Apa yang 'kita' pelajari daripada Hening Puisi Paksi Tanjong Sedeli?
‘Kita’ di sini membawa maksud para Paksiwan, khususnya mereka yang telah
secara sukarela dan juga yang menawarkan diri untuk bersama-sama PAKSI di Jason
Bay, Tanjong Sedeli, Kota Tinggi, Johor pada 25 – 28 Julai 2015, untuk ‘belajar
dan menulis puisi’ berasaskan perjuangan serta semangat kemanusiaan Usman Awang
sepertimana yang terdapat dalam pelbagai karyanya. Ini bermakna karya Usman Awang
yang sarat mesej kemanusiaan itu diberikan perhatian khusus.
Siapakah ‘kita’ itu? Ini senarai Paksiwannya ― Dinsman, Mohamed Nasser,
Rozan Mat Azen Rasip, Tun Teja, Arif Atan, Ali Bukhari, Raja Yusof Rayusa, Chan
Yong Sin, Kassim Muhamad dan Amni Jagat. Sementara para ‘sukarelawan’ yang
mohon ikut serta termasuklah pengarah filem terkenal merangkap sasterawan
kawakan Yassin Salleh, Wan A Rafar Ishak, PPK (Persatuan Penulis Kelantan), Tun
Kreatif, Raja Ahmad, Daeng Ramliakil, Lena Faridah Chin dan Eddie Hashim.
Sementara itu Hening Puisi juga dihadiri oleh Haslina Usman (anak arwah Usman
Awang dan juga staf yayasan Usman Awang), sasterawan-pelukis terkenal Dr Siti
Zainon Ismail.
Hening Puisi Paksi bertuah kerana kehadiran sepenuh masa Sasterawan Negara
Pak Samad Said yang hadir pada seluruh sesi bersama isterinya Datin Rashidah.
Pada hari kedua, Sdr Hassan Karim aktivis politik dan penyair Negeri Johor juga
hadir untuk mengisi slot pengisahan dan pengalaman hidupnya tatkala bergaul
dengan Usman Awang. Di samping itu Syed Husin Ali, pengerusi Yayasan Usman
Awang hadir membentangkan kisah hidup, pengalaman dan perjuangan bersama Usman
Awang. Ringkasnya, program Hening Puisi Paksi berjaya dilaksanakan, mendapat
sokongan dana Yayasan Usman Awang, ITMB dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah
Selatan, adalah usaha bersepadu pelbagai pihak ― oraganisasi dan juga individu.
Sekali lagi, kita bertanya: Apa yang dipelajari daripada Hening Puisi Paksi
itu? Di antara jawapannya mungkin berikut:
Hening telah mengumpulkan satu kelompok sasterawan besar dan para calon
penulis dalam satu sesi yang ternyata cukup unik lagi istimewa; di kemuncaknya
kita temui gergasi-gergasi sastera Pak Samad, Siti Zainon dan Dinsman. Di dalam
Hening Puisi juga hadir Yassin Salleh dan Wan Rafar yang sudahpun sekian lama
punya nama dalam bidang seni-budaya negara. Di samping itu ada nama-nama yang
bukan asing dalam dunia sastera ― Raja Ahmad dan Daeng Ramliakil. Lena Faridah
Chin dan Eddy Hashim pula bukanlah orang yang asing dunia sastera. Mereka pensyarah
yang bergiat aktif dalam bidangnya. Raja Yusof pula bukan baru sehari dua
bergelumang dan berkubang dalam dunia akhbar. Dan di bawah strata kelompok ini
telah hadir juga novis yang masih merangkak dan bertatih seperti penulis
sendiri. Soalannya ialah bagaimana mengurus satu kelompok yang begitu besar
jurang kepakarannya?
Jawapannya ialah pendekatan yang telah digunakan oleh Paksi. Mungkin
kata-kata kuncinya Hening Puisi Paksi ini dikelaskan sebagai dan berbentuk
‘santai’. Sementara bumbu paling enak berkesan yang diadunmesrakan ialah
‘keakraban’ para ahli kelompok itu sebagai satu kumpulan. Ertinya, di dalamnya
tidak ada ulamak sastera yang aloof, ekslusif yang sentiasa bersemanyam di atas
singgahsana yang tinggi. Makanya hasilnya ialah yang novis juga bercakap
tentang sastera tanpa segan silu diperkecilkan oleh yang lebih ahli dan arif.
Para gergasi sastera telah turun dari takhta untuk mendengar yang bertatih
untuk berlagak hebat sambil berbicara tentang seni-budaya dan sastera. Bukankah
ini rumus yang baik dan berkesan?
Apa lagi yang kita telah pelajari daripada Hening Puisi Paksi itu?
(Teman-teman Paksi mungkin ada sudut pandangan masing-masing? Bolehkah kita
paparkan transkrip 'syarahan' Pak samad dan Dr Syed Husin Ali?)
1 comment:
Post a Comment