Thursday, October 24, 2013

Radzi Hashim dalam kenangan






Dinsman (Hrkh 404, 21/10)
Radzi Hashim dalam kenangan


Empat lima hari sebelum itu dia menelefon saya, bertanyakan bila tarikh yang lapang untuk diajak makan-makan bersama kawan-kawan yang menjayakan Malam Gerakan Intelektual Rakyat, yang kami adakan di Sungai Merab Luar, Sepang, pada 3 Mei, dua hari menjelang Hari Mengundi PRU13 itu.

“Eh, dah sihatkah?” Tanya saya, mengetahui dia perlu menjalani rawatan dialysis buah pinggang tiga hari setiap minggu; dan sewaktu Malam Gerakan Intelektual Rakyat dulu pun dia tak dapat hadir kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

Namun sebelum itu dalam keadaan agak uzur itu dia menggagahkan dirinya pergi juga ke Sepang bersama saya, menghubungi beberapa orang kawan-kawannya yang bertugas di sana, pergi melihat tapak untuk ceramah Malam Gerakan Intelektual Rakyat itu, dan mengaturkan persiapan-persiapan yang diperlukan.

Sebagai Yang Di-Pertua PAS kawasan Bukit Bintang, dia (Radzi Hashim) ditugaskan mengatur kerja-kerja kempen PRU13 di kawasan tersebut. Dan alhamdulillah, calon PAS bagi Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, menang dalam PRU13. Itulah, entah bagaimana agaknya dia dan Hanipa tiba-tiba teringat hendak mengajak kawan-kawan yang terlibat itu untuk makan-makan, sebagai menyatakan penghargaan.

Kami yang terlibat itu antaranya Prof Shaharir, Prof Ahmat Adam, Dr Aida Idris, Ir Mohd Asari Daud, Dr Alinor, Kassim Mohamad dan Nasser Mohamad.

Waktu itu kami kebetulan baru menubuhkan Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA), yang dipimpin oleh Prof Shaharir Mohd Zain. Kebetulan juga Seniman Paksi Rakyat (Paksi) memang ada perancangan untuk buat program Jelajah Budaya Selangor (JBS) di daerah Sepang. Itulah maka digabungkan Paksi dan Gatera, dan kebetulan Radzi pula teringatkan kawan-kawan yang pernah didampinginya dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), awal 2009.

Radzi turut terlibat sebagai jawatankuasa GMP. Saya kurang ingat lagi bagaimana dia boleh terlibat. Barangkali kerana waktu itu dia memang selalu terlibat dalam banyak aktiviti seni-budaya yang dibuat oleh Paksi. Antaranya termasuklah pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT).

Dia adalah orang yang paling awal menganjurkan pementasan MKDT setelah teater itu dipentaskan kepada khalayak umum pada 29 April hingga 3 Mei 2009, di Shah Alam. Dia tertarik dengan MKDT setelah pertama kali melihatnya ketika latihan akhir di Stor Teater DBP, sebelum ia dibawa untuk pementasan perdana di Kota Bharu pada 30 Mac.

Radzi bersama kawan-kawannya dalam PAS Bukit Bintang menganjurkan pementasan MKDT secara pertunjukan bersama makan malam, di Markas PAS Taman Melewar, Kuala Lumpur. Saya tak ingat lagi berapakah harga tiket yang dikenakannya.

Waktu itu teater MKDT mulai mendapat permintaan yang banyak dari seluruh negara. Saya terpaksa mewujudkan satu team lain bagi menyahut permintaan yang banyak itu. Team baru ini diarah oleh Nasir Jani dengan Saufi Jikan berlakon sebagai Kaab. (Team yang asal dilakon oleh Sabri Yunus di bawah arahan saya sendiri). MKDT yang dilakonkan oleh Saufi Jikan inilah yang dipentaskan bagi acara yang dianjurkan oleh pihak Radzi Hashim itu.

Penglibatan Radzi dengan teater MKDT tidak berakhir di situ. Kami berbincang untuk membawanya ke Pulau Pinang. Hubungan baiknya dengan Mohd Sabu (waktu itu belum Timbalan Presiden PAS lagi) dimanfaatkannya untuk tujuan ini. Dia meminta Mohd Sabu mengaturkan satu pertemuan kami dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Awal Ogos 2009 rombongan Paksi yang diketuai oleh Radzi Hashim, berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang. Turut sama dalam rombongan itu ialah Azizi Hj Abdullah, Kassim, Hasni, Shukur Harun dan Nordin. Mohd Sabu memang kebetulan bersama dengan Lim Guan Eng dalam pertemuan di Menara Komtar itu. Lim Guan Eng bersetuju untuk menganjurkan dua pementasan MKDT di Pulau Pinang.

Pada 16 September 2009, pementasan MKDT menjadi satu daripada acara rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut Hari Malaysia. Ia dipentaskan di Komtar pada pagi hari bekerja, dimana pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dikehendaki hadir menontonnya. Ketua Menteri bersama para Exconya juga turut menonton.

Demikianlah penglibatan Radzi Hashim dalam aktiviti seni-budaya bersama Paksi, GMP dan Gatera. Dan dia tidak berhenti setakat di situ sahaja. Dia juga turut menganjurkan beberapa acara yang melibatkan A Samad Said. Misalnya dia membawa A Samad Said mengunjungi perkuburan Ibrahim Libya di Memali, Kedah, dan bertemu dengan pihak-pihak yang berkenaan di sana.

Ada satu program yang kami pernah beberapa kali berbincang untuk menganjurkannya tetapi tidak dapat dilaksanakan, barangkali kerana masalah kesihatannya. Program yang dimaksud-kan ialah membawa Tok Guru Nik Aziz (waktu itu Menteri Besar Kelantan) berjalan-jalan waktu petang secara santai di kawasan Jalan Bukit Bintang.

Dan bagaimanakah pula sebenarnya terjadinya hubungan persahabatan saya dengan Radzi pada mulanya? Saya tak ingat lagi tahun berapa. Dia datang mencari saya di pejabat penerbitan Ahmad Lutfi Othman di Medan Idaman. Dia menawarkan saya untuk mengajar penulisan kepada pelajar-pelajar Institut Ibnu Sina di Seri Gombak. Waktu itu dia menjadi Pengurus institut tersebut. Saya pun terima tawarannya itu. Di situlah bermulanya.

“Eh, dah sihatkah?” Tanya saya tadi. “Buat masa ini sihatlah sikit. Bolehlah kalau nak jumpa dan makan-makan tu,” jawab Radzi.

Saya mengatakan di pihak saya bolehlah bila-bila pun asalkan tidak pada 20 Oktober, sebab saya dan kebanyakan kawan-kawan terlibat dengan satu program Dialog Budaya pada tarikh itu. Maka Radzi pun berjanji akan berbincang dengan Hanipa Maidin bagi menetapkan tarikhnya, dan akan menghubungi saya semula.

Rupa-rupanya itulah percakapan terakhir saya dengannya. Pagi 18 Oktober 2013 saya menerima sms mengatakan dia sudah berangkat ke alam baqa, jam 9 malam. Semoga Allah mengampunkan segala dosanya, dan menempatkan dia bersama orang-orang yang soleh. Amin!

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)

No comments: