Monday, September 30, 2013

Perihal 'Label'



Nyamuk!? Jangan sekali-kali kau pandang ringan


Semasa mengharungi kerancakan kempen pilihan raya kecil Lunas yang menyaksikan kemenangan Saifuddin Nasution, ada seorang menteri besar menggambarkan Anwar Ibrahim itu nyamuk.  Waktu itu aku masih lagi seorang pegawai kerajaan maka sesekali aku pun berpeluang mendengar bagaimana sesetengah orang-orang Umno menyamukkan Anwar Ibrahim yang satu ketika dulu mereka semua kerumuni seperti ulat menghurungi ketul ‘taik’.  Menteri yang turut berkempen waktu itu termasuklah Effendi Nawawi, menteri pertanian.  Label nyamuk ini bukan untuk Anwar Ibrahim saja.  Ada penulis yang melabel akhbar-akhbar kecil yang mencendawan pabila hujan itu sebagai akhbar nyamuk.  Ya, terdapat artis-artis yang baru belajar mencuba nasib di dunia glamour yang memilih akhbar nyamuk untuk mensensasikan diri.  Sehingga ini saya belum dengar label atau baca blogger nyamuk.  Jadi jika ada yang dilabel sebagai blogger nyamuk,  fahamlah kita akan maksudnya. 

Mantan Menteri Besar yang telah menyamukkan musuh politik Umno itu di depan ketua-ketua Jabatan telah lama bersara di Kubang Rotan.  Sekarang ini dia tentu melihat sendiri bagaimana nyamuknya itu masih juga belum punah-punah sepertimana yang digambarkannya seekor nyamuk.  Ya, ternyata nyawa politik nyamuknya ditakdirkan masih panjang dan masih liat walaupun Utusan telah lakukan segala yang mungkin untuk menjahanamkannya.  Nyamuk politiknya masih juga tegak di pesada politik tanah air walaupun ada komponen partinya yang tidak mahu dia menjadi perdana menteri sekiranya Umno/BN dikalah dalam PRU13 yang lalu.  Ada yang rela mengimport seorang gurkha untuk dijadikan calon CEO Malaysia yang baru.


2.0

...

“Salam
tanpa visa
pasport
golf
warna
kemanusiaan rakyat
seluruh benua”

Usman Awang
1970”


Nyamuk mengingatkan aku kepada “Salam Benua”nya Usman Awang.  Yang mengingatkan aku tentang betapa kecilnya makna pasport dan visa ialah nyamuk.  Bila difikir-fikir makhluk seperti apa lagi yang mampu menerobosi segala sempadan tanpa paspot dan visa?  Ia mungkin bertelur dan jentik-jentiknya menetas di seberang mukim tapi ia boleh membunuh segala penghuni satu taman.  Bukankah Namrud yang maha zalim itu terkorban dan dikorbankan angkara seekor nyamuk?  

Makanya tersilap besarlah menyamukkan seorang manusia.  Bukankah begitu?




No comments: