Saturday, October 12, 2013

Dari kacamata seorang anak muda: Dunia poyo ilmuan Malaysia



Sumber: fbnya Sdr Alinor


Sekitar  forum Falsafah: Memperkasakan Pendidikan atau Menyesatkan Pendidikan
(Respons Benz Ali)


Agak hambar dan tawar sebenarnya bila aku menonton video dialog (debate? Di Malaysia mereka sangat penakut berdebate, tetapi pandai pula cikgu – cikgu sekolah buat pertandingan debate setiap tahun, dan lawyer – lawyer yang bekerja berdebate memenangkan orang kaya) anjuran TFTN berjudul Falsafah: Memperkasakan Pendidikan atau Menyesatkan Pendidikan. Panel yang terlibat, saudara Zulfikri Zamir sebagai moderator, dan yang lain – lain, Encik Fauzi, Hisyamudin Rais aktivis, dan seniman Dinsman daripada PAKSI (Seniman PAKSI Rakyat).

Aku tidak begitu kenal sangat dengan Encik Fauzi, tetapi Dr. Alinor mengatakan bahawa Encik Fauzi mentelaah Heidegger untuk tesis PhDnya dan sesiapa yang nak belajar Heidegger dan Eksistensialisme boleh ikut dia. Jadi aku tidak boleh mengomentar lebih – lebih tentang Encik Fauzi, melainkan pesanan beliau di akhir forum itu menarik hatiku. Mafhum kata beliau,

 ‘kalau boleh selepas ini, sehabis sahaja dari forum ini, perubahan yang paling mudah kita boleh buat ialah dengan menulis lebih baik tanpa menggunakan shortform sangat. Penulisan – penulisan di laman maya yang menggunakan shortform sangat merosakkan bahasa dan sangat menyakitkan hati sebenarnya’.

 Pesanan ini sangat bagus dan bermakna sekali aku kira. Ternyata orang Melayu ini pemalas betul. Selain penakut berdebate (tapi suka malukan orang pula) bangsa kita ini sangat malas sekali membaca (sebab itu buku – buku di Perpustakaan Kuala Lumpur, mengarut betul, sedikit sekali yang bermutu) dan malas menulis. Dan bila menulis pun, menulis yang shortform – shortform. Dahlah guna manglish, bahasa rojak, lepas itu menulis dalam shortform – shortform yang memang akan menyakitkan hati Pak Samad Said.


Stand pasal bahasa ini menarik untuk dikaitkan dengan dua lagi sosok iaitu Hisyamudin Rais sang aktivis dan Dinsman, Presiden PAKSI. Hisyamudin Rais sangat tegas di dalam bukunya yang aku galakkan korang baca, Hegemoni Media Daulah Pecah (gambar cover perempuan cantik dari Monggol) mengatakan, bahawa bahasa strategic perubahan di Malaysia, ialah bahasa Melayu. Ini tegas, ini jelas. Tidak ada bahasa lain lagi yang boleh membawa perubahan melainkan cumalah bahasa ini sahaja. Ini bukan slogan bahasa kebangsaan, kerana bahasa kebangsaan sangat nasionalistik, sangat memihak pada regim. Tetapi sebagai bahasa perubahan, bahasa Melayu adalah bahasa terpenting di Malaysia. (sebab itu aku nampak penerbitan SIRD macam menulis untuk membaca sesama mereka sahaja. Mereka menulis, mereka menerbit, untuk mereka membaca sesama mereka di Petaling Jaya.)


Sama juga dengan Dinsman yang mendirikan PAKSI, persatuan seniman – seniman veteran ini sangat lantang sekali mempertahankan bahasa Melayu, dilengkapi orang – orang Sains – Matematik dari ASASI iaitu Dr. Shaharir Mad Zaind dan Dr. Alinor, mereka lawan habis – habisan PPSMI, dan kadang – kadang Sifu PTS pun join sekaki. Yelah, buku – buku PTS kan banyak bahasa Melayu.

Tetapi semua ini tegas, bahawa bahasa Melayu sepatutnya tidak dibuang ke longkang, meskipun stand pembangkang atau apa yang dibuat pembangkang, seperti tidak jelas dalam bahasa Melayu, seperti tulisan Jawi, atau namakan sahaja ianya tulisan pribumi. Orang – orang politik seperti PAS, (yang akronim PAS itu dieja menggunakan huruf hijaiyah Arab – Melayu, Jawi) tidak pula merasa rugi atau berahi mempertahankan tulisan asal kitab – kitab kuning mereka yang sudah pupus. Nampak sangat pembangkang dari gerakan Islam sentiasa pembangang yang sentiasa membangkang sahaja sampai terlupa tulisan mereka sudah hilang.

Masuklah semula pada apa yang berlaku di forum tempohari. Barulah aku perasan bahawa benar teori yang aku sangka – sangka betapa Malaysia sangat goblok sekali, disebabkan berlainan kubu, maka apa yang diperbincangkan oleh kubu A, tidak akan didalami. Kalau cuba nak didalami pun, hanya sepele dan bukan untuk difahami, mereka tidak grundlich (tajam dan mendalam) akan bab – bab yang diperbincangkan kubu yang berlainan dengan kubu mereka.

Seperti Hisyamudin bila cuba menyentuh tentang kematian fikiran atau pembonsaian fikrah di kalangan umat Islam, dia (mungkin sudah jadi kebiasaan beliau) dengan selamba, dengan penuh yakin, sangat cool menyebutkan ittihad. Sedangkan ijtihad, bukan ittihad. Ittihad adalah kesatuan, unity. Manakala ijtihad (dengan jim, inilah persoalan Jawi yang aku katakan sebentar tadi) adalah proses berfikir yang sungguh – sungguh untuk memecahkan kebuntuan, untuk mencairkan kebekuan, untuk menghasilkan dapatan – dapatan jawaban terhadap sesuatu persoalan.

Memang term (*tiada huruf jim) ini bukanlah sebuah persoalan mendasar, ataupun paling fundamental, kerana yang paling penting adalah esensi yang diperbincangkan. Tetapi masalah ini akan serius jika orang – orang Islamis pun melakukan perangai yang sama terhadap term – term yang digunapakai dalam aliran Kiri / Leftist, seperti jika mereka menyamakan Sosialis dengan Anarkis, atau Anarkis dengan Komunis, atau Stalinisme dengan Marxisme – Leninisne sebagai pelanduk dua serupa dsbnya.  

Aku tiada apa isu dengan Hisyam selain itu kerana aku bersetuju sepenuhnya, dan jika pun ada yang aku tidak bersetuju, aku meraikan sahaja, dan memang betul pun bahawa disebabkan pintu ijtihad yang telah ditutup ketat, menyebabkan dunia Islam, khususnya Sunnah menjadi mati dan tidak berguna. Seorang lagi sosok kiri tegar puluhan tahun dulu iaitu Kassim Ahmad telah bertengkar habis – habisan dengan agamawan – agamawan yang malas betul menulis. Dan selepas tamatnya era Kassim sekalipun, buku – buku agama apa aje yang ada di Malaysia selain buku – buku bergenre tasbih, zikir, yaasin, poligami islami dan cara melawan setan?

Tetapi aku mengesyaki bahawa pembacaan Hisyam sememangnya agak meluas tentang dunia Islam kerana Hisyam menyebutkan seperti Zaid Ibrahim dalam ‘Saya Pun Melayu’ mengatakan bahawa Imam Ghazalilah punca mereputnya dunia falsafah di dalam sejarah Islam. Dengan Tahafut Falasifah Ghazalilah, yang menyebabkan dunia Islam sudah kering dan kontang dan ilmu saingannya iaitu Ibnu Rusd membentuk Averroisme di Eropah, melancarkan peperangan enlightment terhadap Dark Ages yang telah begitu lama mendekam Eropah yang barbar dan poyo dengan kegerejaannya.

Dr. Mat Rofa sendiri mengakui, bahawa likulli ummatin rasul, bahawa di belakang setiap umat ada Rasul yang berdiri di belakangnya. Di dalam sebuah lepak – lepak ilmiah, anjuran sebuah sekolah pemikiran jalanan, Dr. Mat Rofa mengatakan bahkan Amerika juga mempunyai Rasulnya. Aku pun terkejut. Dia ni penganjur ajaran sesat mana pulak dah ni. Rupa – rupanya dia cuba mengatakan bahawa Amerika menerima pencerahan daripada Eropah. Eropah menerima pencerahan daripada Andalus (Sepanyol / Spain) dan Spain / Sepanyol (Andalus) mendapat pencerahan dari?

Dari Baghdad, Baghdad menerima pencerahan daripada Muhammad saw. Dalam ertikata lain, bahawa mahu atau tidak mahu, Ibn Rusyd kena diangkat oleh kaum muslimin. Bukan boleh dibiarkan lagi di bawah kultus suci pada Imam Ghazali.

Jadi sosok seperti Dinsman memanglah mengecewakan aku kerana aku berharapan tinggi terhadapnya. Aku menyangkakan hujah – hujah yang lebih persuasive dalam menyarankan ideanya. Aku mengingatkan dia akan memunculkan idea – idea tauhidnya, seperti Kuntowijoyo sebagai mithal, dengan muslim tanpa masjid, radikalisasi petani dsbnya.

Kuntowijoyo, yang aku kagumi itu mengesankan aku dengan tajuk seperti itu, dia seorang dari sedikit sasterawan sekaligus ahli akademik Indonesia yang mampu menulis karya sastera dan karya ilmiah dengan sama kuat. Posisi dan kedudukannya sebagai sasterawan sebanding dengan posisinya sebagai ahli akademik. Inilah yang membezakan antara Kuntowijoya dengan beberapa sasterawan lain di Indonesia (bahkan di Malaysia juga!) yang sama – sama bergiat dalam dunia akademik.

Jadi secara peribadi aku sangat salute pada sosok – sosok seniman seperti Kassim Ahmad dan Faisal Tehrani. (Malaysia sangat miskin penulis sekali, u know) mereka mengaktifkan dalam karya – karya mereka wacana – wacana yang menggerakkan massa untuk berfikir dan beraksi.

Dan lagi – lagi al – Ghazali juga yang dipetik jika mahukan perubahan, sedangkan bagaimana sosok beruzlah itu mahu dijadikan manual perlawanan dalam abad moden yang penuh cabaran ini? Kenapa tidak mahu merujuk Ghandi? Ataupun Khomeini yang mengarang lebih 40 buah kitab, dan rasanya zuhudnya tak kurang daripada al – Ghazali jika kedua – duanya sama – sama masih hidup sampai ke hari ini? Kenapa pilih contoh kezuhudan yang berdiam diri di puncak fana’? ataupun kenapa tidak berani untuk memetik Hallaj yang sufinya sufi pemberontakan, sufi perlawanan?

Hassan Hanafi mengatakan,

‘berkaitan dengan ilmu Tasawwuf tradisi kekuasaan menetapkan ‘Ihya’ Ulumuddin’ sebagai ideology bagi kaum awam yang mendorong mereka taat dan setia kepada pemegang kekuasaan, memberi mereka nilai – nilai zuhud, wara’ sabar, taqwa, redha dan tunduk sebagaimana yang ada dalam maqam – maqam, dan menempatkan mereka dalam kesedaran dan kemabukan..,’

Perubahan yang dianjurkan al – Ghazali, kata Hassan Hanafi terjadi di dalam, bukan di luar, pada individu bukan dalam masyarakat, melalui hati dan perasaan bukan melalui akal dan perhitungan, ke arah atas bukan ke depan, di luar dunia, bukan di dalam dunia. Al – Ghazali mengundang – undangkan akidah al – Asya’irah sebagai ideology mutlak bagi penguasa melakukan apa yang ia kehendaki, dan mengundang – undangkan tasawwuf sebagai ideology kesetiaan hingga kaum awam menjadi tunduk dan rela sehingga penguasa dapat mengamankan rakyat, dan system tetap berjalan. Inilah yang hingga saat ini yang kita mengalami.

Tesis Hasan Hanafi antara lain mengatakan, tradisi ada dua. Satu kita panggil sebagai tradisi kekuasaan, dan yang berseberangan dengannya dipanggil tradisi perlawanan ataupun tradisi oposisi.  Dalam bab tasawwuf begini, tradisi oposisi membentak sekeras – kerasnya penggunaan tasawwuf secara keliru yang dipergunakan untuk bersikap setia kepada penguasa atau mengeksploitasi kaum awam. Kerana itu tauhid kemudian berubah menjadi hulul, seorang sufi melepaskan lidahnya memperingatkan penguasa dan mengajak kaum awam untuk memberontak. Al – Hallaj memimpin revolusi Qaramitah, kemudian ia dihukum salib dengan dakwaan melanggar syara’ dan secara jelas kafir. Suhrawardi dibunuh kerana melecehkan wacana rasmi. Ia mengajak masyarakat melecehkan pemikiran kaum fuqaha’ dan menyerukan kepada keharusan tenggelam dalam upaya menghiasi diri dengan sifat – sifat ketuhanan dan dalam pencarian. Ibnu Arabi dikafirkan sebab ia menyatukan antara yang ‘haq’ dan makhluk dalam menghadapi tradisi kekuasaan sehingga efektif Tuhan di alam nampak dan alam dekat dengan Allah. 

Menariknya kata Eko Prasetyo, terutama di Asia Tengah dan Afrika Utara, perlawanan terhadap penguasa asing sering dilakukan oleh berbagai tarikat sufi, seperti dalam menghadapi serangan kolonialis Rusia, tampil tarekat Naqsyabandiyah, khususnya Imam Syamil memimpin perlawanan tiga dekad terhadap Rusia meskipun akhirnya kalah pada tahun 1859. Antara tahun 1877 – 1879, tarekat Naqsyabandiyah dan Qadariyah bekerjasama dalam mengusiri Rusia, juga hal yang sama dilakukan oleh Sanusiyyah di Libya menghadapi Negara asing (Perancis) dan tasawwuf di kalangan al – Mahdiyyah muncul di Sudan menghadapi Inggeris.

Kata Iqbal, ‘pengalaman sufi menjadi ‘trade mark’ bagi subjektiviti individual dalam menghadapi hegemoni Barat.’


Aku mengira bahawa Dinsman hendak bercakap sesuatu yang terulung (meminjam frasa Hisyam, yang mengatakan dalam forum itu, Ali Syari’ati pemikir terulung) tentang tauhid. Nampaknya tidak berlaku. Sedangkan huraian masih boleh dipanjangkan tentang hal itu. Mithalnya Syari’ati menulis dalam hal ini,
‘pandangan hidup saya ialah tauhid. Tauhid dalam erti keesaan Tuhan telah diterima oleh semua penganut agama monotheis. Tetapi tauhid sebagai pandangan hidup yang saya maksudkan dalam teori saya ialah bahawa kita memandang seluruh alam semesta sebagai suatu kesatuan…,’


Dalam terjemahan Islamsyinasi ini, Syari’ati menjelaskan lebih lebar, ‘jadi kita memandang seluruh existensi sebagai suatu bentuk tunggal, suatu organism tunggal, yang hidup dan memiliki kesedaran, cipta, rasa..,’

Kata Syari’ati lagi,

‘banyak orang yang percaya akan tauhid sebagai suatu teori religious – filosofis, yang hanya bererti ‘Tuhan adalah satu, tidak lebih dari satu’. Tetapi bagi Syari’ati, ‘tauhid adalah pandangan hidup, dan saya yakin bahawa inilah yang dimaksudkan dengan Islam. Begitu pula pendapat saya tentang syirk. Syirk adalah suatu pandangan – hidup yang melihat alam semesta sebagai suatu kumpulan yang kacau, penuh dengan keanekaan, kontradiksi..,’

Tulisan poyo yang bengang dengan kereknya manusia – manusia ini dihasilkan dengan merujuk:


Hassan Hanafi: Oposisi Pasca Tradisi
Ali Syari’ati: Tentang Sosiologi Islam
Eko Prasetyo: Islam Kiri
Wan Anwar: Kuntowijoyo, Karya dan Dunianya




No comments: