Thursday, November 28, 2013

Ishak Hj. Muhammad dan 'anugerah aristokrat'

Ishak Hj Muhamad sebagai sasterawan, pentadbir dan ‘insan’


Dalam kata penghantar “Cerpen-Cerpen Pak Sako”, Hashim Awang dan A. Karim Abdullah (penyelenggara), Dewan Bahasa dan Pustaka. 1995: vii, dinyatakan begini:

“Cerpen-cerpen dalam antologi ini memperlihatkan beberapa keistimewaan tersendiri.  Pertama: Persoalan-persoalan yang mendapat tumpuan garapannya.  Hampir keseluruhan cerpennya berkisar pada kehidupan golongan rakyat bawahan yang tinggal di kampung, yang memiliki cara hidup mudah dengan sifat-sifat rendah diri dan selalu jujur serta bersopan santun.  Mereka ini dipertentangkan dengan golongan bangsawan atau pemimpin yang hidup mewah tetapi berkelakuan buruk, iaitu kelakuan yang merangkumi sifat-sifat hipokrit, tamak, penzina dan pengkhianat bangsa.

Golongan bangsawan yang demikian sifatnya sering digambarkan sebagai berada dalam kelalaian sehingga mereka dapat dijadikan alat oleh orang-orang luar untuk kepentingan tertentu, khususnya untuk kepentingan-kepentingan politik dan ekonomi.  Akibatnya golongan rakyat kampung, yang rata-ratanya jujur dan taat setia itu, menjadi korban.  Kehidupan mereka tertindas, terkebelakang dan miskin, sedangkan golongan luar atau pendatang bergerak maju mewah.”

Tentang Pak Sako atau Ishak Hj. Muhammad, Rustam A. Sani dalam “Asal Usul Sosial Golongan Kiri Melayu – Satu Analisis Bekenaan Kesatuan Melayu Muda” terjemahan Amin Ahmad, SIRD, Petaling Jaya: 2011:50 antara lain merakamkan begini:

“ Satu kes yang menarik ialah Ishak Hj. Muhammad sendiri.  Ketika beliau di Kolej Melayu beliau gelisah dikelilingi atmosfera dan rakan sebaya dari keluarga aristokrat12.  Kegelisahan ini berterusan ketika beliau menjadi pegawai di Temerloh dan Bentong.  Beberapa kali beliau meninggalkan kerjanya tanpa meletakkan jawatan secara rasmi, petunjuk kesukaran yang dihadapinya dalam menyesuaikan diri dengan tugas beliau. “Meskipun beliau dihormati dalam menjalankan kerja pentadbiran, syarat dan peraturan yang menentukan tindakan beliau sebagai seorang pegawai mewujudkan satu kepura-puraan hidup dan memisahkan dirinya daripada masyarakat, menjadikan beliau tidak selesa.”22  Mungkin dalam percubaan untuk menjadikan proses mobiliti ke atas untuk Ishak lengkap dan kurang menyiksakan Residen British Selangor (T.S. Adams) telah beberapa kali, secara sembunyi memberitahu Ishak, “Jika kamu bertenang, saya boleh memadankan kamu dengan anak perempuan seorang Datuk”.23


2.0  Seperti biasa, senarai soalan :


2.1 Dalam sejarah moden kita, berapa orang Ishak Hj. Muhammadkah yang telah kita lahirkan, temui dan hayati perjuangannya?

2.2 Apakah yang akan terjadi jika teks-teks sastera seperti di atas cerpen Pak Sako di atas dijadikan bacaan wajib di sekolah menengah kita? 

2.3  Apakah mungkin kualiti pemimpin dan kepimpinan negara kita akan menjadi lebih cemerlang sekiranya kaum aristokrat tidak bermaharajalela seperti sekarang ini?

2.4 Kenapakah tidak ramai sasterawan kita keluar dari dunia teks@karyanya untuk bersama-sama rakyat yang tertindas?  Apakah sastera itu semata-mata permainan idea, ilham dan karya berseni yang muluk-muluk tapi lohong tindakan lalu ia pun tidur nyenyak di rak-rak buku? 




No comments: