Ulasan terhadap pandangan Mahathir di Seminar “International Conference on Teacher
Education in the Muslim World” di Putrajaya pada 12 Nov. 2013
Tun Mahathir masih mengulangi
hujah-hujah beliau yang sama sejak 2002 tentang konon wajarnya PPSMI dan oleh
itu salahnya kerajaan kini memansuhkan PPSMI. Seperti biasa, beliau tidak
sedikit pun membalas apa-apa hujah penentangan orang lain, sarjana, GMP dan rakyat
amnya, termasuklah hujah rasmi kerajaan terhadap PPSMI (Umpamanya, beliau tidak
pernah menyangkal balas “sangkalan Mahathir” 2008 dan 2009 di internet itu). Pendirian orang yang sebegini cukup memualkan
sehingga ada pihak menyatakan “biarkanlah si Loncai terjun dengan
labu-labunya”. Namun, GMP (Gerakan Memansuhkan PPSMI) tetap terpanggil juga
untuk bersuara mengulangi hujah balas satu persatu perkara yang diperkatakan
oleh Mantan PM kita ini di persidangan yang tersebut di atas (yang dilapor di
dalam The Malaysian Insider 13 Nov.
2013) kerana GMP tidak mahu “pengulangan yang palsu menjadi benar”. Sebelum itu
GMP menggesa kerajaan agar rayuan Tun
Mahathir seperti yang dilapor di dalam akhbar tersebut supaya PPSMI
dikembalikan HENDAKLAH TIDAK DIPEDULIKAN LANGSUNG.
Sekarang kembali kepada (ulangan) balasan hujah lapuk beliau itu:
1. PPSMI
tidak akan melunturkan keMelayuan dan nasionalisnya seseorang
Hujah yang diulang-ulang oleh Tun
Dr. Mahathir sejak dahulu lagi ialah mengatakan beliau tetap Melayu dan berjiwa
nasionalis (atau janapadawan jika menggunakan perkataan Melayu lama, janapada) walaupun
pendidikannya dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Beliau lupa agaknya ke-Melayuan dan kejanapadawanan seseorang ialah
suatu yang berspektrum yang luas yang diwarnai oleh unsur baka seseorang yang
dikenali DNA dan latar belakang
pendidikan seseorang itu. Mengikut
kajian sehingga kini, DNA Melayu yang
tulennya ialah dari daerah Pattani dan Kelantan dan yang tak tulennya ialah
Melayu yang diistilahkan sebagai “Jawi Peranakan” atau “Melayu Peranakan” (Campuran
Melayu dengan Muslim lain). Selanjutnya, pandangan Dr. Mahathir tentang tiadanya kesan
apa-apa drp apa pun bentuk pendidikan, khasnya pendidikan menerusi PPSMI itu,
amat bertentangan dengan pandangan umum terhadap “bahasa jiwa bangsa”, bercanggah dengan pandangan hampir semua ahli sosiologi ilmu dan
falsafawan sains abad ke-20 akan saratnya nilai di dalam bahasa, pandangan
falsafawan Jerman terkenal abad ke-20 tentang “bahasa itu rumah kediaman
manusia”, dan bertembunglah dengan kesimpulan baharu kami yang “bahasa itu
penemu ilmu”. Berlandaskan pandangan-pandangan ini, maka pastinya PPSMI ialah satu daripada pemangkas
keMelayuan bangsa dan ilmu kerana
pendidikan dalam bahasa Inggeris akan membuka satu lagi pembentukan sektor rupa
bangsa rakyat Malaysia yang lain lagi kelak, yang berjiwa lain, berkefahaman lain
terhadap ilmu, dan menghayati nilai hidup yang lain. Lainnya watak-watak
tamatan PPSMI ini kelak mungkin sekali berbeza drp Melayu dan nasionalisnya ala
Dr. Mahathir pun kerana suasana pembelajaran kini berbeza drp zaman Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir mungkin memandang enteng terhadap betapanya sains dan matematik
dalam bahasa Inggeris (atau lain-lain dari Eropah) terkenal dengan berpusatkan
Eropah (Eurosentrik) dan kaya dengan falsafah Tabiisme (yang semestinya sekular
dan ateis atau apeduli agama) selain daripada nilai Eropah (Inggeris) yang lain
lagi yang ada di dalam bahasa tersebut. Hakikatnya, nilai-nilai ini jauh lebih
berpengaruh sekarang berbanding dengan zaman Dr. Mahathir dahulu kerana dominasinya
tahap hegemoni kebudayaan Inggeris kini. Semua ini tidak menyuburkan
pembentukan sebuah janapada atau nasion Malaysia yang diidami oleh sebahagian
besar jiwa-jiwa keMelayuan kini dan keMelayuan yang lebih asli. Jika ini tidak melunturkan masa depan tahap
nasionalis keMelayuan bahkan keMalaysiaan yang sudah pun tidak seberapa
sekarang ini, maka tentunya kerana seseorang itu tidak mahu menerima teori dan
falsafah bahasa yang diperkatakan ini.
Tentu Dr. Mahathir memang amat tidak mahu percaya kepada teori dan
falsafah bahasa ini walaupun epistemologi sains dan matematik yang berkait
dengan ilmu bahasa ini rata-rata sudah diterima oleh sarjana sebagai hukum
tabii bahasa. Dr. Mahathir buat-buat lupa agaknya bahawa Islam pun mengingatkan
para pemimpinnya tentang besarnya pengaruh pendidikan sehingga menggesa
pemimpin supaya mewujudkan wahana,
persekitaran dan kurikulum pendidikan umatnya yang sesuai agar tidak terjerumus
ke dalam ajaran Yahudi, Nasrani atau Majusi [Maksud Hadith Bukhari dan Muslim].
Nampaknya, pada Dr. Mahathir, yang dipercayainya
hanyalah “dirinya sendiri” dan “kuasa itulah kebenaran”.
Penjelasan
berikut rasanya dapat mengukuhkan lagi pandangan di atas. Sejak awal abad ke-20
M lagi polemik dan pertentangan dua
kumpulan besar pejuang kemerdekaan di Hindia Timur Belanda (Indonesia sekarang) berlaku
kerana perbezaan konsep janapada atau nasion yang hendak dibinanya akibat perbezaan
latar belakang pendidikan mereka, satunya berpendidikan Belanda dan satu lagi
berpendidikan Timur Tengah (bahasa Arab). Ringkasnya, semangat nasionalis atau janapadawan seseorang berbeza-beza akibat
perbezaan latar belakang pendidikan seseorang. Nasionalisme yang asalnya
ialah nasionalisme Barat yang semestinya
sekular dan liberal yang muncul dalam abad ke-18 M. Pada awal abad ke-20 M komunisme
bertakhta di Eropah yang antara lainnya mengunggulkan sosialisme sehingga
melahirkan para sosialis komunis yang juga memang cakna nasion atau janapada
tetapi semestinya tidak liberal dan tak bertuhankan agama. Ini layak dinamai
nasionalis komunis atau nasionalis sosialis. Sejenis pejuang membina nasion atau janapada yang
lain lagi muncul di Hindia Timur Belanda pada tahun 1920-an ialah yang “amat mempedulikan Islam”, yang mungkin sesetengah pihak mahu menamakan
mereka ini “nasionalis Islam”. Namun istilah ini ditentang
hebat oleh mereka berpendidikan bukan dalam acuan Barat kerana nasionalisme itu
sendiri bertentangan dengan kepedulian terhadap agama. Lagi pun dalam sejarah
politik Barat fahaman yang bertentangan dengan nasionalisme itu ialah sosialisme (dari ajaran komunisme) dan popular
pula. Oleh itu golongan “nasionalis Islam” di Hindia Timur Belanda dahulu menamai
golongan mereka sebagai “sosialis Islam” setelah mereka menghuraikan makna “sosialisme
Islam” dengan mendalamnya (yang menampakkan berlainannya daripada sosialisme
komunis atau apa tah lagi dengan nasionalisme Barat). Perkembangan di Eropah
selepas Perang Dunia II (1945) membawa kepada munculnya sosialisme baharu yang
berbeza daripada “sosialisme komunis” dan dikenali sebagai sosialisme demokrat yang
menjadi dasar banyak Negara Berkebajikan di Eropah kini. Ini membawa kepada
perpecahan “sosialis Islam”, sebahagiannya kepada sosialis baharu seperti di
Eropah itu dan yang lainnya menamakan dirinya hanya Islamis sahaja. Apa pun
istilahnya, mereka semua perihatin kepada janapada atau nasion. Di Hindia Timur
Inggeris (khususnya Malaya) pun sejak
tahun 1930-an, ada sekurang-kurangnya
dua jenis “nasionalis” wujud dan bertentangan kerana pengalaman pendidikan yang
berbeza, iaitu nasionalis sekular-liberal Barat lawan nasionalis Kiri (yang
sebenarnya terdiri daripada Islamis dan sosialis bukan komunis dan bukan
liberalis).
Apa pun, satu perkara yang asas yang perlu bagi adanya nasionalisme atau janapadawanisme, dan ini nampaknya diabaikan
atau tidak dianggap penting oleh Dr. Mahathir, ialah kewujudan
nasion atau janapada itu sendiri. Ini ialah kerana nasionalisme atau
janapadawanisme semestinya melibatkan keadaan seseorang yang sentiasa
mengenalpasti kehidupannya dengan nasion atau janapada yang dianggap miliknya
itu. Majoriti besar sarjana kita (dan
luar negara) tidak anggap Malaysia sudah wujud sebuah nasion atau janapada berbanding
dengan yang berlaku di Eropah, atau di negara jiran kita sekali pun. Sebahagian
besarnya disebabkan sistem pendidikan
kita yang tidak memungkinkan atau tidak menyuburkan kewujudan janapada itu.
Satu ciri penting nasion atau janapada itu ialah warganya merasai kekitaan yang
kental yang terzahir atau dizahirkan, antara lainnya, menerusi bahasa
nasionalnya atau bahasa kebangsaannya (iaitu bahasa perpaduan, bahasa politik
dsbnya) dan bahasa nasionnya atau bahasa janapadanya (iaitu bahasa pembangunan,
bahasa pendidikan, bahasa berkarya dsbnya). Ini yang jelas belum kita capai.
Sedikit kejayaan yang dicapai selama ini sudah dipangkas oleh Dr. Mahathir
sendiri menerusi banyak alatnya yang terbit daripada kecitaannya terhadap
kebudayaan Barat-Inggeris dan satu daripadanya PPSMI itu.
2.
PPSMI mengurangkan masalah pengangguran
Seseorang yang mengaitkan isu pengangguran negara dengan
kefasihan berbahasa Inggeris penduduk negara tersebut adalah orang yang
berkepentingan untuk mengalih pandangan rakyat terhadap kelemahan dasar ekonomi
negara tersebut sahaja. Dr. Mahathir tentunya berkepentingan itu. Lihat sahaja
tahap pengangguran di negara berbahasa Inggeris sepenuhnya, iaitu UK, Amerika
Syarikat (AS), Kanada, Australia dan New Zealand (NZ): sekitar 8% di UK, sekitar
7% di AS dan Kanada, sekitar 6 % di Australia dan New Zeland. Semuanya melebihi
kadar pengangguran rasmi di Malaysia, 3% sahaja; dan lebih tinggi daripada
negara yang para pendokong PPSMI pandang rendah (kerana tahap bahasa
Inggerisnya lebih rendah daripadanya atau rakyat negaranya), iaitu Jepun
(sekitar 4%), Korea (sekitar 3%), China (sekitar 4 %) dan Taiwan (sekitar 4 %)!
Tun Dr.
Mahathir dan mereka yang pro-PPSMI selalulah
juga menimbulkan kadar pengangguran siswazah kita sekarang adalah
KONON-nya disebabkan oleh bahasa Inggeris siswazah ini yang lemah (kononnya akibat
tiada PPSMI). Lupakah mereka ini bahawa siswazah kita sekarang semuanya sudah beroleh
ijazah mereka menerusi pendidikan di dalam bahasa Inggeris sejak 2009 lagi. Ini
kerana pelaksanaan “lompatan katak” dalam pengejaran bahasa Inggeris lalu PPSMI
Tingkatan 6 dan Matrikulasi dimulai bersekali dengan mulanya PPSMI Darjah Satu
pada 2003, dan kerana itu PPSMI di universiti juga dimulai pada 2005 sehingga
sejak 2009 lagi bahasa pengantar ilmu universiti kita semuanya dalam bahasa
Inggeris). Lupakah juga mereka bahawa sekurang-kurangnya dalam tahun 1980-an
kita tiada masalah pengangguran siswazah sedangkan masa itu semua universiti
berpengantar bahasa Melayu sepenuhnya (termasuklah dalam bidang sains dan
matematik sekalipun).
Jelas pengangguran tiada kaitan
dengan bahasa apatah lagi bahasa Inggeris!
3. Sains
dan matematik berubah setiap hari dan
laporan perubahan ini hampir semuanya dalam bahasa Inggeris.
Dr. Mahathir mungkin sekali berniat
“mengaburi mata rakyat” dengan tidak
membezakan sains matematik (SAMA) di peringkat sekolah dengan SAMA di
peringkat kesarjanaan (peringkat ijazah Sarjana dan D. Fal), walaupun perkara pokok
yang dibicarakannya hanya SAMA peringkat
sekolah. SAMA (bahkan semua bidang ilmu) di peringkat sekolah tidak berubah
sejak berabad-abad dahulu lagi. SAMA sekolah sekarang ialah ilmu sebahagian
besarnya ciptaan zaman Tamadun Islam (ciptaan kurun ke-10 M hingga ke-14 M) dan
ciptaan Eropah (dalam bahasa Latin, Perancis dan Jerman) ciptaan abad ke-17 M
hingga ke-19M. Perhatikan tiada SAMA sekolah ciptaan dalam bahasa Inggeris
tetapi yang adanya ialah terjemahan ke dalam bahasa Inggeris mulai abad ke-18 M
hingga dalam abad ke-20 M, semuanya lengkap terjemahannya, dan menerusi
penjajahannya seluruh dunia, ilmu ini diterima di negara yang dijajahnya
sebagai ilmu Inggeris sahaja. Bahkan Dr. Mahathir sendiri, mungkin juga
sengaja, beberapa kali mengulangi fakta
palsu bahawa ilmu asal SAMA ialah bahasa Inggeris.
Maka adalah
fitnah besar mengatakan mengajar SAMA sekolah dalam bahasa bukan dalam bahasa
Inggeris menjadikan pelajar itu ketinggalan zaman kerana ilmu itu “berubah
setiap hari dan hampir semuanya dalam bahasa Inggeris”. Pernyatan ini sebenarnya menghina pencapaian
pelajar SAMA di Negara-Negara Maju yang hampir semuanya tiada PPSMI. Hakikatnya
juga Dr. Mahathir menyorok fakta bahawa pelajar sekolah di negara-negara
berbahasa Inggeris sepenuhnya, siang-malam-makan-minum-tidur-jaga, iaitu pelajar
di UK, AS, Kanada, Australia, dan New Zealand
terkenal dengan tidak bagusnya (malah jauh tertinggal) SAMA mereka
berbanding dengan pelajar di negara-negara lain (tidak berPPSMI) seperti
Jepun-Korea-China-Taiwan, bahkan dengan Iran dan Vietnam.
Dr. Mahathir malah bercakap
tidak benar tentang perkembangan SAMA. SAMA
di peringkat penyelidikan (Sarjana dan D. Fal) pun tidak berubah sepantas
seperti yang ditakut-takutkan itu dan pastinya tidak setiap hari, walaupun benarlah
tulisan “penemuan baharu” peringkat penyelidikan siswazah/pascasiswazah ini
mungkin berlaku setiap hari. Ini ialah kerana hampir semua “penemuan baharu” itu berupa pendekatan baharu, atau pentafsiran baharu, pentahkikan,
pengkoroborasian dan pengukuhan baharu terhadap matan ilmu yang lama sahaja. Teori paling
baharu fizik umpamanya berlaku satu abad yang lepas (teori Einstein dan
teori quantum) dan sehingga kini pun masih belum ada teori baharu yang
mengganti teori ini.
Berkenaan
dengan bahasa dalam tulisan “penemuan baharu”
SAMA tidaklah juga sebenar dakwaan
Dr. Mahathir bahawa hampir semuanya ditulis dalam bahasa Inggeris. Hakikatnya,
kini pun kegiatan penterjemahan kepada bahasa Inggeris daripada tulisan SAMA dalam
bahasa-bahasa lain begitu giat dilakukan di dalam semua bidang SAMA. Apa pun,
isu keperluan bahasa Inggeris di peringkat penyelidikan pun sengaja
diperbesar-besarkan oleh pihak pendokong PPSMI sehingga konon kerana globalisme
dsbnya, dan bahasa sendiri belum menjadi bahasa ilmu, maka wajarlah bahasa
sendiri diketepikan sahaja. Jika hujah yang sama digunakan maka tidaklah
berlaku tiadanya PPSMI di Eropah sedangkan tiadalah PPSMI di Eropah sehingga
kini pun; dan tiadalah jua berlaku pada puluhan
Negara Maju yang lain juga tiada PPSMI. Sepatutnya negara-negara di Eropah dan
Negara Majulah yang dijadikan model pendidikan kita. Sesungguhnya, universiti kita (sehingga 2003)
berwawasan sedemikian sehingga UKM sahaja pun umpamanya telah berjaya
menerbitkan ribuan tesis (sarjana dan D. Fal) dan makalah “penemuan baharu”
sains dan matematik (apatah lagi sains kemanusiaan dan kemasyarakatan) dalam
bahasa Melayu; dan sudah ada karya-karya ini dirujuk atau diterjemah ke dalam
bahasa-bahasa lain (termasuk Inggeris), walaupun mungkin tidaklah sehebat
dengan yang berlaku dalam bidang bukan SAMA. [Mereka yang pro-PPSMI mungkin
tidak mahu tahu pun bahawa dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial, sarjana
besar dari jerman, Prof Arnt Graf telah membuktikan bahasa Melayu kini sudah
pun mencapai tahap bahasa ilmu, sama dengan bahasa-bahasa di Eropah sekarang,
sebagaimana yang dipaparkannya dalam karyanya ,”Bahasa Melayu dan Jurnal
Malaysia: Bidang Ilmu Kemanusiaan dan Sains Sosial dalam Indeks Antarabangsa” terbitan
USM 2010]. Malangnya perkembangan dunia ilmu kita mengikut laluan Negara-Negara
Maju ini tidak mahu diikuti dan dihargai malah telah dicantas oleh Dr. Mahathir
menerusi PPSMI itu sehingga dasar universiti sejak itu pun berubah dengan tidak
lagi menggalakkan sarjana menulis dalam bahasa Melayu (dengan merendahkan
martabatnya atau tidak diiktiraf langsung), bahkan banyaklah universiti awam kita yang tidak
membenarkan pelajar menulis tesis apa pun dalam bahasa Melayu. Ini jasa besar Dr. Mahathir!
Shaharir bin Mohd Zain
Pengerusi GMP
23 Nov. 2013
No comments:
Post a Comment