Saturday, October 12, 2013

Lemparkan Tuhanmu dan Padang Mahsyar ke dalam gelanggang



Pedagang politik dan masa depan kita


Entah beberapa kali sudah TGNA menjelaskan betapa cepat, kreatif dan inovatifnya para pedagang merebut, mencipta dan menmanfaatkan peluang untuk melariskan dagangannya.  Kata Tuan Guru yang satu ini, biasanya kelompok-kelompok lain tertinggal jika dibandingkan dengan para pedagang. Ya, kita boleh melihat bagaimana misalnya, kaum pedagang menmanfaatkan ‘kegilaan semasa’ masyarakat sebagai salah satu kaedah untuk merebut dan melariskan barang dagangan masing-masing.  Maka ada ketika-ketikanya, kita pun temui ikan Uji Rashid di pasar-pasar atau kain bermotif ‘Ombak Rindu’ dijaja dan dihebohkan oleh para pedagang.  


Dalam dunia politik tanah air kita,  ada satu komoditi yang sentiasa laris diperdagangkan perkauman.  Maka siapa saja yang berazam untuk cepat-cepat memanjat dan merengkuh takhta  mestilah dia yang paling lantang, tangkas dan paling lincah bersilat buah perkauman ini.  Jika buah silatnya masih belum memukul maut para penentangnya,  dia tak perlu malu-malu apatah segan silu untuk mencampakkan Tuhannya dan Padang Mahsyar ke dalam gelanggang.  Dan seperti yang dibuktikan sejarah, senjata ini ternyata berkesan@ampuh sekali.  Ya,  yang paling lantang memperjuangkan perihal betapa terancamnya masa depan bangsanya, pasti akan berjaya.


Soalan kita ialah sampai bilakah para pedagang politik kelas ini wujud dan menentukan arah politik negara kita?  Sampai bilakah rakyat boleh diperdaya dan terpedaya dengan barang dagangan palsu seperti ini?  Mungkinkah anak-anak muda zaman ini yang akan mengubah keadaan ini?  Demi masa depan zuriat dan keturunan kita semua, marilah kita doakan agar dipermudahkan perjuangan anak-anak muda zaman ini. Amin.




No comments: