Thursday, October 24, 2013

Nasib pemandu teksi





Cadangan mesyuarat bersama teman-temanku para pemandu teksi



“Mai kita jumpa dengan kawan-kawan yang lain”, begitulah minta Tajudin dengan loghat Taipingnya dua hari lalu semasa kami bertembung di dalam sebuah bank.

“Ramai kawan-kawan kita dah berhenti bawa teksi.”  Tajudin sambung ceritanya setelah siap memesan susu lembu dan roti canai Najib di Medan Selera Setapak Jaya.    

“Kenapa?”

“Tak tahan dengan bayaran sewa harian yang tinggi dan ia menjadi masalah besar bila teksi rosak sampai kena dua atau tiga ribu.  Duit kutipan harian terpaksa digunakan untuk bayar kos perbaik teksi.”  Aku tahu, aku faham kerana itu jugalah yang kualami.

“Ya, kita jumpa semua pihak” kataku kepada Tajudin.

Aku fikirkan itu mantan Presiden MTUC yang sekarang senator, teman sang unionist dan teman-teman lain yang sering bercakap tentang rakyat marhaen.

Semalam Dinsman menceritakan bahawa ada teman sasterawan yang sudah hampir siap novel mutahkirnya tentang pelbagai penghalaman kehidupan pemandu teksi.

Kali ini Paksi mungkin akan membaca sajak di tepi ‘Sungai’ (sebenarnya Longkang Besar) Gombak bersebelahan rumahnya Cikgu Ishak di Kampong Banda Dalam sambil berbincang tentang para pemandu teksi di Kota Raya Kuala Lumpur dan apakah tindakan yang boleh dilaksanakan.

“Ha..ha..macam-macam yang Paksi nak buat!” katanya lagi sambil tersenyum. 




No comments: