Monday, November 4, 2013

"Tulis nama atas batu"







Gelaran, pangkat, jawatan dan aku


Satu hari, setelah berhari-hari menderita makan hati sendirian, aku nekad meluahkan perasaanku yang mendalam itu kepada seorang rakanku, Mat:

“Mat, sebenarnya malu juga aku nak ceritakan kepada orang lain”.     

“Cerita apa? Tentang apa­-siapa? Kenapa pula nak malu?”Kasihan Mat keningnya berkerut-kerut, urat dan otot-otot mukanya perlu bekerja lebih keras.

Aku pun bercerita tentang soal-soal yang sangat peribadi yang kekadang, membuat aku malu-malu.  Kepada Mat yang sedang memasang telinga, kuceritakan begini:

“Entah rezekiku sedang menjadi dan aku cukup bersyukur kerananya aku perolehinya segala-galanya, sekaligus.  Ya, hampir-hampir sekaliguslah.  Mula-mula Phdku tentang “Fenomena biologis kacang lupakan kulit: Bukti saintifik bicara nurani si anak kacang” disambut dengan penuh ghairah oleh dunia akademia.  Kedua,  mereka, ya mereka yang memegang tampuk kuasa dalam Parti menyarankan supaya aku letak jawatan untuk bertanding.  Cadangan kuikuti,  maka sepertimana yang kau tahu, aku sudah hampir-hampir sepenggal menjadi YB”.   Mulut Mat sudah terbuka agak luas tapi keningnya sudah normal semula. 

“ Kau pun tahu bidang kepakaranku di universiti bukanlah semata-mata biologi, kerana akar Islamiku juga sememangnya cukup kukuh,  mencengkam.  Hafazanku bagus walaupun belum layak digelar al-hafiz kerana aku masih kurang 10 juzuk, sementara telaah kitab-kitab muktabar pun aku boleh dikategorikan sebagai cemerlang.  Itulah sebabnya kau sering lihat aku muncul di pelbagai pentas.”  

Mata temanku Mat tak sekali pun kerdip.

“Sekarang mereka sering memanggil aku Ustaz...”

Mata temanku, tiba-tiba terbeliak.

“ Sekarang masalah terbesarku ialah bagaimana mahu kutulis namaku di kartu nama?”

“Ustaz Datuk Dr Ir Hj Kassim Muhamad atau Datuk Ustaz Hj Dr Ir Kassim Muhamad?”


Aduh, entah kenapa Mat - temanku yang paling akrab, sudahpun mendengkur!




No comments: