Sunday, September 29, 2013

Sebuah belantara agama dan bangsa?



Dongeng anjing yang ligat berfikir


Seekor anjing dibawa tuannya bersafari di benua Afrika.  Di rimba segala binatang buas itu,  ia terlalu asyik dengan persekitaran sehinggakan terpisah dengan tuannya. Tatkala merayau-rayau mencari-cari tuannya ia diteropong oleh seekor harimau bintang (Pa Tompok), “Makan tengah hariku sudahpun di depan mata”,  fikirnya sambil memecut dan menerkam ke arah sang anjing.


Pasrah, sang anjing yang terkejut besar itu cepat-cepat berpura-pura sedang menggesel-gesel sisa-sisa rangka tulang entah-binatang-apa-yang-tidak-diketahuinya.  Sebelum sempat menerkam dan membaham, Pak Tompok terdengar sang anjing berkata-kata lantang sekali, “Memang sedap betul harimau tompok!! Ada lagikah harimau ini di sini?”  Terkejut dan terkedu yang amat sangat, Pak Tompok terus berundur.


Seekor monyet yang sedang beristirihat di atas sebatang pokok Baobab melihat seluruh episod anjing dan harimau tompok, lalu menceritakan seluruh peristiwa pembohongan kepada Pak Tompok.  Bukan kepalang marahnya harimau tompok.  “Ayuh! Kau naik ke atas belakangku, kita kerjakan anjing bandar yang seekor ini!!” ujar Pak Tompok dengan kemarahan membuak-buak.


Nah, sebaik saja melihat Pak Tompok dengan seekor kera di atas belakangnya menuju ke arahnya, sekali ia ligat berfikir apakah strategiku kali ini?  Maka tatkala Pak Tompok yang masih menyala-nyala muka ketatnya menghampirinya,  sang anjing pun melaung-laung, seolah-olah dalam keadaan yang marah yang amat sangat, “Ke mana perginya kera penipu ini?  Lebih sejam kusuruh ia bawakan aku seekor harimau bintang.  Masih juga belum nampak batang hidungnya!!”


(Cerita di atas dipetik dari buku, How to Think Fast, Valerie Pierce. Advantage Quest Sdn. Bhd, 2013.)


2.0


Cerita di atas menggambarkan betapa hebat-ligatnya sang anjing berfikir dan kata yang empunya cerita, dengan kelincahannya berfikir itulah ia telah berjaya melepaskan dirinya dalam waktu yang relatif sangat singkat bukan satu kali tapi sebanyak dua kali. 

Sebagai seorang ‘peminat’  dongeng, kita mungkin bertanya, “Kenapakah sang harimau bintang yang relatif jauh lebih perkasa, boleh ditipu untuk kedua kalinya?”


Soalan lain yang mungkin, “Kenapakah sang kera turut masuk campur seolah-olah ia adalah seekor balaci yang setia?  Apakah habuan yang telah dijanjikan kepada seekor kera sekiranya sang anjing itu berjaya dikorbankan?  Apakah janjinya cukup lumayan untuk seekor kera?”


Katakanlah anjing, harimau tompok dan kera itu bergabung dalam satu pakatan yang katanya masih longgar, apa pula bentuk dongeng yang boleh kita dongengkan?  Ya, dongeng untuk menguasai sebuah belantara belantara politik Malaysia sebuah belantara agama dan bangsa?




No comments: