Thursday, July 30, 2015

'Pengajaran' Hening Puisi Paksi, Tanjong Sedeli, Kota Tinggi, Johor.




Apa yang 'kita' pelajari daripada Hening Puisi Paksi Tanjong Sedeli?


‘Kita’ di sini membawa maksud para Paksiwan, khususnya mereka yang telah secara sukarela dan juga yang menawarkan diri untuk bersama-sama PAKSI di Jason Bay, Tanjong Sedeli, Kota Tinggi, Johor pada 25 – 28 Julai 2015, untuk ‘belajar dan menulis puisi’ berasaskan perjuangan serta semangat kemanusiaan Usman Awang sepertimana yang terdapat dalam pelbagai karyanya. Ini bermakna karya Usman Awang yang sarat mesej kemanusiaan itu diberikan perhatian khusus.

Siapakah ‘kita’ itu? Ini senarai Paksiwannya ― Dinsman, Mohamed Nasser, Rozan Mat Azen Rasip, Tun Teja, Arif Atan, Ali Bukhari, Raja Yusof Rayusa, Chan Yong Sin, Kassim Muhamad dan Amni Jagat. Sementara para ‘sukarelawan’ yang mohon ikut serta termasuklah pengarah filem terkenal merangkap sasterawan kawakan Yassin Salleh, Wan A Rafar Ishak, PPK (Persatuan Penulis Kelantan), Tun Kreatif, Raja Ahmad, Daeng Ramliakil, Lena Faridah Chin dan Eddie Hashim. Sementara itu Hening Puisi juga dihadiri oleh Haslina Usman (anak arwah Usman Awang dan juga staf yayasan Usman Awang), sasterawan-pelukis terkenal Dr Siti Zainon Ismail. 

Hening Puisi Paksi bertuah kerana kehadiran sepenuh masa Sasterawan Negara Pak Samad Said yang hadir pada seluruh sesi bersama isterinya Datin Rashidah. Pada hari kedua, Sdr Hassan Karim aktivis politik dan penyair Negeri Johor juga hadir untuk mengisi slot pengisahan dan pengalaman hidupnya tatkala bergaul dengan Usman Awang. Di samping itu Syed Husin Ali, pengerusi Yayasan Usman Awang hadir membentangkan kisah hidup, pengalaman dan perjuangan bersama Usman Awang. Ringkasnya, program Hening Puisi Paksi berjaya dilaksanakan, mendapat sokongan dana Yayasan Usman Awang, ITMB dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, adalah usaha bersepadu pelbagai pihak ― oraganisasi dan juga individu.

Sekali lagi, kita bertanya: Apa yang dipelajari daripada Hening Puisi Paksi itu? Di antara jawapannya mungkin berikut: 

Hening telah mengumpulkan satu kelompok sasterawan besar dan para calon penulis dalam satu sesi yang ternyata cukup unik lagi istimewa; di kemuncaknya kita temui gergasi-gergasi sastera Pak Samad, Siti Zainon dan Dinsman. Di dalam Hening Puisi juga hadir Yassin Salleh dan Wan Rafar yang sudahpun sekian lama punya nama dalam bidang seni-budaya negara. Di samping itu ada nama-nama yang bukan asing dalam dunia sastera ― Raja Ahmad dan Daeng Ramliakil. Lena Faridah Chin dan Eddy Hashim pula bukanlah orang yang asing dunia sastera. Mereka pensyarah yang bergiat aktif dalam bidangnya. Raja Yusof pula bukan baru sehari dua bergelumang dan berkubang dalam dunia akhbar. Dan di bawah strata kelompok ini telah hadir juga novis yang masih merangkak dan bertatih seperti penulis sendiri. Soalannya ialah bagaimana mengurus satu kelompok yang begitu besar jurang kepakarannya?

Jawapannya ialah pendekatan yang telah digunakan oleh Paksi. Mungkin kata-kata kuncinya Hening Puisi Paksi ini dikelaskan sebagai dan berbentuk ‘santai’. Sementara bumbu paling enak berkesan yang diadunmesrakan ialah ‘keakraban’ para ahli kelompok itu sebagai satu kumpulan. Ertinya, di dalamnya tidak ada ulamak sastera yang aloof, ekslusif yang sentiasa bersemanyam di atas singgahsana yang tinggi. Makanya hasilnya ialah yang novis juga bercakap tentang sastera tanpa segan silu diperkecilkan oleh yang lebih ahli dan arif. Para gergasi sastera telah turun dari takhta untuk mendengar yang bertatih untuk berlagak hebat sambil berbicara tentang seni-budaya dan sastera. Bukankah ini rumus yang baik dan berkesan? 


Apa lagi yang kita telah pelajari daripada Hening Puisi Paksi itu?

(Teman-teman Paksi mungkin ada sudut pandangan masing-masing? Bolehkah kita paparkan transkrip 'syarahan' Pak samad dan Dr Syed Husin Ali?)


1 comment:

PAK JUNAIDI said...
This comment has been removed by a blog administrator.