Friday, October 11, 2013

Wacana Anjuran Teach for the Needs (TFTN): “Falsafah: Memperkasa atau Menyesat Pendidikan”



Dinsman (Artikel 402, 11/10)
Melihat Falsafah di dalam Tauhid


Wacana kolum ini keluaran yang lalu mengenai “mengajar falsafah di sekolah” itu sebenarnya ialah pemikiran-pemikiran saya ketika memikirkan tajuk forum anjuran kumpulan Teach for the Needs (TFTN), iaitu “Falsafah: Memperkasa atau Menyesat Pendidikan”, yang diadakan di Dewan Cina KL Selangor, 4 Oktober, 8.30 malam. Saya bersama dengan Hishamuddin Rais dan Fauzi Naim (UNIKL) menjadi panelnya. Orang kuat TFTN, Zul Fikri Zamir menjadi moderator.

Hishamudin Rais memulakan wacana, membicarakan sejarah kelahiran falsafah di Athens dengan Socrates sebagai tokoh utamanya, dan seterusnya menonjolkan kepentingan falsafah dari tradisi Barat itu dalam membentuk dan mencorakkan kehidupan umat manusia di dunia.

Mendengar hujah-hujah Hishamuddin terutama tentang pentingnya ‘berfikir’ bagi kehidupan manusia, dan hal itu dihubungkan dengan falsafah dalam tradisi Barat yang diasaskan oleh Socrates, otak saya secara spontan melihat perbandingannya dengan tradisi Islam, dan saya langsung teringat pada pelajaran Tauhid yang saya pelajari sewaktu di Maahad Mahmud Alor Setar dan di Kolej Islam Petaling Jaya.

Pemikiran falsafah Barat bertolak daripada soalan-soalan ‘siapakah kita’, ‘daripada manakah asalnya kita’ dan ‘ke manakah tujuan hidup kita’. Itulah juga soalan-soalan utama (atau fundamental mengikut istilah Hishamuddin) yang dijelaskan jawapannya dalam ilmu Tauhid dalam tradisi keilmuan Islam. Malah yang penting dalam ilmu Tauhid bukanlah soalannya, tetapi penjelasan atau jawapannya itulah yang penting.

Hishamuddin menekankan kepada anak-anak muda sekitar 200 orang yang hadir mengikuti forum tersebut bahawa falsafah itu mengajar kita berfikir, dan berfikir itu adalah penting untuk kesihatan otak kita. Ia menjadi senaman otak.

Maka saya tegaskan bahawa Tauhid dalam tradisi keilmuan Islam juga tidak kurangnya dalam merangsang otak berfikir. Saya teringat kepada hari-hari di Maahad Mahmud dan Kolej Islam bagaimana keadaan pembelajaran Tauhid dan Usuluddin menjadi agak sedikit ‘huru-hara’ disebabkan oleh soalan-soalan nakal pelajar yang dibangkitkan daripada asas pemikiran Tauhid itu sendiri.

Dalam imbasan kembali secara spontan itu saya tiba-tiba melihat pengajian Tauhid (dan Usuluddin) itu sesuatu yang begitu dinamik, progresif, luas horizonnya dan tidak statik seperti yang ditanggapi oleh kebanyakan orang.

Saya sebutkan bahawa persoalan kebebasan dalam hidup manusia – sejauh mana manusia itu bebas membuat pilihan dan menentukan tindakan sendiri – telah menjadi satu perbahasan penting dalam sejarah tamadun Islam. Barangkali tidak ada perbahasan mengenainya sebesar dan sehebat yang terdapat dalam tradisi keilmuan Islam.

Golongan Muktazilah, Qadariyah dan Jabariyah terkenal dengan perbahasan ini. Dan betapa Muktazilah itu begitu menonjolkan peranan dan kemampuan otak manusia dalam berfikir dan menentukan kehidupan sendiri. Dan perbahasan ini dihubungkan dengan kewajaran pengadilan di Hari Akhirat, dengan pembalasan syurga atau nerakanya.

Manakala untuk senaman otak pula, saya menegaskan bahawa Imam Ghazali mencadangkan kita berzikir. Itulah senaman otak bagi pemikiran Tauhid. Dan kalau ingin mendalam lagi bolehlah mempelajari Tasawuf, atau mengikuti jalur pemikiran Jalaluddin Rumi melalui puisi-puisi sufinya.  

Sengaja saya tidak sebut Usuluddin dalam forum itu. Saya hanya sebut Tauhid sahaja, bagi menegaskannya sebagai satu istilah yang seganding dengan Falsafah. Maksud saya, sebagaimana pihak mereka itu menonjolkan kepentingan ilmu Falsafah dalam pelbagai aktiviti hidup manusia, kita juga boleh menonjolkan kepentingan ilmu Tauhid dalam perspektif yang kira-kira sama.

Sebagaimana Hishamuddin menonjolkan peranan Socrates dalam mengasaskan pemikiran manusia, saya pula menonjolkan peranan Muhammad (Rasulullah saw), yang oleh Michael Hart dalam menyenaraikan orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia, telah meletakkan Muhammad sebagai orang pertama yang paling berpengaruh itu (The 100 A Ranking of the Most Influential Persons in History, 1978).

Saya tegaskan bahawa Muhammad tidak pernah mengajar Falsafah. Tetapi Muhammad mengajar kita mengenali siapakah kita, dari manakah asalnya kita dan ke manakah tujuan kita akhirnya. 

Tauhid sebagai satu bidang ilmu pun memang tidak ada di zaman Nabi Muhammad (saw) dan para Sahabatnya. Tetapi intipati ilmu Tauhid itu, memang itulah yang diajar oleh Nabi Muhammad dan memang itulah misi kerasulannya.

Saya teringat sewaktu ‘huru-hara’ pemikiran di sekitar pembelajaran Tauhid dan Usuluddin di Kolej Islam dulu, saya pernah mencadangkan supaya ilmu tauhid itu dimansuhkan daripada kurikulum. Sebab apa? Sebab ia memang boleh mengelirukan pemikiran anak-anak remaja sekiranya pihak guru gagal membawa penjelasan yang sesuai dengan pemikiran mereka, atau sebahagian daripada mereka (seperti pernah berlaku di zaman saya itu).

Demikianlah saya berterima kasih kepada Hishamuddin Rais. Walaupun hujah-hujahnya dalam forum itu banyak mendapat sanggahan daripada saya, namun tak dapat dinafikan hujah-hujahnya itulah yang telah membuka fikiran saya untuk melihat Tauhid dalam perspektifnya yang baru, iaitu perspektif falsafah.

Michael Hart (1978) sudah menyenaraikan Muhammad di tempat pertama sebagai orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia. Siapakah pula akan memasukkan Muhammad sebagai tokoh yang membawa pemikiran baru dalam sejarah pemikiran (falsafah) dunia?

Atau sebenarnya tidak sesuai dan tidak kena untuk meletakkan Muhammad sebagai seorang pemikir atau pembawa pemikiran baru dalam sejarah dunia? Beliau seorang Nabi dan Rasul, bukannya seorang pemikir atau ahli falsafah. (Bukankah Imam Ghazali telah menolak falsafah sebagai ilmu yang boleh membawa kepada Kebenaran?).

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)



No comments: