Dinsman (Hrkh 406, 28/10)
Paksi
tak menyalak kepada bukit
Terima kasih Mohd Sayuti Omar kerana segera memberi
respon kepada majlis Dialog Budaya Bersama Pimpinan PAS yang berlangsung di
Hotel de Palma Shah Alam 20 Oktober. Tulisan berjudul “Paksi menyalak kepada
orang yang jadi ‘bukit’” dalam blognya 22 Oktober dirujuk.
Paling menarik perhatian dalam tulisan Sayuti itu ialah
ungkapannya “menyalak kepada orang yang jadi bukit”, dan “salakan kepada
manusia politik yang sudah menjadi bukit”. Tentulah yang dimaksudkannya ialah
para pimpinan tertinggi PAS yang hadir pada malam Dialog Budaya itu.
Apakah para pimpinan tertinggi PAS itu adalah “manusia
politik yang sudah menjadi bukit”? Saya sebenarnya tidaklah pernah terfikirkan
begitu. Dan saya pun tidak pernah menganggap atau memahami bahawa ucapan saya
pada malam itu adalah umpama ‘salakan’ atau ‘(anjing) menyalak’.
Tetapi kalau mengikut Sayuti, nampaknya begitulah yang
dimaksudkannya – bahawa para pimpinan tertinggi PAS itu sudah menjadi seperti
bukit. Apa maksud orang ‘yang sudah menjadi bukit’ itu?
Rasa-rasanya tak perlulah dijelaskan lagi maksud ungkapan
yang berasal dari sebuah perumpamaan atau peribahasa Melayu yang terkenal itu –
“Seperti anjing menyalak bukit”. Bukit ialah sesuatu yang besar, tinggi dan
teguh, dan tidak mendengar. Kalau anjing menyalak bukit, sia-sialah salakan
anjing itu, kerana bukit takkan mendengar salakannya dan tak akan peduli
kepadanya.
Saya tak tahu apakah betul para pimpinan tertinggi PAS
yang hadir pada majlis Dialog Budaya malam itu ‘sudah menjadi bukit’ atau
‘orang yang jadi bukit’. Tetapi saya tahu dengan pasti bahawa saya yang berucap
menyampaikan mesej daripada Seniman Paksi Rakyat (Paksi) kepada pimpinan
tertinggi PAS malam itu – saya bukan ‘anjing menyalak bukit’.
Saya dan Paksi tidak menyalak kepada bukit, tetapi kami
menyampaikan mesej budaya kepada pimpinan PAS dan kami percaya mesej kami itu
didengar dan diberi perhatian oleh mereka. Samada respons dan jawapan yang
diberikan oleh mereka (para pimpinan) pada malam itu menepati kehendak atau
tidak, memuaskan atau tidak, itu adalah perkara lain.
Ramai orang yang memahami bahawa dalam ucapannya
menggulung dialog itu antara lain pimpinan PAS menyindir saya kerana tidak
pandai meminta, dan oleh sebab itu maka tidak ada permintaan yang mendapat
jawapan atau penerimaan baik dari pihak pimpinan. Tulisan Sayuti juga membawa
maksud yang sama.
Hanya kawan-kawan di dalam Paksi (dan mereka yang sudah
biasa dengan pendekatan Paksi) sahaja yang dapat memahami maksud sebenar daripada
pendekatan yang terkandung dalam ucapan saya malam itu. (Juga mereka yang sudah
membaca buku Pemikiran dan Perancangan
Seni-Budaya, kerana di dalamnya terdapat penjelasan dengan contoh-contoh
yang terang).
Orang sudah biasa dengan pemahaman bahawa kerja-kerja
seni-budaya adalah kerja-kerja yang khas untuk orang-orang yang meminati seni
sahaja, dan sejak sekian lama pihak kerajaan hanya menyediakan peruntukan ala
kadar untuk mengambil hati aktivis-aktivis seni-budaya yang akan berasa puas
hati apabila mereka dapat membuat aktiviti seni mereka. Dan peruntukan itu
adalah dianggap sebagai ehsan sahaja daripada pihak mereka yang berkuasa,
kerana mereka (pihak yang berkuasa) selalu menganggap bahawa peruntukan itu
adalah hak mereka.
Sebab itulah pada malam itu pun ramai kawan-kawan
berbisik kepada saya mengatakan pihak pimpinan telah memberi isyarat yang
bermaksud saya “tidak pandai meminta”. Maksud mereka saya tidak sepatutnya
membuat kritikan terhadap pihak pimpinan. Kalau nak minta, mintalah dengan baik.
Janganlah meminta dan dalam masa yang sama melontarkan kritikan dan sindiran
yang boleh memedihkan telinga mendengarnya.
Kepada mereka yang memahaminya demikian, termasuk Sayuti,
saya ingin menjelaskan bahawa saya dan Paksi sebenarnya tidak meminta ehsan
daripada pihak pimpinan. Dalam hal ini barangkali Paksi berbeza dengan
pihak-pihak seniman, artis dan budayawan lain yang hadir dan bercakap dalam
majlis tersebut.
Pendekatan Paksi ialah bahawa budayawan juga mempunyai
hak dan peranannya dalam kehidupan masyarakat. Bahawa perkara atau aktiviti
seni-budaya bukan semata-mata untuk memenuhi minat orang-orang seni dan budaya,
tetapi mempunyai fungsi dan peranan yang penting dalam mewujudkan kehidupan
masyarakat yang sihat, seimbang dan harmoni.
Orang politik jangan beranggapan mereka sahaja yang
berhak membuat keputusan dalam menentukan kehidupan masyarakat. Orang seni dan
budaya juga mempunyai hak yang sama pentingnya. Tanpa sumbangan orang-orang
seni dan budaya, kehidupan masyarakat akan jadi pincang, seperti yang sedang
berlaku sekarang.
Maka Paksi sama sekali tidaklah menyalak bukit, tetapi
Paksi mengajak para pimpinan supaya memahami permasalahan masyarakat bukan
semata-mata dari sudut dan perspektif politik, tetapi fahamilah juga dari sudut
dan perspektif budaya. Dan Paksi menyatakan dengan sejelas-jelasnya akan
kesudian untuk bekerjasama dengan Mahfuz Omar, bagi merealisasikan wawasannya
mengenai ‘Kuasa Budaya Dunia”.
Yang peliknya, dan menghairankan saya, tidak seorang pun
daripada beberapa orang pimpinan PAS yang bercakap pada malam itu menyentuh
mengenai konsep ‘Kuasa Budaya Dunia’ yang dikemukakan oleh Mahfuz di Parlimen
pada 15 Julai itu. Seolah-olah perkara itu tidak wujud pun. Sedangkan hal
itulah yang menjadi fokus percakapan saya.
Apapun, sekali lagi saya berterima kasih kepada Sayuti
Omar, kerana sudi mengangkat perkara budaya ini ke dalam perbincangannya. Dan
kepada Mahfuz (juga Muhaimin, Ahmad Yunus dan Dr Halimah) saya berharap agar
selepas selesai PRK di Sungai Limau nanti dapatlah kita duduk semula untuk
melaksanakan beberapa aktiviti seni-budaya yang pernah kita bincang itu.
(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms
019-7172408)
No comments:
Post a Comment