selesa membiarkan segala hasil kerja profesional yang tidak profesional@selekeh, yang hasilnya saban hari mendera kehidupan kita ini berterusan puluhan tahun atau mungkin sehingga ke hari kiamat?  Ya, kenapakah kita membiarkannya berterusan?  Bukankah sudah sampai waktunya, kita semua bangun untuk melaung “We cannot let it be!”  Bukankah para perancang bandar dan desa, sama seperti para profesional yang lain mestilah bertanggungjawab terhadap kerja-kerja profesional mereka?  Jika ‘ya’ kenapakah kita didera oleh perancangan yang jelek?




No comments: